15 Februari 2022, 14:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – “18 orang graduan tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diberi jaminan penempatan pekerjaan dalam industri teknikal dan vokasional di Pulau Pinang,” ujar Pengarah Urusan Walta Group, Goh Kheng Sneah pada Majlis Graduasi dan Penempatan Pekerjaan Walta Centre of Excellence (WCOE) Kali Pertama.

Menurut Goh Kheng Sneah, 18 graduan tersebut yang merupakan sebahagian daripada keluarga asnaf di negeri Perlis tersebut berjaya menamatkan latihan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Perkhidmatan Kejuruteraan Industri Automasi dengan jayanya di Walta Centre of Excellence (WCOE) menerusi tajaan MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM)

Majlis yang diadakan di Plaza WCOE, Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang itu dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kepada graduan.

Turut hadir ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pengerusi ATAM (MAIPs), Tan Sri Halim Saad dan Datuk Seri Dr. Hilmi Haji Yahya, Penasihat WCOE, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Penasihat Pelaburan Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon.

Empat buah syarikat yang bakal disertai oleh 18 graduan tersebut adalah Walta Engineering Sdn. Bhd., Pentamaster Corporation Bhd, Eeway Precision Machining Sdn. Bhd. dan Max System Automation Sdn. Bhd.

Masalah kekurangan pekerja mahir dan isu ketidaksepadanan dalam kalangan industri dan universiti telah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini bukan sahaja menjadi salah satu faktor utama masalah pengangguran dalam kalangan graduan, bahkan sektor industri semakin bergantung kepada pekerja warga asing. Justeru bagi mengatasi masalah ini, kaedah penyelesaian melalui “Teaching Factory” atau “Kilang Pembelajaran” yang terbukti keberkesanannya perlu dilaksanakan

Goh Kheng Sneah turut berkata, WCOE berhasrat untuk membantu melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam industri automasi dan pemesinan. Kerjasama yang utuh antara pihak MAIPs, ATAM MAIPs dan WCOE telah berjaya membantu anak-anak asnaf terpilih di negeri Perlis untuk mengembangkan kemahiran teknikal, vokasional serta memupuk jati diri mereka.

Tambah Goh Kheng Sneah lagi, Walta Group menyediakan “one stop solution” yang merangkumi 7 buah syarikat yang berasaskan Fabrikasi (Fabrication), Automasi (Automation), Peralatan Standard (Standard Equipment), Produk Perubatan (Medical Product), MMS/Pembangunan Keusahawanan (Entrepreneurship Development) dan TVET/Pembangunan Kemahiran (Skill Development). Walta Group juga berusaha melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan memupuk lebih ramai usahawan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.