Oleh Mubarak Ismail
3 Jun 2022, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Bersempena Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang ke-3 bagi tahun 2022, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menghadiri Sesi Taklimat Pelaporan Akhir bagi Pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail (PSAJ) anjuran Yayasan AMIR dan LeapEd di Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar, Perlis.

Bagi pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail tajaan MAIPs dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN Perlis), sebanyak lima buah sekolah di negeri Perlis terpilih untuk menerima tajaan tersebut.

Matlamat penganjuran Program Sekolah Amanah Jamalullail adalah untuk membawa budaya perubahan holistik kepada persekitaran pendidikan di sekolah di samping memberikan fokus kepada pembentukan pelajar secara holistik bagi mencapai sasaran “Kemahiran DwiBahasa, Etika dan Kerohanian, Kemahiran Memimpin, Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, dan Identiti Nasional”.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama dengan ahli-ahli Majlis MAIPs.

Menurut titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, setiap organisasi yang berdaya saing amat memerlukan warga kakitangannya yang memiliki kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan seterusnya melahirkan idea-idea yang inovatif.

“Untuk membina minda yang kreatif, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menghasilkan dan mengeluarkan keunikan setiap individu di samping mengatasi halangan-halangan yang membelenggu kreativiti. Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha membawa negeri Perlis yang tercinta ini menuju ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti, bermutu tinggi, berdaya saing dan mempunyai pelbagai keunikan yang tersendiri,” titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putera pada sesi penutupan persidangan tersebut.

Antara sekolah yang terlibat dalam Program Sekolah Amanah Jamalullail yang telah berlangsung sejak tahun 2019 anjuran LeapEd dengan kerjasama JPN Perlis ini termasuklah SMK Sanglang, SMK Kuala Perlis, SK Seberang Ramai, SK Batu Bertangkup dan SK Simpang Empat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan AMIR, Puan Zaida Khalida Shaari turut hadir bagi mempersembahkan pembentangan kepada Raja Muda Perlis dan ahli-ahli Majlis MAIPs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.