26 Januari 2022, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis berkenan berangkat menghadiri majlis anjuran UniMAP.

Pauh Putera – “Bagi memperluas peranan dan menjadi duta akademik di luar persekitaran universiti, seluruh warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) haruslah komited mendekati komuniti melalui Program Tanggungjawab Sosial Universiti dan pemindahan ilmu berimpak tinggi bagi mengatasi pelbagai isu sosial dan kesejahteraan masyarakat dengan memperkasakan UniMAP4Society.”

Demikianlah kenyataan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam Tuanku Canselor Bersama Ketua-ketua Jabatan UniMAP 2022 yang diadakan di Bangunan Canselori Kampus Alam Pauh Putra semalam.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr Zaliman Sauli dan Timbalan-timbalan Naib Canselor serta pengurusan tertinggi universiti.

Dalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyampaikan titah supaya warga UniMAP terus memantapkan lagi kolaborasi dengan lebih banyak rakan sinergi dari aspek penyelidikan dan inovasi.

“Ilmu penyelidikan yang diterjemahkan kepada produk atau perkhidmatan baharu dapat meningkatkan mutu institusi, sekali gus mengukuhkan pembangunan ekonomi negara,” titah baginda Raja Muda Perlis dalam meyakinkan warga UniMAP berkaitan dengan manfaat yang bakal diperoleh daripada kerjasama tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.