Oleh Ely Muhamad
30 Mac 2022, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia menutup kalendar sukan hoki tahun 2021 dengan pencapaian sebagai 10 pasukan terbaik dunia selepas menduduki tangga ke-10 dalam carta kedudukan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Pencapaian ini merupakan satu penghormatan besar pada arena hoki tanah air untuk kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dunia selepas kali terakhir melakukannya pada lewat tahun 2003. Situasi itu membuktikan Malaysia akhirnya berjaya berada pada landasan tepat untuk meraih sesuatu yang membanggakan selepas beberapa siri kekecewaan sejak kebelakangan tahun yang lalu.

Antara detik paling tidak dapat dilupakan sudah tentu perlawanan dengan Jepun pada peringkat akhir Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia yang sekali gus melenyapkan hasrat Malaysia untuk tampil layak ke peringkat Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. Namun begitu, kekecewaan itu seakan-akan terubat apabila Malaysia berjaya menempatkan kedudukan antara 10 pasukan terbaik dunia.

Kejayaan ini sememangnya memberikan banyak manfaat dalam kejohanan antarabangsa, seterusnya secara tidak langsung memberikan nafas baharu kepada sukan hoki, terutamanya kepada pasukan senior lelaki kebangsaan untuk cuba menamatkan penantian 22 tahun ke Sukan Olimpik menjelang edisi akan datang di Paris, Perancis pada tahun 2024. Mengimbau kejayaan sebelum ini, terakhir kali pasukan Malaysia diberi jolokan Speedy Tigers itu beraksi di pentas berprestij dunia ketika penganjuran Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia.

Tahun ini dilihat amat penting kepada sukan hoki negara untuk memastikan kedudukan Malaysia tidak jatuh, sebaliknya terus meningkat kepada kedudukan yang lebih membanggakan dan merapatkan jurang dengan seteru tradisi, India yang ketika ini menghuni tempat ketiga. Jika India mampu menjadi pasukan ketiga terbaik dunia di belakang Australia dan Belgium, tidak mustahil Malaysia juga berkemampuan untuk melakukan perkara sebegitu pada masa depan.

Selain daripada Australia, Belgium dan India, enam pasukan yang berada di atas kedudukan Malaysia ialah Belanda, Jerman, England, Argentina, New Zealand dan Sepanyol. Kini, bukan sahaja peningkatan dilihat pada kedudukan dunia skuad senior, malah pasukan remaja lelaki kebangsaan turut berjaya “menggoncang” dunia dengan mencipta beberapa kejutan sepanjang saingan pada tahun lalu. Menariknya, skuad projek khas itu berjaya meraih status sebagai lapan pasukan remaja terbaik dunia berdasarkan pencapaian tempat kelapan diraih dalam saingan Piala Dunia Hoki Remaja 2021 di Bhubaneswar, India pada Disember 2021.

Biarpun tidak berjaya menaiki podium, tetapi kejayaan itu membuktikan sukan hoki Malaysia masih berada pada landasan yang baik walaupun dunia dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun 2020.

Rentetan itu, barisan pemain remaja negara kendalian Wallace Tan tidak dapat melakukan persediaan seampuh mungkin dan hanya mampu menjalani satu siri jelajah di United Kingdom sebulan sebelum bermulanya Piala Dunia Hoki Remaja 2021. Meskipun begitu, kekangan itu tidak menjejaskan rentak skuad remaja apabila berjaya mencipta kejutan sensasi dengan meraih kemenangan naib juara edisi 2016 di Belgium sewaktu saingan peringkat kumpulan.

