Oleh Aisyah A.
14 Februari 2022, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seramai hampir 170 ribu kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan lima hingga 11 tahun telah menerima dos vaksin COVID-19 yang pertama melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam. Bilangan yang mencecah 4.8 peratus populasi kanak-kanak di Malaysia itu dicatatkan sejak PICKids dilancarkan pada 3 Februari yang lalu.

Dalam pada itu, sebilangan besar rakyat di negara ini juga mendapat vaksin bagi dos pertama dan kedua, yakni 98.7 peratus telah menerima satu dos, manakala 97.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi. Bagi dos penggalak, sejumlah 13 juta atau 56.4 peratus populasi dewasa dalam negara mendapatkan sejak perkara itu diumumkan oleh kerajaan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau lebih dikenali sebagai PICK-B pada 13 Oktober 2021 susulan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses COVID-19 (JKJAV) Bil. 18/2021 pada 30 September 2021.

Bagi mencapai imuniti kelompok, setelah majoriti orang dewasa mendapat vaksin, kerajaan mula membuka suntikan vaksinasi kepada golongan remaja, seterusnya kanak-kanak bagi memastikan perlindungan diberikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Setakat 13 Februari 2022, vaksinasi harian mencatatkan 118 875 dos vaksin diberikan meliputi 35 441 dos pertama, 649 dos kedua dan 82 785 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 65 042 686 dos.

Namun begitu, kes jangkitan COVID-19 harian semakin meningkat oleh sebab varian Omicron yang semakin mudah menular lebih-lebih lagi setelah sektor ekonomi dan pelancongan juga sudah dibuka secara sepenuhnya.

Warga Malaysia dinasihati untuk terus menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun secara kerap, sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, memanfaatkan aplikasi MySejahtera dan mengelakkan diri daripada tempat yang sesak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.