Oleh Mubarak Ismail
1 Februari 2022, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni usahawan kedai bunga Ingrace Floral and Events, iaitu Raymond Lim Choon Guan bersama-sama keluarganya. Usahawan tersebut bersama-sama isterinya, Teou Siew Yan dan anak-anak berasa teruja dengan keberangkatan tiba DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di kedai mereka di Jalan Jublee Perak, Pusat Bandar Kangar pada petang semalam.

Raymond Lim Choon Guan yang berasal dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang melewatkan pergerakan balik ke kampung untuk majlis makan malam perjumpaan tahunan bersama-sama ibu tersayang apabila dimaklumkan bahawa Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan singgah di kedai mereka. Kunjungan tersebut diatur oleh NGO One Centre Malaysia (OCM) Perlis beserta program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan Ke-9 bagi Tahun 2022. Turut menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif OCM Perlis, Muhammad Zamri Vinod Kalimuthu.

Antara lain, penyerahan sumbangan daripada Sri Ananda Bahwan Group of Companies kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Nazim Mohd Noor turut diadakan di lokasi yang sama. Sumbangan tersebut akan disalurkan kepada tabung Projek DiRaja Kg Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis hasil kerjasama MAIPs dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Selain itu, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs di rumah para asnaf, mantan tentera, iaitu Idrus Noor (71 tahun) yang menjaga isterinya yang memerlukan rawatan dialisis; Asri Alwi (71 tahun) yang lumpuh; dan Darus Mat Arshad (75 tahun) yang mengalami masalah kesihatan.

Dalam kunjungan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah:

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita semua di negeri Perlis dan negara Malaysia ini keamanan dan keselamatan serta rakyat yang sihat, rajin, berdisplin, hidup bersih, sentiasa cekal berusaha dan bersatu padu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.