Oleh Normasiska Noor
5 Februari 2022, 18:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kerajaan tidak menolak bahawa perubahan iklim menjadi satu daripada faktor yang menyebabkan bencana banjir melanda negara ini. Sehubungan itu, sudah tiba masanya kerajaan menjadikan respons bencana sebagai mata pelajaran utama di semua peringkat pendidikan.

Menurut Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pewujudan mata pelajaran utama dalam menangani bencana di semua peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan supaya seluruh Keluarga Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan perkara ini sebagai satu daripada kebiasaan baharu.

“Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat pada masa akan datang” – Perdana Menteri.

Kenyataan Perdana Menteri itu ternyata menarik perhatian banyak pihak yang rata-ratanya menyokong cadangan beliau. Hal ini dikatakan demikian kerana trauma akibat banjir  bukan sahaja berlaku dalam kalangan mangsa yang terlibat, tetapi seluruh rakyat di negara ini turut berkongsi duka yang sama.

Banjir besar yang melanda negara pada penghujung tahun 2021 sememangnya mendapat perhatian bukan sahaja di negara ini, malah di kebanyakan negara. Selain liputan meluas di negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, pada 4 Februari lalu, anggota Parlimen India turut bertafakur seketika sebagai memperingati mangsa banjir di negara ini.

Impak banjir besar yang melanda sebahagian daripada kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak, sememangnya amat memilukan. Selain mengorbankan nyawa, banjir tersebut turut merosakkan harta awam dan persendirian. Hal itu, belum termasuk kesan psikologi yang entah bila akan berakhir.

Banjir besar yang melanda negara baru-baru ini mengakibatkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion.

Maka itu, banyak pihak menuntut agar pendekatan Malaysia dalam menghadapi bencana banjir tidak seharusnya menggunakan pendekatan yang sedia ada atau masih di takuk lama. Hal ini bermaksud, perlu ada perubahan dalam menghadapi bencana ini yang pada akhirnya nanti akan menemukan jalan penyelesaian yang terbaik kepada kita, seterusnya mengurangkan impak akibat bencana yang melanda.

Menjadikan bencana alam sebagai subjek utama pada setiap peringakt pendidikan seharusnya diambil perhatian dan tindakan. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah ini telah lama diterapkan dalam sistem pendidikan di Jepun dalam memberikan kefahaman kepada generasi muda tentang cara yang terbaik untuk terus hidup bersama-sama bencana alam.  Sebagai buktinya, lihat sahaja bagaimana Jepun bangkit daripada tsunami besar tahun 2011 – sistem pengurusan krisis mereka amat efisien sehingga mereka tidak memerlukan bantuan daripada mana-mana negara untuk meneruskan kehidupan pascabencana. Bencana demi bencana dalam sejarah Jepun telah berjaya mendidik rakyat negara itu, dari peringkat atasan hingga segenap lapisan rakyat untuk memainkan peranan masing-masing sebaik-baik sahaja bencana itu tiba.

Maka itu, bencana banjir yang melanda negara pada Disember lalu diharapkan dapat menjadikan kita – tanpa ada yang terkecuali untuk lebih bersedia dalam menghadapi sebarang bencana alam yang mendatang. Sebagai langkah awal yang diambil oleh kerajaan, semalam, Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana telah mengumumkan bahawa banjir besar yang melanda negara baru-baru ini amat meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat. Banjir bukanlah isu baharu di negara ini, malah telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan kerugian bukan sahaja terhadap harta benda tetapi juga kehilangan nyawa.Natijah daripada bencana banjir ini juga mengakibatkan negara mengalami kerugian sebanyak RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

Apa-apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang. Sehubungan itu, masalah ini harus diselesaikan secara tuntas. Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat pada masa akan datang.

“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) secara telesidang semalam bagi membincangkan secara terperinci  tentang situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022. Perbincangan menekankan langkah dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak yang besar kepada negara dan rakyat,” ujar Perdana Menteri.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh menteri besar dan ketua menteri, menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Ketua Setiausaha Negara (KSN), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah agensi-agensi yang berkaitan.

Dalam mesyuarat ini, persetujuan telah dicapai untuk menggariskan lapan langkah strategik sebagai menambahbaik pengurusan bencana negara yang telah dibentangkan oleh NADMA iaitu;

  • Pemerkasaan dasar, perundangan dan mekanisme berkaitan Pengurusan Bencana dan Pengurangan Risiko Bencana (DRR).
  • Penekanan terhadap inisiatif DRR.
  • Penyediaan dana untuk pengurusan bencana dan DRR.
  • Pengukuhan mekanisme koordinasi dan kompetensi stakeholderspengurusan bencana.
  • Penambahbaikan sistem dan penyampaian maklumat dalam pengurusan bencana dan DRR.
  • Pemerkasaan dasar dan mekanisma koordinasi bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.
  • Peningkatan kemahiran dalam komunikasi krisis dan komunikasi strategik.
  • Peningkatan kapasiti komuniti setempat dan tumpuan terhadap “localization” dalam pengurusan dan DRR.

Tambah Perdana Menteri, perluasan dasar DRR pada peringkat negeri dan daerah akan dapat memastikan pengurusan bencana banjir dipertingkat berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik. Kementerian dan agensi juga turut disarankan untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang. Hal ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pascabencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana.

Mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep “whole of society approach” yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan pelibatan bersama-sama agensi kerajaan dan organisasi masyarakat sivil (CSO). Pada masa yang sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkat melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder. Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal.

Pembinaan terowong SMART antara yang dicadangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana.

Dalam mesyuarat itu, kerajaan juga secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir antaranya:

  • Mengenal pasti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam dan khemah.
  • Bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan sebagai kawasan penempatan mangsa banjir.
  • Pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan yang baik.
  • Menaiktaraf, mendalamkan dan melebarkan sungai utama.
  • Meninggikan benteng dan ban sungai serta parit.
  • Membina lebih banyak tebatan banjir.
  • Membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.
  • Membina terowong SMART terutamanya di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam.
  • Membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti “sponge city” di China.
  • Mewujudkan takungan air atau “kota takungan pinggir sungai” seperti di Belanda.
  • Pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan yang lebih tinggi.
  • Mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan.
  • Meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat JPS, selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
  • Membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial intelligence), serta sistem amaran awal banjir lumpur.
  • Menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang.
  • Mengawal penebangan hutan.
  • Kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira risiko banjir.

Sehubungan itu, kerajaan dalam mesyuarat tersebut turut mengumumkan bahawa peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif ini sememangnya memerlukan peruntukan yang besar, iaitu melibatkan ratusan bilion ringgit yang mengambil jangka masa yang panjang, oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.