Oleh Aisyah A.
14 April 2022, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pada 3 Februari yang lalu, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setelah majoriti rakyat telah menerima vaksin bagi dos pertama, kedua dan dos penggalak. Program ini adalah bertujuan untuk mengurangkan jangkitan virus COVID-19 dan merendahkan komplikasi jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.

Berdasarkan kajian, sebanyak 38.6 peratus kanak-kanak telah menerima vaksin bagi dos pertama, yakni lebih daripada satu juta orang kanak-kanak, manakala bagi penerima dua dos hampir 200 ribu orang. Purata pemberian vaksin bagi dos pertama adalah sekitar 4500 dos sehari setakat tujuh hari lalu.

Namun begitu, permintaan vaksinasi ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak menunjukkan penurunan yang menyebabkan KKM terpaksa menjalankan kajian semula tempoh pelaksanaan PICKids.

Oleh sebab berlakunya trend penyusutan tersebut, pembaziran vaksin kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan oleh pengilang akan terus meningkat.

Dalam usaha menangani perkara ini, KKM memutuskan untuk menetapkan tarikh akhir dos pertama. Hasil daripada Mesyuarat COVID-19 Immunisation Task Force (CITF-C) yang telah diadakan, tarikh akhir pemberian dos pertama vaksin COVID-19 di bawah PICKids adalah pada 15 Mei 2022.

Bermula tarikh 16 Mei 2022, KKM tidak lagi menawarkan dos pertama vaksin COVID-19 jenis Cormirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

Ibu bapa bagi kanak-kanak terbabit perlu membuat keputusan mengenai vaskinasi COVID-19 dengan segera kerana bermula 16 Mei 2022, vaksin jenis Corminaty tidak lagi ditawarkan di fasilit kesihatan awam dan swasta di Malaysia dan vaksin CoronaVac hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta.

Namun demikian, keputusan ini tidak melibatkan kanak-kanak yang lahir pada tahun 2017 dan belum mencapai usia 5 tahun pada 15 Mei 2022. Perincian mengenai vaksinasi kumpulan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tambahan lagi, mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk membuat pindaan pada Borang Persetujuan Suntikan Vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak bawah usia 18 tahun. Pindaan yang melibatkan pengguguran klausa dua bertujuan mengelakkan kekeliruan dan salah faham terhadap perkhidmatan KKM.

Dalam menuju ke arah tarikh akhir pemberian dos pertama, jabatan kesihatan negeri telah memulakan operasi lapangan di mana kanak-kanak yang telah didaftarkan dalam MySejahtera, tetapi belum mendapat suntikan akan dihubungi oleh petugas kesihatan dan diberikan tarikh temu janji sebelum 15 Mei 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.