9 April 2022, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kehadiran murid ke sekolah tanpa penggiliran mendapat maklum balas yang positif daripada pelbagai pihak. (Sumber foto: KPM)

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa murid sekolah rendah di seluruh negeri akan hadir secara bersemuka ke sekolah tanpa penggiliran bermula 17 April dan 18 April 2022, mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, ketetapan ini turut terpakai kepada semua murid sekolah swasta, termasuklah sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah KPM, serta institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.

Tambah beliau, keputusan ini dilakukan setelah melihat kelancaran pengoperasian sekolah rendah secara bersemuka pada 21 Mac yang lalu dan pengoperasian sekolah menengah secara bersemuka tanpa penggiliran pada 4 April, serta pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Maka itu, kita telah membuat ketetapan bahawa murid sekolah rendah akan dibenarkan hadir ke sekolah tanpa penggiliran bermula pada 17 April untuk negeri kumpulan A dan 18 April untuk negeri kumpulan B,” kata Datuk Dr. Radzi menerusi rakaman video di Facebook, semalam.

Negeri bagi kumpulan A ialah sekolah di negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala kumpulan B ialah sekolah di negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Apa yang penting, saya menasihatkan agar murid-murid dan guru sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

“Walaupun kita sedang bergerak dari fasa peralihan ke endemik, namun kita masih perlu mengekalkan SOP yang ditetapkan khususnya apabila semua murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran kelak,” katanya.

Mengulas lebih lanjut berkaitan dengan ketetapan baharu ini, Datuk Dr. Radzi menegaskan agar ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mematuhi segala SOP demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.