20 Februari 2022, 00:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Program PENJANA KPT-CAP memberikan peluang kepada graduan untuk meningkatkan kemahiran dan penempatan kerja berdasarkan keperluan industri.

Menurut penelitian Lily Yulyadi Arnakim dan Siti Mariam Mat (2021), menerusi pemberdayaan kerjasama pendidikan antara negara anggota, ASEAN dilihat cakna akan fokusnya dalam melahirkan warga yang celik pengetahuan dan meluaskan pasaran sektor ekonomi melalui pelbagai peluang yang disediakan. Pemberdayaan ini diteraju oleh Southeast Asian Ministers Of Educatian Organization (SEAMEO) bagi pembangunan bangsa untuk melahirkan kehidupan yang lebih baik, pendidikan, kesihatan, budaya, tradisi, teknologi maklumat dan komunikasi, bahasa, pembasmian kemiskinan, pertanian dan sumber asli.

Sudah pasti, perkembangan pesat yang berlaku dalam agenda memperkukuhkan sektor ekonomi diberikan perhatian oleh pengurusan universiti dengan memberikan pendedahan dan amali kepada mahasiswa sebagai pemain sektor ini. Satu daripada program khusus yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan ialah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau lebih dikenali sebagai PENJANA, yakni antara inisiatif rangsangan untuk menangani situasi ekonomi dan meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Mendepani cabaran ini, The Chartered Institute Logistics and Transport (CILT) Malaysia, iaitu sebuah badan profesional dalam bidang pengangkutan dan logistik telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2021 bagi menangani isu kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak COVID-19. CILTM komited bekerjasama dalam Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) – Career Advancement Programme (CAP) mengkhususkan bidang logistik dan pengangkutan.

Menurut Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdulah, Presiden CILTM, mahasiswa perlu mempunyai  pemikiran di luar kotak dan dan sentiasa berdaya saing. Musim pandemik ini CILTM sebagai badan profesional turut menawarkan kursus dan kemahiran dalam bidang logistik dan pengangkutan yang sudah tentu relevan sebagai instrumen ekonomi. Selain itu, CILTM akan sentiasa bekerjasama dengan pihak universiti dan industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga mengambil inisiatif menggerakkan pelan ini melalui program utama di bawah peruntukan PENJANA, iaitu Pemadanan Kerja dan Penempatan (Job Matching and Placement)  yang dirancang untuk meningkatkan kemahiran dan penempatan kerja kepada peserta berdasarkan keperluan industri. Penjana KPT-CAP atau Program Kemajuan Karier, Kursus Advanced Enterprise Data Practioner (AEDA) atau Pengamal Data Perusahaan Lanjutan dan Aeda Analytic Skills / Business Analytics atau Kemahiran Analisis atau Analisis Perniagaan telah dianjurkan bersama-sama dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), KPT, dan CADS yang memulakan latihan mulai bulan Februari yang melibatkan penyertaan graduan daripada seluruh IPT.

“UPNM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan universiti” – Prof. Ts. Dr. Muhd. Zu Azhan Yahya.

Program ini dirasmikan secara maya oleh Prof. Ts. Dr. Muhd. Zu Azhan Yahya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPNM. Menurut beliau, UPNM sentiasa berusaha dengan  pelbagai inisiatif dengan merangka pelbagai program dan latihan yang menjurus kepada pembangunan dan penempatan kerjaya dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kadar kebolehpasaran graduan universiti.

Menurut Sharizan Samad, Pengarah Pusat Kaunseling, Kerjaya dan Alumni UPNM, program UPNM berjaya mendapatkan kelulusan KPT dalam melaksanakan program latihan dan penempatan kerjaya kepada graduan UPNM dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT).  Objektif program ini memberikan peluang dan latihan kepada graduan, khususnya dalam meningkatkan kemahiran graduan mahasiswa dan dalam waktu yang sama memberikan peluang penempatan kerjaya kepada graduan.

Antara peserta yang berjaya melalui program ini ialah Alia Mohd. Zaki dan Nurul Atiqah Rohaizar yang berkongsi pengalaman dan kegembiraan mereka meraih pengetahuan yang amat berguna daripada program yang dilaksanakan ini dan telah melayakkan mereka melebarkan bakat dan kepakaran dalam bidang masing-masing di firma antarabangsa.

UPNM akan terus berusaha dengan pelbagai idea, perancangan dan inisiatif dalam usaha bersama meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam waktu yang sama untuk mengekalkan kadar peratusan graduan UPNM. Kerjasama pihak Centre of Applied Data Science (CADS) sebagai rakan strategik industri dengan pihak UPNM, adalah satu permulaan yang baik dalam merangka pelbagai lagi usaha dalam membantu mahasiswa graduan agar lebih cerdas dalam dunia pasaran kerjaya serta memahami pasang surut ekonomi.


Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Kluster Wanita dan Masyarakat Majlis Profesor Negara.

Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh, Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!