Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang pada awalnya dijadualkan berlangsung mulai 7 Februari 2022 telah dianjak kepada 3 hingga 12 Jun ini. Bagi penerbit buku, tarikh baharu itu sedikit banyak melegakan mereka kerana tatkala negara menuju peralihan fasa endemik, diyakini lebih banyak aktiviti yang dapat dilakukan dalam menyemarakkan PBAKL 2022 kelak.
Sudah dua tahun PBAKL tidak dapat diadakan secara bersemuka. Hal ini dikatakan demikian kerana pandemik COVID-19 yang melanda negara membantutkan himpunan terbesar penerbit dan pembaca di negara ini. Maka itu, bagi ulat buku, PBAKL 2022 perlu diadakan dalam keadaan negara benar-benar telah bersedia agar rindu mereka terhadap pesta ilmu itu terubat. Oleh itu, Jun dilihat sebagai bulan yang paling tepat untuk PBAKL 2022 beraksi dan semua pihak yang terlibat dapat melakukan persiapan yang terbaik, manakala pengunjung juga perlu memastikan mereka akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan kelak.
Umum mengetahui bahawa antara matlamat utama penganjuran PBAKL pada setiap tahun termasuklah untuk menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini. Mengapakah budaya membaca ini dilihat sebagai sesuatu amalan yang penting? Kita sering mendengar ungkapan, bangsa membaca bangsa berjaya. Sejauh manakah kebenarannya?
Mungkin sudah menjadi kebiasaan apabila kita menjadikan budaya pembacaan dalam kalangan orang Jepun yang tinggi hingga menjadikan mereka bangsa yang berjaya sebagai contoh yang terbaik. Dunia turut mengakui hal itu dan tentunya ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada cara hidup rakyat matahari terbit itu terhadap kecintaan mereka akan buku.
Suasana yang amat berbeza sekali dapat dilihat apabila kita berada di dalam tren di negara tersebut. Rakyat di negara itu mengisi setiap saat dan detik yang mereka miliki dengan membaca – tidak kira apa-apa pun bahan bacaan dan kaedah pembacaan mereka, yang pasti mereka membaca! Ada yang memegang buku, surat khabar, telefon pintar – mereka membaca! Pemandangan ini sesuatu yang amat mengagumkan apabila tidak ada seorang pun daripada mereka yang memejamkan mata atau berbual kosong sementara meninggu tiba ke destinasi. Tanpa mengira usia, mereka membaca dengan khusyuk. Apa yang mereka peroleh? Semestinya ilmu!
Apakah pemandangan ini berlaku di dalam tren atau dalam mana-mana sistem pengangkutan awam di negara kita? Banyak penganalisis menyatakan bahawa budaya membaca yang amat menebal dalam jiwa rakyat Jepun akan dibawa walau ke mana pun mereka pergi kerana mereka meyakini ilmu dapat memajukan diri dan bangsa mereka. Budaya membaca ini juga ditambah lagi dengan proses menterjemahkan bahasa asing ke dalam bahasa Jepun. Penterjemahan ini berlaku sejak tahun 1684 dan ini juga merupakan satu daripada budaya yang hebat kerana rakyat Jepun amat bangga akan bahasa mereka sehingga banyak karya hebat di seluruh dunia yang berjaya diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Usaha ini menjadikan bangsa Jepun tidak pernah dan tidak mahu ketinggalan dalam segenap segi.
Bagaimanakah budaya membaca dapat diterapkan dalam segenap hidup rakyat di negara tersebut? Rahsianya adalah dengan mendidik budaya pembacaan pada awal usia. Sudah menjadi kebiasaan apabila buku dijadikan sebagai peneman – dibaca oleh ibu bapa sejak anak mereka masih peringkat bayi. Buku umpama mainan yang wajib ada pada setiap kana-kanak di negara itu. Maka itu, apabila dewasa buku tidak menjadi sesuatu yang asing bagi mereka.
Usaha ini disemarakkan lagi oleh kebanyakan pengeluar manga di negara tersebut apabila pengeluar manga berebut-rebut mengadakan kerjasama dengan sekolah untuk menghasilkan bahan bacaan kurikulum di sekolah untuk menambah minat murid. Pelbagai usaha turut dilaksanakan untuk menjadikan subjek seperti Sejarah, Biologi, dan sebagainya dapat disampaikan dalam cara yang lebih menarik supaya lebih banyak kanak-kanak berminat terhadap bahan bacaan.
