16 Mac 2022, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seluruh dunia kini berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19 yang telah mengorbankan banyak jiwa dan meninggalkan impak yang besar terhadap ekonomi, sosial dan politik.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, di sebalik krisis tersebut terdapat pelbagai iktibar dan hikmah yang dapat dijadikan sebagai pengajaran dalam kehidupan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

Pandemik ini juga dapat menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira pegangan politik, bangsa, mahupun agama selain mengubah cara manusia melihat masa hadapan, khususnya budaya, persekitaran dan bakat.

“Graduan perlu menerokai dan menguasai ilmu, serta kemahiran baharu yang bukan terhad kepada ilmu dan kemahiran yang diajar di universiti sahaja, bahkan berfikir di luar kotak.

Ujian ini dapat menjadikan warga UUM lebih berdaya tahan, adaptif, lebih matang dan bersedia menghadapi krisis lain pada masa hadapan.

“Kebergantungan pada teknologi baharu berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) menyebabkan banyak peluang pekerjaan yang dilakukan oleh mesin berkepintaran buatan. Pandemik ini secara tidak langsung telah membuka ruang kepada graduan untuk mempelajari dan menerokai ilmu serta kemahiran baharu secara dalam talian, sepanjang hayat, tanpa mengira tempat dan masa,” katanya.

Menurutnya, Laporan Forum Ekonomi Dunia menunjukkan bahawa pembelajaran sepanjang hayat sememangnya semakin penting tetapi COVID-19 secara khususnya telah menjadi pemangkin kepada e-pembelajaran sepanjang hayat, iaitu pembelajaran dalam talian.

“Dalam era pascapandemik, penguasaan ilmu dan kemahiran insani seharusnya ditingkatkan selaras dengan penguasaan kemahiran teknikal. Graduan juga merupakan pemimpin masa depan oleh itu, anda mesti memiliki daya tahan yang jitu, terutamanya ketika mengharungi ketidakpastian demi menentukan destinasi,” ucapnya pada Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM sesi kedua, di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Selain itu, beliau katanya, UUM merupakan satu-satunya Pusat Penilaian APEL (Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu) di kawasan Utara, maka beliau mengajak masyarakat yang tidak memiliki kelayakan ijazah, tetapi mempunyai pengalaman bekerja, untuk mengikuti penilaian APEL.

Jelasnya, APEL ialah proses verifikasi pencapaian seseorang individu bagi satu set hasil pembelajaran yang diperoleh melalui pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal tanpa mengambil kira masa dan tempat.

“Tujuan utama pensijilan APEL adalah untuk memberi peluang kepada individu yang tidak dapat mengikuti pendidikan yang lebih tinggi pada awalnya disebabkan kekangan kelayakan akademik, ekonomi atau faktor lain yang mungkin menghalang seseorang untuk meneruskan pengajian terdahulu,” ujarnya.

Tambahnya, UUM merupakan Pusat Penilaian APEL sejak tahun 2018 dan telah menerima akreditasi semula tahun ini oleh Agensi Kelayakan Malaysia dan PPA ini dikendalikan oleh Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE).

Pada sesi kedua ini, seramai 353 graduan menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Naib Canselor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.