8 Mac 2022, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Arau – Usaha memperkasakan wanita bukan perkara baharu. Dalam usaha mengangkat martabat wanita ke aras lebih tinggi beberapa cabaran perlu ditangani termasuklah stereotaip terhadap kepemimpinan wanita, isu penderaan, gender, perbuatan menyasarkan wanita sebagai mangsa seperti pemerdagangan manusia, eksploitasi seks, dan keganasan rumah tangga.
Melihat peri pentingnya perkara ini, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) komited menyokong usaha bagi membuka mata semua pihak untuk membela hak wanita. Cerminan dedikasi ini dapat dilihat melalui ratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita dan Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing yang turut diterjemahkan ke dalam Dasar Wanita Negara. Justeru, berbekalkan panduan dalam dokumentasi tersebut, kita perlu akui banyak lagi usaha yang perlu dilipatgandakan.
Laporan Global Gender Gap Index 2020 oleh World Economic Forum’ (WEF), menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-104, daripada 153 negara. WEF menyasarkan bahawa rantau Asia Timur dan Pasifik, memerlukan lebih kurang 163.4 tahun lagi, untuk menutup sepenuhnya jurang gender ini. McKinsey Global Institute juga telah mengeluarkan laporan yang menyatakan bahawa ekonomi global akan terjejas sekiranya wanita yang merupakan separuh daripada populasi tenaga kerja dunia, tidak dapat menggunakan sepenuhnya potensi ekonomi mereka.
Demikian titah perutusan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi YTF bersempena dengan kempen “Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan” yang dilaksanakan bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi memperingati “Hari Wanita Sedunia” yang disambut pada 8 Mac setiap tahun bagi meraikan pencapaian wanita dan menggalakkan kesaksamaan jantina.
Menurut Kerangka 4K Pemerkasaan Wanita oleh Jabatan Pembangunan Wanita,  fokus pemerkasaan wanita untuk pelaksanaannya pada tahun 2021 tertumpu kepada meningkatkan kerjasama dengan ramai pihak dalam aspek perlindungan wanita. Antaranya termasuklah memperkasakan pelibatan komuniti dalam menyokong keperluan rakyat dari sudut psikososial.
Bertepatan aspirasi tersebut, YTF menyambut baik usaha ini dengan mengadakan webinar bersiri pada setiap bulan dengan pelibatan komuniti pelajar setempat dengan mengangkat tema tersebut.
Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Puan Muda menitahkan ucapan penghargaan kepada para peserta Webinar “Women in Search of Excellence” (WISE) Siri Ke-6 bertemakan “Peranan Wanita dalam Peningkatan Kualiti Pendidikan” anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKPs) dengan kerjasama YTF termasuklah dalam kalangan kaum wanita Malaysia yang kini bermastautin di luar negara baru-baru ini.
Ahli-ahli panel yang terlibat dalam perkongsian pandangan dan pengalaman tersebut ialah Dr. Beverley Lim Høeg (Denmark), Norzaini Zulkefli (Amerika Syarikat), Juita Jalal Abidin dan Nur Azlini Yusoff (India), Muhainadzri Mohamad (Pakistan), Maizura Ailin Abdullah (Sweden), Nur Atikah Anuar (Poland), Rosmizana Ismail dan Fatimah Mat Aruf (Australia), Roslina Abdullah (Sepanyol), Nur Syaida Firzana Mohamad I’sham dan Nur Syaida Batrisyia Mohamad I’sham (New Zealand), Shahida Jaafar (Qatar) dan Sarina Böhler (Switzerland).
Webinar Siri Ke-7 YTF adalah dijadualkan pada rabu 23 Mac 2022 yang akan datang nanti dan bakal dihoskan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi INSKEN. Perasmian pembukaan akan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.