Oleh Ely Muhamad
20 Februari 2022, 22:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Bintang sensasi perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berada dalam kelas tersendiri apabila muncul penyumbang utama terhadap kejayaan Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam hari ini.

Kejayaan tersebut dilihat sebagai hadiah perpisahan terbaik kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memandangkan pemain berusia 23 tahun itu akan bergerak secara profesional dalam kariernya selepas ini.

Sebelum ini, anak jati Alor Setar, Kedah itu menggegarkan arena badminton tanah air apabila membuat keputusan untuk membawa haluan sendiri dan “bercerai” dengan BAM bagi menyertai mana-mana kejohanan pada peringkat antarabangsa.

Perkhabaran itu sememangnya mengejutkan semua pihak apabila secara tidak langsung mencetuskan kemelut dengan BAM yang kemudiannya mengambil keputusan drastik untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dalam  mana-mana kejohanan antarabangsa yang diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selama dua tahun.

Namun begitu, kemelut itu tidak berpanjangan apabila BAM akhirnya membuat “pusingan U” apabila memberikan lampu hijau dan merestui keputusan Zii Jia untuk bergerak secara profesional selepas mengadakan pertemuan  dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Tumpuan semua peminat sukan badminton negara sememangnya tertumpu kepada Zii Jia sepanjang saingan BATC 2022 dengan rata-rata mereka mahu melihat prestasi meyakinkan daripada pemain kedudukan ketujuh dunia itu yang dikritik hebat gara-gara keputusan tidak memberangsangkan penghujung tahun lalu.

Nama “Zii Jia” mula menjadi perhatian selepas dia berjaya mencipta kejutan menjuarai Seluruh England 2021 dengan menewaskan juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 pada Mac tahun lalu.

Empat bulan kemudian, Zii Jia diberikan tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun sekali gus menjadi sandaran utama kontinjen negara untuk mengutip pingat dan mengulangi pencapaian cemerlang pernah dilakukan Datuk Lee Chong Wei sebelum ini.

Jangkaan tinggi peminat tidak kesampaian apabila Zii Jia terkandas di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016 dari China, Chen Long dengan keputusan 21-8, 19-21, 5-21.

Walau bagaimanapun, Zii Jia kembali berapa pada tahap yang terbaik dengan membantu Malaysia meraih pingat gangsa Piala Sudirman 2021, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan dalam saingan Piala Thomas dua minggu kemudian apabila tewas pada peringkat suku akhir kepada Indonesia.

Selepas itu, Zii Jia mengharungi prestasi terumbang-ambing dalam enam kejohanan Jelajah Dunia dengan pencapaian terbaiknya adalah muncul naib juara Terbuka Hylo di Jerman sebelum meraih tempat ketiga Jelajah Dunia Akhir BWF. Hasrat untuk melihat Zii Jia melangkah ke pentas final Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol juga tidak kesampaian apabila dia terpaksa menarik diri pada peringkat suku akhir disebabkan oleh kecederaan tapak kaki, sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada wakil Denmark, Anders Antonsen.

Keputusan demi keputusan yang tidak memihak kepada Zii Jia menyaksikan dia sering dibandingkan dengan juara dunia baharu, Loh Kean Yew yang dilahirkan di Pulau Pinang sebelum memilih kerakyatan Singapura. Meskipun begitu, Zii Jia kembali membuktikan permainannya jauh lebih berkualiti berbanding dengan Kean Yew apabila dia mudah menundukkan lawannya itu dengan 21-6, 21-14 pada perlawanan pertama Malaysia ketika menentang Singapura dalam aksi Kumpulan A saingan BATC 2022.

Kemenangan Zii Jia menyuntik semangat tambahan buat barisan pemain negara menewaskan Singapura 5-0 menerusi empat lagi mata daripada beregu pertama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; perseorangan kedua, Ng Tze Yong; beregu kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan perseorangan ketiga, Leong Jun Hao.

Sepanjang beraksi di BATC 2022, Zii Jia tidak pernah kalah kepada lawannya bermula dengan kemenangan ke atas Kean Yew diikuti perseorangan pertama Jepun, Riku Hatano (15-21, 21-6, 21-15); perseorangan pertama Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin (13-21, 21-13, 21-15) pada separuh akhir dan akhir dengan menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia, 14-21, 21-12, 21-10.

Zii Jia boleh menarik nafas lega apabila telah menghadiahkan satu kejayaan bersejarah buat BAM dan Malaysia dengan menjuarai gelaran BATC 2022 buat kali pertama sejak penganjuran itu mula diperkenalkan pada edisi 2016 di Hyderabad, India.

Kini, Zii Jia pastinya akan memastikan dirinya kekal berada pada tahap terbaik apabila bakal memulakan kalendar acara perseorangan lelaki bagi tahun 2022 dengan menyertai Terbuka Jerman bulan depan.

Terbuka Jerman pastinya lebih dijadikan sebagai pentas buat Zii Jia mendapatkan “angin” di bawah kendalian jurulatih peribadi baharu, iaitu Indra Widjaja yang sepatutnya tamat kontrak bersama BAM sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita pada 31 Mac ini. Indra mempunyai hubungan baik dengan Zii Jia kerana bermula dengan individu dari Indonesia itu daripada remaja hinggalah ke pasukan sokongan kebangsaan.

Maka itu, Zii Jia sanggup menubuhkan Kelab Badminton Lee Zii Jia semata-mata melantik bekas pemenang pingat gangsa Piala Dunia 1997 itu yang merupakan calon tunggal untuk dilantik sebagai jurulatih peribadinya.

Sasaran sebenar mereka adalah bagi memastikan Zii Jia berjaya mempertahankan kejuaraan Seluruh England yang akan berlangsung pada 16 hingga 20 Mac 2022, iaitu selepas berakhirnya saingan Terbuka Jerman.

(Sumber foto: Facebook Lee Zii Jia)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.