Oleh Mubarak Ismail
13 Mei 2022, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – “Semua anggota masyarakat hendaklah sentiasa berusaha bagi membantu usaha pasukan keselamatan dalam memperketat kawalan sempadan negara,” titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu menyantuni dan menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada para petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Sekatan Jalan Raya Kuala Perlis baru-baru ini.

“Usaha pasukan keselamatan dalam memperketat kawalan sempadan negara hendaklah disambut baik dengan menjadi mata dan telinga melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan yang berlaku dalam kawasan kejiranan atau tempat kerja masing-masing sekali gus dapat memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan berkaitan penyeludupan termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dikekang dengan sebaik mungkin rentetan pembukaan semula pintu sempadan negara seperti yang telah diumumkan baru-baru ini,” titah baginda lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada para petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Sekatan Jalan Raya Kuala Perlis.

Di samping itu, baginda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga pasukan keselamatan negara dengan harapan semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan keselamatan dan kebaikan, ganjaran yang setimpal di sisi-Nya serta memelihara dan menjaga segala harta benda mereka.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah atas komitmen jitu petugas Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia, seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara serta seluruh agensi negeri dan persekutuan, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan dan orang perseorangan yang setia berkhidmat dan sanggup bergadai nyawa sepanjang tempoh ujian musibah pandemik COVID-19.

Baginda juga menyeru kepada semua untuk bersama-sama merafak doa, memohon kepada Allah yang Maha Berkuasa agar segera lenyap segala musibah COVID-19 dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Turut hadir sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.