Oleh Mubarak Ismail
18 Februari 2022, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA – Yayasan Didik Negara (YDN) yang ditubuhkan pada Julai 2021 kini sudah berjaya mengumpul sumbangan yang berjumlah RM20 juta. Kejayaan tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada majlis pelancaran yayasan berkenaan di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya petang tadi.

Menurut Datuk Dr. Radzi Jidin, sumbangan yang diterima juga dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai dan juga barangan lain termasuklah gajet serta barangan keperluan persekolahan seperti komputer riba dan beg sekolah.

Datuk Dr. Radzi Jidin menerima replika cek bernilai RM1 juta daripada Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Yayasan Didik Negara.

Menurut Datuk Dr. Radzi Jidin, YDN ditubuhkan sebagai organisasi yang mempunyai urus tadbir yang teratur dan sistematik. Selain itu, YDN turut berperanan sebagai badan rasmi yang bertanggungjawab untuk menggembleng kerjasama dan komitmen bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat untuk menyalurkan sumbangan ke arah melestarikan pendidikan berkualiti.

“YDN juga bertindak sebagai pusat sehenti (one-stop center) bagi sebarang program kebajikan yang diusahakan bersama-sama agensi dan badan kerajaan, syarikat swasta dan golongan individu,” ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.

Tiga objektif YDN:

  1. Memfokus kepada penjanaan dana bagi tujuan pendidikan dalam memperkasakan ekosistem pendidikan negara serta mengekalkan kelestarian yayasan.
  2. Menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada kumpulan sasar, iaitu murid, warga pendidikan, sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM dalam meningkatkan akses dan kualiti pendidikan.
  3. Mewujudkan pengurusan dan penyelarasan yang teratur, cekap dan efisien bagi memastikan fungsi yayasan memberikan manfaat kepada KPM dan sebagai pelengkap dalam pembangunan pendidikan bagi melahirkan generasi yang memenuhi aspirasi pendidikan negara.

Sehubungan itu, Datuk Dr. Radzi Jidin yang juga merupakan Pengasas dan Penaung YDN menyeru dan mengajak seluruh Keluarga Malaysia termasuklah warga korporat untuk bersatu tenaga dan menyumbang menerusi YDN bagi memastikan taraf pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sumbangan ini terbuka kepada orang awam juga kerana tanggungjawab pendidikan merupakan tanggungjawab semua. Manakala setiap bantuan sumbangan yang disalurkan kepada YDN akan diagihkan kepada para pelajar yang terjejas secara lebih teratur dan sistematik,” jelas Datuk Dr. Radzi Jidin.

Antara syarikat dan badan korporat yang memberi sumbangan kepada YDN termasuklah Bank Muamalat, Percetakan Nasional, Wysen, Takaful Malaysia, FGV Holding Berhad, Etiqa Family Takaful, Farm Fresh, EKUINAS, Pharmaniaga, Ronald McDonald House Charities, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Malaysian Rubber Council dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.