Oleh Mubarak Ismail
18 Februari 2022, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan sebanyak 151 buah sekolah menengah di Johor akan digunakan sebagai pusat pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac ini.

“KPM sudah berbincang dengan SPR agar tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat pengundian PRN Johor kerana bimbang akan mengganggu persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021,” kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Yayasan Didik Negara pada hari ini.

Menurut Datuk Dr. Radzi Jidin, KPM sedar bahawa SPR mempunyai pelbagai kekangan dalam melaksanakan PRN Johor. Walau bagaimanapun, KPM memohon kerjasama SPR untuk mempertimbangkan penggunaan sekolah menengah sebagai pusat pengundian dalam kadar yang paling minimum dan turut melibatkan penggunaan sekolah rendah kerana sebarang gangguan kepada persiapan peperiksaan SPM di sekolah menengah akan memberi implikasi besar kepada kelancaran proses SPM di negeri berkenaan.

Datuk Dr. Radzi Jidin merasmikan Majlis Pelancaran Yayasan Didik Negara.

Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, KPM turut memohon kepada SPR supaya para guru yang terlibat bertugas sebagai pengawas peperiksaan, petugas peperiksaan atau pemeriksa kertas jawapan SPM dikecualikan menjadi petugas PRN Johor supaya mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan SPM.

“Sehubungan dengan itu, guru-guru yang terlibat dalam proses peperiksaan SPM perlu memaklumkan kepada wakil SPR di kawasan masing-masing untuk mendapatkan pengecualian sebagai petugas SPR. Sekiranya tiada pengganti, maka guru-guru ini perlu melaporkan kepada wakil SPR,” ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.

Tambah Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, calon SPM yang positif COVID-19 sebelum menduduki peperiksaan SPM perlu menjalani kuarantin kendiri dan tidak perlu menduduki peperiksaan SPM pada tarikh yang ditetapkan. Sebaliknya mereka akan menduduki peperiksaan SPM pada sidang berikutnya dan tarikh peperiksaan yang baru akan dimaklumkan kelak.

“Bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan pihak sekolah baru mendapat maklumat bahawa pelajar tersebut positif COVID-19, maka calon itu akan diletakkan di dalam sebuah bilik khas yang disediakan di sekolah berkenaan. Manakala calon yang menjadi kontak rapat pula, sekiranya perlu menjalani kuarantin, maka pelajar tersebut tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan. Walau bagaimanapun, pelajar yang menjadi kontak rapat ini perlulah menunjukkan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelas Datuk Dr. Radzi Jidin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.