Oleh Rosmani Omar
5 Mac 2022, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenaan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-15 UniMAP (Universiti Malaysia Perlis) yang bermula pada hari ini, 5 Mac 2022. Istiadat tersebut yang akan berlangsung hingga 8 Mac 2022 melibatkan lapan sidang dan akan disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor.

Dalam istiadat tersebut, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengucapkan tahniah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing serta kepada ibu bapa, waris dan keluarga atas segala sokongan dan pengorbanan yang dicurahkan kepada mereka sehingga berjaya diraikan dalam konvokesyen pada kali ini. Baginda turut merakamkan penghargaan kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Ir. Ts. Abdahir Haji Abdul Majid yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Encik Goh Kheng Sneah yang menerima Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan dalam istiadat konvokesyen tersebut yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada pagi tadi.

Sekitar Istiadat Konvokesyen Ke-15 UniMAP pada hari ini yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menerusi istiadat konvokesyen kali ini, sebanyak 2763 graduan diraikan dan akan menerima ijazah menerusi lapan sidang yang diadakan secara fizikal. Menurut Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, daripada jumlah itu, 60 graduan ialah penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 117 graduan ijazah sarjana, 2294 orang penerima ijazah sarjana muda dan 292 ialah penerima diploma.

Menurut Raja Muda Perlis dalam titah baginda dalam majlis ini, penerokaan ilmu tanpa mengabaikan kualiti pendidikan amat penting kepada graduan dalam mencapai kejayaan. Titah baginda:

Menghormati hak orang lain, bertolak ansur, dan bekerjasama itu tidak memerlukan IQ  (darjah kecerdasan atau ‘intelligence quotient’) yang tinggi tetapi EQ, ataupun ’emotional quotient’. IQ yang tinggi tetapi tanpa kecerdasan emosi, EQ, tidak akan menjadikan seseorang itu berjaya.

EQ ialah satu kebolehan atau kemahiran untuk mengenal pasti dan mengawal emosi diri sendiri dan juga emosi orang lain. Suka saya mencadangkan agar EQ dipelajari dan dibina dalam diri sebagai persediaan untuk memasuki pasaran pekerjaan di samping meningkatkan nilai diri.

Tambah baginda lagi, empat perkara perlu diberikan keutamaan dalam meningkatkan nilai diri:

Pertama – melaksanakan penilaian kendiri

Kedua – mengambil tanggungjawab dan sentiasa bertanggungjawab atas apa-apa jua tindakan yang dibuat

Ketiga – mengenal pasti bagaimana tindakan kita memberikan kesan kepada orang lain

Keempat – mengkaji respons diri kita terhadap tekanan

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyeru semua para graduan dan juga alumni UniMAP supaya berbangga dengan UniMAP yang telah melahirkan siapa mereka pada hari ini. Baginda juga berharap agar para graduan dan alumni terus menyokong dan mendukung nama baik UniMAP tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada kerana UniMAP sentiasa berbangga dengan mereka semua.

Dalam istiadat konvokesyen ini juga, UniMAP turut menyampaikan empat anugerah khas, iaitu Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Siswazah.

Penerima “Anugerah Pelajaran Diraja” ialah Nurfatin Nabila Norasri dan Aw Hui Yee manakala “Pingat Emas Canselor” diterima oleh Nur Shahirah Mohd Zaini dan Poh Lee Ching. Penerima “Pingat Emas Naib Canselor” ialah Chawalit a/l Udom Sak, Sundeep Singh Bhullar a/l Manmohan Singh dan Fuad Hassan Adam dan “Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Siswazah” diraih oleh Santheraleka a/p Ramanathan, Shariffah Zarihan Syed Zaharin Helmi dan Tan Kia Ying.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama penerima anugerah dalam Istiadat Konvokesyen Ke-15 UniMAP pada hari ini.

UniMAP terus melangkah ke hadapan dalam pembangunan pendidikan dan pasaran kerja. Menurut Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, sehingga kini, sebanyak 98.3% graduan UniMAP berjaya menceburi bidang pekerjaaan sama ada dalam sektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.