Walau bagaimanapun, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan barisan kejurulatihan masih banyak “kerja rumah” yang perlu dilakukan kerana saingan Piala Dunia Hoki Remaja 2021 itu memperlihat realiti bahawa Malaysia masih beberapa langkah ke belakang berbanding dengan lawan dari benua Eropah. Hal ini dikatakan demikian Malaysia tidak berjaya melangkah ke separuh akhir selepas tumpas dengan pasukan Perancis dan kemudiannya kecundang dua perlawanan berturut-turut dengan pasukan Belanda dan Sepanyol, sekali gus akur menamatkan kejohanan berprestij bawah 21 tahun itu pada kedudukan kelapan daripada keseluruhan 16 pasukan bertanding.

Dalam konteks ini, jika Malaysia melakukan persiapan awal seperti pasukan Eropah yang lebih awal memasuki “fasa endemik”, tidak mustahil keputusan berbeza mampu diraih di India pada Disember tahun lepas. Pujian harus diberikan kepada MHC kerana badan induk hoki negara itu sudah menyedari hakikat tersebut dan bersedia memberikan pendedahan secukupnya kepada skuad remaja selepas ini yang akan menggalas misi lebih besar pada penganjuran, seterusnya Piala Dunia Hoki Remaja di Kuala Lumpur tahun depan.

Perlawanan ini bakal menjadi kali keempat kejohanan itu dipertandingkan di Malaysia selepas tiga edisi terdahulu dilakukan di Kuala Lumpur pada tahun 1982; Ipoh, Perak (1989) dan Johor Bahru, Johor (2009). Kedudukan podium sebagai tiga pasukan terbaik menjadi sasaran MHC kepada skuad projek. Sekiranya berhasil, hal ini sekali gus menjadi pencapaian terbaik sepanjang penglibatan Malaysia di pentas Piala Dunia Hoki Remaja sejak edisi pertama dipertandingkan di Versailles, Perancis pada tahun 1979. Dalam sejarah kejohanan lalu, pencapaian terbaik Malaysia ialah tempat keempat sebanyak tiga kali bermula tahun 1979, 1982 dan 2013 di New Delhi, India.

Bagi memastikan kejayaan podium mampu diraih, Malaysia perlu berkorban lebih pada masa dan wang ringgit untuk menghantar pasukan remaja ke Eropah dalam satu tempoh yang lama. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pemain dengan mengadakan sebanyak yang mungkin aksi persahabatan menentang kelab atau pasukan Eropah agar pasukan negara lebih bersedia untuk memasuki perlawanan Piala Dunia Hoki Remaja 2023. Contoh terbaik, pasukan remaja negara bertemu dalam Skuad Projek 2013 yang memilih benua Eropah untuk menguji kemampuan mereka, dan terbukti berkesan apabila mereka berjaya meraih tempat keempat.

Walau bagaimanapun, fokus tidak hanya terarah kepada skuad remaja kerana pasukan senior, terutamanya lelaki kebangsaan juga mempunyai misi penting dengan tiga kejohanan besar pada tahun ini, iaitu Piala Asia 2022, Sukan Komanwel 2022 di Birmingham bertarikh 28 Julai hingga 8 Ogos 2022 dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 September 2022.

Realistiknya, saingan Piala Asia dan Sukan Asia pada tahun ini merupakan dua kejohanan yang dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh skuad senior kebangsaan berbanding dengan Sukan Komanwel. Yang menariknya lagi, kejayaan memenangi satu daripada dua kejohanan itu bakal membolehkan Malaysia meraih status sebagai juara Asia, sekali gus meraih tiket automatik ke pentas Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung di India pada Januari tahun depan. Sekiranya layak, perlawanan ini akan menjadi penampilan ketiga berturut-turut Malaysia di pentas Piala Dunia selepas edisi 2014 di The Hague, Belanda dan edisi 2018 di Bhubaneswar, India.

Secara kesimpulannya, kejayaan demi kejayaan mampu diraih mengikut kalendar sukan hoki tahun ini. Hal ini secara tidak langsung turut memperbaik kedudukan Malaysia dan tidak mustahil menyaksikan negara melonjak ke kedudukan carta yang lebih baik daripada tangga ke-10 ketika ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!