19 Mei 2022, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa kerajaan pimpinannya akan memberikan perhatian yang serius terhadap isu kepentingan dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia. Komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri ternyata disambut baik oleh banyak pihak kerana Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan Perjanjian Malaysia (MA63) telah diluluskan dengan sokongan penuh Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021.

Kelulusan sebulat suara tersebut menunjukkan bahawa kerajaan pusat mengiktiraf tuntunan Sabah dan Sarawak semasa Perjanjian Malaysia dimeterai dan dapat disifatkan sebagai kejayaan perundangan terbesar dan menjadi satu wadah penting dalam merealisasikan Pelan Hala Tuju SMJ (SMJ).

SMJ merupakan pelan komprehensif  yang dicetuskan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Perlaksanaan SMJ ini adalah berdasarkan lima objektif, iaitu Membina negeri dan masyarakat bersatu, aman makmur dan sejahtera; Merangsang pemulihan ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat; Mengoptimumkan sumber dan hasil negeri; dan Membangunkan modal insan. Melalui tuntutan hak Sabah menerusi MA63, kesemua lima objektif ini diyakini akan dapat dicapai sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Pada April 2021, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) telah mencapai persetujuan untuk menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Sabah kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan. Hak kedaulatan dan bidang kuasa pentadbiran ke atas pulau tersebut termaktub di bawah pengawasan Taman-Taman Sabah dan perlindungan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengambil tanggungjawab menguruskan penyerahan kuasa tersebut. Walaupun kawalan keselamatan ke atas kedua pulau tersebut masih di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, kuasa dan autonomi pentadbiran yang telah diserahkan kepada kerajaan negeri akan memberikan dampak pembangunan ekonomi yang signifikan terhadap Sabah, terutamanya dalam sektor pelancongan.

Pulau Sipadan antara pulau yang tercantik di dunia.

Umum mengetahui bahawa Malaysia telah memenangi kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan melalui keputusan perbicaraan Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague pada tahun 2002. Pertikaian antara Malaysia dengan Indonesia untuk merebut pulau tersebut bukanlah semata-mata konflik persempadanan tetapi mempunyai ruang lingkup yang lebih luas kerana kemenangan dalam konflik ini akan memberikan kedaulatan dan pemilikan kepada pihak yang menang.

Tidak dinafikan bahawa pulau yang terletak di Laut Sulawesi, pesisir Tenggara Sabah ini mempunyai kecantikan semula jadi yang memukau, malah sering dinobatkan sebagai antara pulau tercantik di dunia khususnya untuk aktiviti selam. Hal ini bermakna bahawa kuasa pentadbiran yang diberikan ke atas Sabah oleh kerajaan persekutuan bakal memberikan pulangan yang besar kepada kerajaan negeri.

Negeri Sabah sudah sememangnya terkenal dengan destinasi pelancongan yang menarik sejak awal tahun 1980-an dan sektor ini juga merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi Sabah sejak tahun 2016. Menurut rekod, hasil tertinggi sektor pelancongan Sabah adalah pada tahun 2018 dengan hasil sebanyak RM8 342 bilion. Dengan adanya daya tarik dan kemasyhuran keindahan Pulau Sipadan dan Ligitan, sektor pelancongan Sabah bakal memperoleh ganjaran keuntungan yang dapat merangsang pemulihan ekonomi Sabah secara keseluruhannya. Dalam erti kata lain, kuasa pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan yang dikembalikan kepada Sabah melalui inisiatif MKMA63 ini amat sejajar dan bertepatan dengan objektif SMJ.