Perlu diketahui juga bahawa tidak ada sebarang kempen membaca di negara itu untuk menjadikan membaca sebagai satu daripada budaya dalam kehidupan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya membaca sudah menebal dalam kehidupan mereka dan menjadi budaya yang akan terus diwarisi sampai bila-bila.
Sementara itu, menurut World Culture Score Index, pada tahun 2021, rakyat Malaysia meluangkan masa untuk membaca tidak lebih daripada tiga jam seminggu berbanding dengan rakyat India yang mencatatkan angka tertinggi, iaitu melebihi 10 jam dalam tempoh yang sama. Jumlah ini dikuti dengan rakyat Thailand dan China yang rata-ratanya membaca selama lapan hingga sembilan jam dalam tempoh yang sama.
Kajian profil membaca yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2005 pula mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun. Walau bagaimanapun angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada tahun 2014 berdasarkan laporan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia, namun jumlah tersebut masih lagi rendah berbanding dengan rakyat di negara maju yang membaca sebanyak 40 judul buku setahun. Jenis buku yang paling popular dalam kalangan pembaca Malaysia pula adalah berbentuk fiksyen (76 peratus), hobi dan minat (53 peratus), bukan fiksyen (36 peratus), perniagaan (18 peratus), ulasan saintifik dan buku teks (18 peratus) dan sains popular sebanyak 15 peratus.
Lebih awal daripada itu, iaitu pada tahun 2019, laman web Picodi melaporkan bahawa sekitar 76 peratus rakyat Malaysia membeli sekurang-kurangnya sebuah buku setahun. Angka ini sedikit rendah berbanding dengan rakyat negara Turki dan Russia. Sumber yang sama turut mendedahkan bahawa sebanyak 22 peratus rakyat Malaysia tidak banyak membaca atau tidak berminat dengan buku. Sebagai kesimpulannya, tabiat membaca rakyat Malaysia masih ketinggalan berbanding dengan negara lain.
Antara kemungkinan mengapa tabiat membaca sukar dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia termasuklah ketagihan terhadap peranti elektronik yang digunakan bukan untuk tujuan mendapatkan ilmu. Sebaliknya masa lapang rakyat di negara ini sering dipenuhi dengan menonton video, melayari media sosial dan permainan maya. Membaca juga turut dilihat sebagai membebankan dan membosankan. Maka itu, bagaimana bangsa Malaysia dapat bersaing dalam era yang lebih mencabar dan penuh dengan persaingan? Bagaimana kita mahu seiring dengan Revolusi Perindustriaan 4.0 jika tahap penguasaan ilmu kita dalam bidang sains teknologi maklumat dan komunikasi masih rendah?
Dalam mencapai status sebuah negara maju, rakyat Malaysia perlu menguasai ilmu dalam pelbagai bidang dan satu daripada kaedah untuk mengusai ilmu adalah menerusi pembacaan. Maka itu, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membudayakan pembacaan bermula dari rumah – ibu bapa perlu menjadikan tabiat membaca sebagai budaya yang utama. Kemudian, peranan ini perlu diteruskan oleh guru di sekolah – membaca tidak lagi boleh diukur sebagai senjata untuk lulus peperiksaan semata-mata, membaca perlu dijadikan sebagai tanggungjawab yang perlu disemat dalam diri setiap pelajar. Kemudian, hal ini perlu terus dimantapkan ketika pelajar melanjutkan pelajaran. Membaca harus dijadikan kunci untuk berjaya. Membaca perlu diletakkan sebagai nilai yang “mahal” dalam setiap perlakuan kita. Kita harus membuang perasaan malu untuk membaca di khalayak umum. Persepsi kononnya membaca sebagai tabiat yang sekadar menunjuk-nunjuk harus dihapuskan kerana membaca akan membezakan ilmu yang kita miliki berbanding dengan individu yang tidak membaca.
Kerajaan sudah menggerakkan pelbagai usaha untuk menjadikan membaca sebagai amalan dan budaya di negara ini. Ingat, di Jepun tidak ada kempen dalam menggalakkan budaya pembacaan, semuanya datang daripada kesedaran rakyat di negara itu yang percaya bahawa bangsa membaca, bangsa yang berjaya.