29 April 2022, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyeru masyarakat agar lebih bertoleransi dalam menerima dunia autisme sebagai sebahagian daripada komuniti. (Tonton video penuh di sini)

Sentul – Sempena bulan Autisme Sedunia, Pusat GENIUS Kurnia (PGK) menganjurkan Majlis Karnival Semarak Kurnia 2022 bagi menyemarakkan kesedaran masyarakat untuk lebih mengenali dan memahami individu yang mengalami autisme bermula 14 Mac hingga 29 April 2022.

Majlis Karnival Semarak Kurnia 2022 dilakukan secara dalam talian.

Dengan tema “Dunia Saya, Dunia Autisme”, program tahunan ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai oleh komuniti autisme dan keluarga mereka, di samping bertindak sebagai platform untuk memberikan kemudahan sokongan komuniti serta membina rangkaian kerjasama dengan organisasi luar atau pertubuhan autisme.

Dalam majlis tersebut, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyeru masyarakat agar lebih bertoleransi dalam menerima dunia autisme sebagai sebahagian daripada komuniti.

Kita perlu sedar bahawa di sebalik setiap kelainan yang dihadapi oleh mereka, kanak-kanak autisme ini juga perlu diberikan peluang sama rata seperti kita semua.

Dengan ini, akan wujudnya perasan empati masyarakat terhadap anak-anak istimewa ini. Inisiatif yang dilakukan ini merupakan satu usaha murni dan berterusan dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang dunia autisme, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Tambah beliau, penerimaan perbezaan dan kepelbagaian dalam kalangan individu yang mengalami autisme dan keluarga mereka adalah sangat penting dalam memberikan sokongan moral, sekali gus memberikan kelegaan kepada mereka dalam menghadapi setiap cabaran.

Pengarah Pusat GENIUS Kurnia, Dr. Nil Farkh Sulaiman.

Menurut Pengarah Pusat GENIUS Kurnia, Dr. Nil Farkh Sulaiman, Hari Kesedaran Autisme Sedunia merupakan hari yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan disambut pada 2 April setiap tahun. Hari Kesedaran Autisme Sedunia ini telah ditetapkan dalam perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008 adalah sebagai satu langkah untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme di seluruh dunia.

“Hari ini khas disambut untuk memberikan sokongan kepada individu yang mengalami autisme, lantas mengiktiraf kebolehan dan kemampuan mereka,” kata Dr. Nil Farkh semasa pembukaan majlis yang berlangsung secara maya tadi.

Majlis tersebut diraikan dengan menyaksikan persembahan istimewa yang dipersembahkan oleh kanak-kanak autisme dan mempamerkan penghasilan karya “Dunia Saya, Dunia Autisme”.

Setiausaha Bahagian GENIUS, Dr. Norasiah Spahat.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian GENIUS, Dr. Norasiah Spahat mengharapkan program sebegini dapat melahirkan masyarakat yang cakna terhadap autisme dan sekali gus mengurangkan stigma negatif dalam segelintir masyarakat terhadap individu yang mengalami autisme.

Menyokong usaha murni ini, YB Datuk Dr. Radzi menyeru orang ramai agar dapat menyertai aktiviti yang disediakan dan memberikan sokongan penuh kepada penganjuran Majlis Karnival Semarak Kurnia 2022 pada kali ini.

KPM amat prihatin tentang keperluan komuniti autisme dan komited dalam memberikan pendidikan terbaik dan bersifat inklusif melalui kurikulum yang bersesuaian dengan kanak-kanak autisme.

Pusat GENIUS Kurnia merupakan pusat di bawah pentadbiran KPM yang menyediakan program intervensi awal dan prasekolah untuk anak-anak autisme. PGK telah memulakan operasinya pada Disember 2015 dengan menyediakan Program Prasekolah, Program Intervensi Awal dan Sokongan Keluarga serta Program Pendidikan Komuniti.


Tanda pagar #DuniaSaya #DuniaAutisme #KSK2022 digunakan secara meluas bagi menyebarluaskan kandungan dan mesej berkaitan dengan penganjuran Karnival Semarak Kurnia 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.