Seperkara lagi adalah berhubung dengan persetujuan kerajaan persekutuan untuk memberikan kuasa kepada Sabah dan Sarawak untuk pengambilalihan pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan. Persetujuan ini juga tercapai dalam Mesyuarat MKMA63 pada 18 Oktober 2021. Hak untuk mengeluarkan permit dan lesen laut dalam akan diletakkan di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Sabah dan Pengerah Jabatan Perikanan Laut Sarawak. Sebelum penyerahan kuasa ini dipersetujui, pengeluaran lesen vesel dan peralatan menangkap ikan di perairan laut dalam di Sabah dilakukan melalui tindakan perwakilan kuasa oleh Ketua Pengarah Perikanan kepada Pengarah Perikanan Sabah berdasarkan provisi Akta Perikanan 1985 (Akta 317). Ternyata pemberian kuasa ini mempunyai cakupan yang luas bermula daripada penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan sehinggalah ke pengeluaran permit dan lesen vesel serta peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2. Walau bagaimana pun, pemberian kuasa ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan bersama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Keputusan ini ternyata memberikan manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak di samping dapat memperbaik keharmonian hubungan dan kesefahaman. Secara keseluruhannya kerajaan negeri bakal menerima kebaikan dan kelebihan dari segi pengurusan sumber perikanan, hubungan dan jaringan antarabangsa serta keselamatan perairan. Sekiranya diperhalusi, inisiatif pemberian kuasa ini juga turut mendukung pencapaian objektif pelan SMJ terutamanya bagi mengoptimumkan sumber dan hasil negeri. Memandangkan Sabah negeri yang kaya dengan sumber hidupan laut, industri perikanan di Sabah menjadi antara penyumbang terbesar dana pendapatan kerajaan negeri. Pada enam bulan pertama tahun 2021, Sabah telah merekodkan sebanyak 107 000 tan metrik pendaratan ikan yang bernilai RM643 juta. Pada ketika ini Sabah mempunyai sejumlah 30 486 nelayan dengan tangkapan mencecah 206 703 tan metrik ikan setahun yang bernilai lebih daripada  RM1.2 bilion.

Ternyata industri perikanan Sabah mempunyai potensi yang memberangsangkan dan penurunan kuasa pelesenan perikanan laut dalam daripada Ketua Pengarah Perikanan kepada Pengarah Perikanan Sabah akan membolehkan Jabatan Perikanan Sabah menentukan lesen vesel yang perlu dikeluarkan berdasarkan kapasiti jumlah tangkapan seperti di Laut Sulawesi, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Selain itu, penurunan kuasa tersebut akan membolehkan Sabah meneruskan dasar yang sedia ada di samping membentuk dasar baharu berkaitan dengan pengurusan perikanan yang bersesuaian dengan keperluan industri perikanan di Sabah, mengikut norma pengurusan perikanan antarabangsa. Hal ini bermakna bahawa langkah penurunan kuasa pelesenan perikanan laut dalam kerajaan Sabah boleh dilihat selari dengan objektif serta aspirasi pelan SMJ terutamanya dalam memulihkan dan seterusnya merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Tidak dinafikan juga bahawa rangsangan ini bakal mencetuskan peluang pekerjaan yang dapat membantu golongan rentan bandar dan B40 untuk mendapat pendapatan yang lebih baik.

Walaupun penurunan kuasa pelesenan perikanan laut kepada kerajaan negeri Sabah merupakan perubahan yang disambut baik, namun masih terdapat isu berkaitan dengan hal ini yang masih belum dapat diselesaikan, iaitu isu perairan Sabah dan Sarawak. Isu ini timbul rentetan daripada penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang telah mengehadkan hak-hak kedaulatan dan bidang kuasa ke atas kawasan pentas dunia (continental shelf) yang terdiri daripada dasar laut dan tanah bawahnya kepada tiga batu nautika bersamaan dengan 5.56 km dari pantai. Penguatkuasaan Akta tersebut telah mengurangkan secara signifikan had laut wilayah Sabah dan Sarawak sebanyak 9 batu nautika bersamaan dengan 16.5 km (daripada 12 batu nautika kepada 3 batu nautika). Sehubungan itu, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak berpendapat bahawa skop pemakaian Akta ini sepatutnya hanya terpakai di Semenanjung Malaysia.

Apa-apa yang boleh dirumuskan setakat ini adalah terdapat beberapa perubahan yang positif dalam isu berkaitan MA63. Kerajaan Persekutuan melalui perbincangan dalam Mesyuarat MKMA63 telah memberikan persetujuan ke atas perkara-perkara yang memberikan kelebihan kepada kerajaan negeri Sabah yang seterusnya dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan pelan SMJ. Penyerahan hak mutlak pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan serta penurunan kuasa pelesenan perikanan laut dalam kepada kerajaan negeri sudah pasti akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Sabah yang lebih memberangsangkan. Pelan SMJ juga bakal mencapai matlamat yang dicita-citakan bagi menjamin kelangsungan dan kesejahteraan seluruh rakyat Sabah sejajar dengan rakyat negeri lain di Malaysia.

 

Pensyarah Kanan, Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.