Oleh Aminudin Mansor
18 Mei 2022, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu yang berkaitan dengan remaja khususnya murid di sekolah dapat dikupas dan diulas dari pelbagai perspektif. Remaja pada zaman dahulu dengan remaja sekarang memiliki banyak perbezaan terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan gaya hidup, pandangan dan juga hubungan persahabatan.

Dalam hal ini, guru berperanan besar dalam membentuk jiwa remaja agar mereka mempunyai jati diri, semangat patriotisme, mencintai bahasa serta budaya. Hal ini disebabkan guru mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik, mengasuh dan mengajar mereka ke arah kebaikan dengan pengalaman dan kepakaran yang sedia ada.

Seorang guru yang memiliki pengaruh, personaliti, budi bahasa yang baik sewajarnya menjadi ikutan para muridnya. Tujuan profesion keguruan bukanlah semata-mata untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, namun yang paling penting mampu mengubah kelakuan seseorang daripada buruk kepada baik selain menyuntik semangat dan daya saing yang tinggi dalam kalangan muridnya.

Begitu juga dengan remaja yang disifatkan sebagai aset penting negara dalam membentuk masyarakat berilmu pada masa akan datang. Kajian dari segi psikologi pendidikan, ibu bapa berperanan penting dalam usaha memberikan pendidikan terhadap anak-anak seawal umur tujuh hingga 12 tahun. Kerjasama erat antara guru dengan ibu bapa dapat mendidik jiwa anak-anak supaya lebih bersemangat untuk belajar mencari ilmu, berjiwa patriotik, kental dan beriman.

Memetik pandangan Hassan al-Bana yang mengatakan,

Satu daripada penyelesaian daripada penyakit jiwa termasuklah didikan ibu bapa dan guru, selain adanya rakan dan saudara yang suka memberikan nasihat, iaitu orang yang empati sehingga dia mahu memberitahu perihal kekurangan dan kelebihan kepada kamu.

Menurut Plato, tokoh falsafah Yunani menjelaskan bagi jiwa yang berkemahuan untuk menjadi lebih baik, mereka tidak memerlukan nasihat. Oleh itu, nasihat yang baik perlu diberikan kepada semua remaja oleh ibu bapa, guru dan masyarakat dalam mendidik remaja ke arah kemajuan dan mempunyai jati diri unggul.

Ibu bapa sering mengeluh kerana sukar untuk memahami jiwa anak-anak remaja. Hal ini mungkin disebabkan suatu ketika dahulu mereka dibesarkan dalam suasana yang berlainan dengan suasana sekarang. Pengaruh teknologi digital menjadikan ibu bapa dan guru agak sukar untuk memahami jiwa remaja. Dalam hal ini, mereka perlu menganggap anak-anak remaja sebagai teman rapat dan menjadikan guru sebagai rujukan utama. Didiklah anak-anak supaya berjiwa besar, bersemangat kental dan berfikiran positif.

Banyak kes melibatkan remaja, iaitu pergaulan bebas yang mengundang pelbagai kes jenayah, terlibat dengan perlumbaan haram, memandu tanpa lesen, mengambil risiko yang membahayakan diri yang pada akhirnya menyusahkan ibu bapa. Kerjasama antara ibu bapa dengan guru sangat penting dalam memahami dan membentuk jiwa remaja ke arah berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak.

Dalam hal ini, dunia pendidikan mampu melahirkan remaja yang sentiasa menjaga kehormatan diri, memelihara amanah, menepati janji dan menjaga waktu solat. Naluri ingin mencuba perkara baharu dalam hidup merupakan situasi normal bagi remaja yang berusia 13 hingga 17 tahun. Perasaan mereka juga sering berubah-ubah sehingga menyebabkan pelbagai kes seperti lari dari rumah, terlibat dengan seks bebas, merokok dan penyalahgunaan dadah. Persahabatan dan keakraban remaja dengan rakan sebaya mereka juga harus sentiasa dipantau oleh ibu bapa. Kerjasama ibu bapa dengan guru juga dapat memantau kegiatan dan minat golongan remaja. Hubungan persahabatan sesama remaja penting dalam perkembangan mereka kerana persahabatan merupakan titik mula dan asas dalam membentuk pembelajaran dan perkembangan jiwa yang sihat, sekali gusĀ  terhindar daripada perbuatan yang tidak diingini.

Kesan budaya dari Barat dan terkini Korea ke atas remaja juga mempengaruhi jiwa remaja. Budaya dikaitkan dengan cara hidup sesuatu masyarakat. Oleh itu, golongan remaja perlu mengamalkan budaya yang positif bagi membentuk kehidupan sosial yang baik sesama anggota masyarakat. Mereka tidak perlu meniru budaya orang lain kerana budaya kita amat kaya dengan nilai-nilai murni dan kesopanan. Budaya dan nilai murni yang baik perlu diwujudkan dalam kalangan remaja demi melahirkan remaja yang mempunyai jiwa yang tenteram, emosi yang seimbang, akhlak dan tatasusila yang baik. Ilmu pengetahuan tentang pemahaman agama, jati diri dan sejarah negara juga amat penting untuk diterapkan dalam kehidupan remaja.

Budaya remaja di negara ini banyak dipengaruhi oleh budaya luar yang tidak dapat dikawal terutamanya melalui teknologi digital, filem dan televisyen. Hanya remaja yang mempunyai keimanan, jati diri dan akal budi yang mantap mampu mengelakkan diri daripada terjebak dengan budaya luar yang mampu mempengaruhi tingkah laku dan jiwa mereka. Oleh sebab itu, golongan remaja mudah terpengaruh dengan gaya hidup yang tidak sihat jika tidak dikawal dengan sebaik-baiknya.

Aspek pendidikan melalui pendekatan dakwah yang berhemah dapat menarik remaja membentuk jati diri dengan gaya hidup yang berteraskan budaya kebangsaan. Pengaruh budaya merupakan aspek yang paling kuat menarik remaja ke arah mengamalkan gaya hidup baharu yang bercanggah dengan norma kehidupan.

Kebanyakan golongan remaja dilihat menghabiskan masa dengan telefon pintar, peranti dengan pelbagai permainan melepak di gerai, kafe dan restoran. Banyak masa dihabiskan dengan sia-sia tanpa melakukan perkara yang bermanfaat untuk masa depan mereka. Kegiatan dan hiburan tanpa kawalan akan menjejaskan kehidupan dan masa depan mereka. Hiburan tanpa kawalan juga menjadikan remaja lalai, alpa dan tidak mempunyai arah tujuan kehidupan yang sebenar. Hal ini jika terjadi akan menghancurkan harapan ibu bapa yang menginginkan anak-anak mereka berjaya menggapai cita-cita dan memiliki kerjaya idaman.

Pada akhirnya, perhatian yang lebih berfokus harus diberikan oleh ibu bapa dan guru bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku terhadap anak-anak yang masih remaja. Peranan dan kerjasama erat antara ibu bapa dengan guru penting dalam mengelakkan murid terlibat dalam gejala sosial dan budaya negatif sehingga menghancurkan masa depan dan cita-cita mereka.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!