Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejarah membuktikan bahawa terdapat banyak negara yang pernah mengalami kebankrapan, namun dapat memulihkan semula ekonomi negaranya. Dalam tempoh 200 tahun yang lalu, sejumlah 83 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman, Jepun dan Britain pernah mengalami kebankrapan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bankrap atau muflis bermaksud ketidakupayaan melangsaikan atau membayar hutang. Kamus Pelajar Edisi Kedua pula mendefinisikan bankrap sebagai menderita kerugian dan tidak mampu membayar segala hutang.
AS pernah diisytiharkan bankrap sebanyak lima kali sejak penubuhannya pada tahun 1776. Pada suatu ketika, AS tidak berupaya membayar hutang asing, manakala selebihnya negara itu tidak mampu menyelesaikan hutang dalaman. Kebankrapan yang dialami oleh AS berpunca daripada krisis kewangan dalam sektor perbankan, yang buat pertama kali adalah pada tahun 1790 dan yang terakhir pada tahun 1933. Jerman pula pernah mengalami kebankrapan sebanyak lapan kali dalam tempoh 215 tahun, iaitu pada tahun 1939 dan 1948 akibat Perang Dunia Kedua. Britain berdepan kebankrapan sebanyak empat kali, kali terakhir adalah pada tahun 1932. Pada tahun 1982, Mexico berdepan dengan kebankrapan apabila gagal melangsaikan hutang bernilai A.S$80 bilion. Hutang tersebut menyebabkan Mexico gagal untuk membayar pinjaman AS dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Rusia pada tahun 1998 hanya mampu membayar balik kurang A.S$10 bilion daripada A.S$17 bilion keseluruhan hutangnya dengan IMF.
Pada tahun 2001, Argentina gagal membayar hutangnya sebanyak A.S$145 bilion sekali gus diisytiharkan bankrap. Negara Amerika Selatan itu masih mengalami kesukaran untuk melangsaikan hutang-hutangnya. Pada 22 Mei 2020, Argentina gagal membayar A.S$500 juta pada tarikh tamat tempoh kepada pemiutangnya. Iceland juga pernah diisytiharkan bankrap kerana mempunyai hutang bernilai A.S$85 bilion pada tahun 2008. Greece diisytiharkan bankrap pada tahun 2009 akibat krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi ekoran peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi penganjuran Sukan Olimpik 2004. Hutang Greece pada ketika itu mencecah A.S$402 bilion.
Apabila sesebuah negara bankrap, ketiadaan sistem dan institusi yang paling asas akan berlaku. Syarikat pembekal kuasa menghentikan operasi, stesen minyak dan bank ditutup, perniagaan atau kedai runcit kehabisan makanan dan kerajaan tidak dapat membayar gaji kakitangan awam. Selain itu, inflasi mata wang akan berlaku. Negara akan mula mencetak wang dalam kuantiti yang banyak bagi menyelesaikan hutang. Apabila wang banyak di pasaran, harga barangan pula akan meningkat. Hal ini terjadi kerana nilai wang tersebut telah susut. Penyusutan nilai mata wang juga akan menjejaskan simpanan rakyat dalam bank.
Kebankrapan negara menyebabkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat akan meningkat secara mendadak. Perkara ini berlaku kerana kerajaan tidak mampu lagi membayar gaji kakitangan awam. Projek infrastruktur terpaksa dibatalkan sekali gus mewujudkan pengangguran. Sektor swasta juga terkesan mengakibatkan pemberhentian pekerja yang ramai kerana pendapatan syarikat terjejas. Pengangguran yang tinggi juga akan meningkatkan kadar jenayah seperti kecurian dan aktiviti penyeludupan barang kerana rakyat memerlukan wang dan barangan keperluan untuk meneruskan kehidupan. Sebagai contoh, ketika diisytiharkan bankrap, Greece terpaksa menghentikan 30 ribu orang kakitangan awamnya. Jumlah tersebut tidak termasuk pekerja sektor swasta akibat tidak mampu membayar gaji mereka.
Bagi melangsaikan hutang negara, kerajaan akan menaikkan kadar cukai. Sebarang bentuk bantuan seperti bantuan sara hidup serta subsidi minyak, kesihatan dan pendidikan akan dikurangkan atau dihapuskan bagi mengurangkan perbelanjaan negara. Cukai yang tinggi dan ketiadaan subsidi sudah pasti akan membebankan kehidupan seharian rakyat. Bebanan hutang juga akan menyebabkan projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam seperti kemudahan kesihatan, taman perumahan, institusi pendidikan dan jalan raya tergendala.
