17 Mac 2022, 11:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – “Membaca Jambatan Ilmu”, demikian peribahasa yang bermaksud amalan membaca dapat membantu untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Oleh itu, minat membaca perlulah dipupuk dalam kalangan murid agar murid tampil lebih berpengetahuan dan berketerampilan.

Hal ini dikatakan demikian kerana melalui pembacaan, murid mampu mengembangkan daya fikir dan imaginasi di samping meningkatkan pencapaian bahasa. Kemahiran yang diperoleh melalui amalan membaca juga secara tidak langsung dapat membantu pembentukan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang termasuklah bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Menyedari hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah menyampaikan wakaf buku kepada pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Buang Sayang, Papar, Sabah pada 16 Mac 2022.

Pihak SK Buang Sayang yang diwakili oleh Guru Besar, Encik Basnih Maidin (dua dari kanan), Puan Hapsah Haji Marjaman (kanan) dan Puan Dayang Norlela Ali Omar (kiri) menerima wakaf buku yang disampaikan oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar (dua dari kiri).

Penyampaian wakaf buku ini telah disempurnakan oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar di pejabat DBP Cawangan Sabah. Wakaf buku tersebut telah diterima oleh Guru Besar SK Buang Sayang, iaitu Encik Basnih Maidin yang diiringi oleh Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Hapsah Haji Marjaman dan Guru Perpustakaan dan Media, Puan Dayang Norlela Ali Omar.

Wakaf buku ini merupakan antara inisiatif DBP untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan murid sekolah. Antara bahan bacaan yang diberikan termasuklah buku dan majalah terbitan DBP yang pastinya akan dapat mempelbagaikan koleksi bahan bacaan di Pusat Sumber SK Buang Sayang.

Penyerahan wakaf buku ini juga merupakan tanda sokongan DBP kepada Program Galakan Membaca anjuran SK Buang Sayang yang melibatkan murid, ibu bapa dan komuniti setempat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.