Oleh Mubarak Ismail
18 Mac 2022, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jenjarom – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memberikan jaminan bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra di Kuala Langat akan mula beroperasi pada penggal baharu persekolahan bulan Mac ini.

Perkara itu diumumkan oleh Datuk Dr. Radzi Jidin selepas menerima penyerahan sekolah daripada syarikat kontraktor utama, Wangsa Delima Sdn. Bhd. dalam Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra di Jenjarom pada hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof, Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Selangor, Datin Nor Faridah A Bakar dan Pengarah Urusan Wangsa Delima, Mohd. Nazri Md. Yusof.

Datuk Dr. Radzi (kanan) menyerahkan replika kunci kepada Penolong Kanan Pentadbir, Azman Sharif (kiri) pada Majlis Penyerahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra.

Penantian lebih 40 000 penduduk di Bandar Saujana Putra bakal berakhir apabila sekolah menengah yang sudah lama dinanti-nantikan akan mula beroperasi pada minggu depan. Pembinaan SMK Bandar Saujana Putra yang terbengkalai sejak Disember 2019 itu dijangka akan menerima kemasukan pelajar dalam kalangan penduduk tempatan dengan kapasiti 1000 orang pelajar.

Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pembukaan kompleks sekolah pada sesi baharu tahun ini menjadi khabar gembira buat penduduk Bandar Saujana Putra yang sudah menanti infrastruktur itu dibangunkan sejak bertahun-tahun lamanya. Selain itu, sekolah ini juga bakal meringankan beban sebahagian daripada penduduk yang sebelum ini terpaksa keluar pada awal pagi untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang terletak 20 kilometer dari kawasan tempat tinggal.

“SMK Bandar Saujana Putra mempunyai 10 kelas untuk pelajar tingkatan satu, lapan kelas untuk pelajar tingkatan dua, enam kelas bagi tingkatan tiga dan dua kelas untuk tingkatan empat. Manakala, Sekolah Kebangsaan Bandar Saujana Putra pula dijangka siap sekitar September 2022,” ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.

Menurut Datuk Dr. Radzi Jidin, KPM juga akan memfokuskan projek-projek “sekolah sakit” atau pembinaan sekolah terbengkalai bagi menyelesaikan masalah kepadatan tinggi dalam kapasiti sesebuah sekolah akibat kekurangan institusi pendidikan. Bahkan, isu ini akan diberi keutamaan oleh KPM bagi menyelesaikan masalah tekanan tinggi yang dihadapi golongan ibu bapa yang terpaksa menghantar dan mengambil anak mereka di sekolah dengan jarak yang sangat jauh pada setiap hari.

Datuk Dr. Radzi Jidin turut memaklumkan bahawa pihak KPM mempunyai beberapa senarai “sekolah sakit” yang dikenal pasti untuk dibaik pulih dan dibina kembali, khususnya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Ujar beliau lagi, isu pembinaan sekolah terbengkalai akan lebih membebankan kerajaan sekiranya dibiarkan terlalu lama tanpa dibaiki kerana membabitkan kos yang lebih tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.