Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelihat keadaan sekarang, ramai graduan terjejas teruk dan kebanyakannya terpaksa mengambil jalan dengan memulakan perniagaan demi sesuap nasi. Sama ada menjadikan perniagaan sebagai pilihan terakhir sebagai sumber pendapatan, sekadar minat atau menjadikan perniagaan sebagai kerjaya, yang penting untuk menetapkan hala tuju sebelum memilih perniagaan sebagai satu bidang kerjaya.
Mendepani fasa endemik, graduan perlu memastikan perancangan kewangan lebih realistik dan bermakna.
Hal ini demikian kerana cabaran yang besar dihadapi oleh graduan adalah menguruskan kewangan. Cabaran dan ketidakpastian masa ini menuntut untuk memikir semula, memulih dan membuat penambahbaikan berterusan dalam mengurus kewangan.
Memahami kesukaran bagi mereka yang terjejas dan berhasrat memulakan perniagaan khususnya melalui platform digital, hakikatnya platform ini dapat mendorong graduan untuk menjadi lebih proaktif dalam mencari peluang yang membolehkan lebih ramai golongan muda berupaya mencipta produk berinovasi dan bekerja sendiri.
Antara platform yang signifikan untuk menjana pendapatan, termasuklah memiliki kemudahan Internet dan mempergiat perniagaan dalam talian, khususnya kepada graduan yang ingin menjana pendapatan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.
Meskipun mempunyai pelbagai pilihan untuk berjaya, kajian mendapati bahawa kebanyakan graduan kini tidak tahan dengan cabaran, bahkan cepat mengalah dan tidak mampu bertahan dalam tempoh yang panjang. Bagi mendukung kelestarian agenda keusahawanan, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT (PTK IPT) 2021–2025 dan MoHE Guide to Entrepreneurship Integrated Education (EIE) telah dilaksanakan. Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional (MKPTN) turut diaktifkan semula dengan pelantikan seramai 30 orang ahli baharu.
Sementara itu, MoHE-Shopee: Siswa Mall telah dilancarkan pada 25 November 2021 lalu untuk membantu meningkatkan kemahiran dan mengembangkan perniagaan mahasiswa. Program ini juga dapat memanfaatkan seramai 5000 graduan. Kerajaan, melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menawarkan pendaftaran syarikat secara percuma kepada graduan bagi menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan. Semasa dalam pengajian, misalnya UiTM telah menyediakan dana sebagai galakan kepada pelajar untuk memulakan perniagaan, pinjaman hingga RM3000 dari Tabung Keusahawanan Siswa.
Dalam perkembangan era digital ini, keseimbangan antara kemahiran teori dengan praktikal adalah elemen yang sangat penting untuk dibina dan diperkukuhkan.
Antara aspek yang perlu ditekankan, termasuklah graduan berupaya dalam komunikasi, berkemampuan menyelesaikan masalah, serta berfikiran kreatif dan inovatif.
Secara tuntasnya, mendepani situasi semasa, strategi pekerjaan perlu bersesuaian dengan peredaran semasa. Graduan perlu bersifat kreatif dalam mencipta pekerjaan atau perniagaan, di samping mendapat pendedahan dan bimbingan secara menyeluruh sebelum tamatnya pengajian supaya bersiap siaga menghadapi cabaran dan risiko pada masa akan datang.
Pendedahan pengetahuan dalam perniagaan menjadikan pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam usaha mencipta pekerjaan. Graduan tidak seharusnya tergesa-gesa mencari pekerjaan, sebaliknya mencari dan menjadi pencipta kepada peluang pekerjaan.
Intan Syazlina Mohd. Ali, Penolong Pendaftar Kanan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM Shah Alam.