7 Mac 2022, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Bermatlamatkan ke arah kandungan pendigitalan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan usaha dalam membina, menyebarkan dan mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu dengan menjalinkan hubungan kerjasama bersama-sama Universiti Multimedia (MMU). Dengan memanfaatkan ruang melalui teknologi, seperti memperbanyak program dan kandungan di pelbagai pelantar dan media sosial, usaha ini adalah seiring dengan Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan generasi berdaya saing, terutamanya dalam Revolusi Perindustrian 4.0.

Kunjungan hormat ini diadakan di Universiti Multimedia, Cyberjaya yang disambut oleh Presiden Universiti Multimedia, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud dan delegasi DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran pada pagi tadi. Antara matlamat kunjungan tersebut adalah untuk berbincang mengenai kerangka kerjasama dan pembangunan kemahiran penerbitan digital dalam kalangan karyawan DBP.

Ucapan alu-aluan daripada Prof. Dato’ Dr. Mazliham.

Menerusi kunjungan tersebut, Prof. Dato’ Dr. Mazliham berkata, MMU amat komited dalam mendukung agenda transformasi digital negara, terutamanya dalam bidang penerbitan. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang penerbitan merupakan antara bidang yang amat terkesan dengan transformasi digital tersebut, terutamanya dalam peralihan wahana penerbitan daripada fizikal kepada digital.

Sebagai sebuah universiti yang memfokuskan bidang teknologi, multimedia dan komunikasi, MMU dianggap sebagai rakan kerjasama yang bertepatan untuk merealisasikan usaha tersebut. Menurut Datuk Abang Sallehuddin, MMU dilihat sebagai lubuk dalam industri pendigitalan apabila universiti ini berjaya menjalinkan kerjasama dengan ZTE dalam bidang telekomunikasi 5G dan ASTRO dalam bidang animasi dan kesan visual.

Ucapan oleh Datuk Abang Sallehuddin tentang perancangan DBP ke arah pendigitalan.

Pada dasarnya, sinergi antara dua hala ini telah bermula pada tahun 2000 apabila MMU terlibat dengan pembangunan Tatabahasa Bahasa Melayu dalam bentuk digital (CD-ROM) melalui Jabatan Bahasa. Oleh itu, Datuk Abang Sallehuddin berkata bahawa antara aspirasi DBP pada masa ini adalah untuk mendigitalkan kesemua bahan penerbitan dan tidak ada lagi bahan penerbitan fizikal pada masa akan datang, seiring dengan hasrat KPM dalam menukarkan format buku teks konvensional yang sedia ada kepada bentuk digital.

Oleh itu, hasrat tersebut merupakan antara usaha DBP melalui Bahagian Buku Sekolah dalam menjadikan buku teks DBP dalam bentuk digital dan interaktif. Mengulas dengan lebih lanjut, Ketua Bahagian Buku Sekolah, Encik Ghani Abu berkata bahawa terdapat beberapa elemen yang harus terdapat dalam buku teks digital tersebut seperti aktiviti interaktif, realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), animasi dan video.

Universiti Multimedia turut mempunyai studio yang dilengkapi dengan kelengkapan realiti maya (VR).
Lawatan ke studio layar hijau.
Lawatan ke studio bunyi.

Sebagai usaha untuk merealisasikan usaha tersebut, DBP memerlukan latihan sumber manusia yang meliputi penerbitan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P), penerbitan rancangan pendidikan (Eduflix), penerbitan kandungan bahan multimedia kreatif dan penulisan skrip kandungan P&P dalam bentuk digital.

Kunjungan ini diteruskan dengan lawatan ke Fakulti Kreatif Multimedia dan Fakulti Seni Senimatik. Turut hadir bersama-sama ialah Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Buku Sekolah, Encik Ghani Abu; Ketua Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof; Ketua Bahagian Buku Sastera, Puan Nurul Julia Alani Henry; Ketua Bahagian Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat; Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Mariati Josepha Mustafa; Ketua Bahagian Undang-undang, Encik Mohd Isa Sapuan; dan Ketua Bahagian Harta Intelek, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali serta pegawai-pegawai DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.