6 Mac 2022, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-2 Istiadat Konvokesyen Ke-15 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada petang semalam.

DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyempurnakan Sidang Ke-2 Istiadat Konvokesyen Ke-15 UniMAP.

Dalam sidang tersebut, sebanyak 201 graduan ljazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Mekatronik) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) (Kuasa Industri) menerima anugerah masing-masing daripada baginda.

Raja Puan Muda Perlis selaku Pro-Canselor UniMAP bergambar dengan ahli akademik.

Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli yang hadir mengiringi keberangkatan Raja Puan Muda Perlis dalam ucapan beliau menyatakan kesyukuran kerana pada tahun ini Istiadat Konvokesyen UniMAP dapat dilaksanakan untuk meraikan kejayaan siswazah selepas tamat pengajian mereka pada 2020. Hal ini demikian kerana istiadat Konvokesyen UniMAP terpaksa ditangguhkan sejak dua tahun lalu akibat penularan pandemik Covid-19. 

Menerusi ucapan Naib Canselor, beliau turut berkongsi nama-nama graduan UniMAP yang berjaya dalam pekerjaan bagi menyatakan rasa bangga akan kewibawaan UniMAP sebagai institusi pendidikan tinggi. Menurut beliau, sehingga kini, sebanyak 98.3% graduan UniMAP berjaya menceburi bidang pekerjaaan sama ada dalam sektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan. Kebolehpasaraan graduan dalam bidang teknologi kejuruteraan elektrik pada tahun 2021 mencatat jumlah 98.1% dan pada tahun 2022 dianggarkan kebolehpasaran graduan dalam bidang tersebut berjumlah 99.7%.

Graduan UniMAP dalam bidang teknologi kejuruteraan elektrik mencatat kebolehpasaran yang tinggi dalam bidang pekerjaan.

Selain itu, beliau juga berkongsi informasi berkaitan dengan QS World University Rankings (WUR) Edisi 2022 bagi kategori mata pelajaran Kejuruteraan – Elektrik dan Elektronik, iaitu UniMAP berada pada kedudukan 401 hingga 450 dunia. Bagi mata pelajaran Kejuruteraan dan Teknologi untuk Times Higher Education (THE) pula, UniMAP berada pada kedudukan 1001+ manakala bagi mata pelajaran Sains Fizikal, UniMAP kini berjaya berada pada kedudukan 501 hingga 600 dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!