Apabila negara berdepan dengan kebankrapan, gaya hidup seharian rakyat juga akan berubah. Pada ketika itu, rakyat hanya memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi meneruskan kehidupan. Aktiviti lain seperti riadah, melancong atau membeli-belah terpaksa dilupakan kerana kemandirian diri dan keluarga menjadi keutamaan. Hal ini juga akan menyebabkan rakyat tidak bahagia dan kadar depresi pula terus meningkat. Kebankrapan negara turut mencetuskan suasana huru-hara sekiranya rakyat mengadakan tunjuk perasaan yang kadangkala boleh juga mencetuskan perang saudara.
Krisis Ekonomi Sri Lanka
Keadaan huru-hara berlaku apabila Sri Lanka berdepan dengan krisis ekonomi. Penunjuk perasaan mendesak Gotabaya Rajapaksa, Presiden Sri Lanka meletakkan jawatan. Perintah berkurung di Colombo dikenakan selepas penunjuk perasaan cuba menyerbu kediaman peribadi Presiden. Penunjuk perasaan mendakwa pentadbiran Rajapaksa menyebabkan rizab pertukaran asing Sri Lanka susut dengan pantas. Secara keseluruhannya, hutang luar negara Sri Lanka mencecah A.S$51 bilion. Setakat April 2021, Bank Pembangunan Asia telah memberikan pinjaman kepada Sri Lanka sebanyak A.S$4415.7 juta. Seterusnya pinjaman kepada China sebanyak A.S$3388.2 juta, Jepun (A.S$3360 juta), Bank Dunia (A.S$3230.9 juta), India (A.S$859.3 juta) dan lain-lain (A.S$3038.5 juta). Pinjaman pasaran pula bernilai A.S$16 383.4 juta.
Untuk tahun 2022, Colombo perlu membayar A.S$7 bilion hutang luar negaranya. Pada Februari 2022, Sri Lanka mempunyai A.S$2.31 bilion dalam rizab pertukaran asingnya. Jumlah tersebut semakin susut apabila pada Mac 2022, Sri Lanka mempunyai A.S$1.6 bilion sahaja. Akibat kekurangan wang, Sri Lanka telah mengambil pinjaman jangka pendek dari India, China dan Bangladesh. Bangladesh memberikan pinjaman kepada Sri Lanka sebanyak A.S$200 juta pada Jun 2021. Pada Januari 2022, Sri Lanka meminta China menjadualkan semula pembayaran hutangnya. China memberikan bantuan kepada Sri Lanka dengan menyediakan pertukaran Yuan sebanyak 10 billion Yuan. Pertukaran yang bernilai A.S$1.5 bilion itu telah memberikan rangsangan terhadap rizab pertukaran asing Sri Lanka namun masih tidak mencukupi untuk mengurangkan krisis.
Sri Lanka juga meminjam A.S$500 juta dari India pada Februari 2022 untuk membeli minyak. India juga memberikan kredit kepada Sri Lanka bernilai A.S$1 bilion bagi membeli makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain. Krisis ekonomi memberikan kesan buruk terhadap import penting, menyebabkan kenaikan harga makanan dan barangan serta kekurangan barangan keperluan seperti minyak masak dan bahan api. Setakat Mac 2022, nilai Rupee Sri Lanka (LKR) 290.4 adalah bersamaan dengan A.S$1.
Kenaikan Harga Makanan dan Barangan
Harga sebiji kelapa pada Mac 2022 bernilai LKR91.39 berbanding dengan LKR50.4 pada Mac 2019. Sekilogram bawang pula bernilai LKR158 (Mac 2022) berbanding dengan LKR79.8 sekilogram (Mac 2019). Sebiji kentang pula bernilai LKR260.67 (Mac 2022) berbanding dengan LKR156.7 (Mac 2019) untuk sekilogram kentang. Harga sebiji telur bernilai LKR26.7 (Mac 2022) berbanding dengan LKR18.7 (Mac 2019). Ikan kering bernilai LKR848 sekilogram (Mac 2022) berbanding dengan LKR613.8 sekilogram (Mac 2019). Ayam bernilai LKR690 sekilogram (Mac 2022) berbanding dengan LKR445 sekilogram (Mac 2019). Harga sekilogram daging lembu bernilai LKR1454.55 (Mac 2022) berbanding dengan LKR979.1 (Mac 2019). Sekilogram tomato pula bernilai LKR310.42 (Mac 2022) berbanding dengan LKR105.2 (Mac 2019).
Sekilogram kunyit berharga LKR3583.33 (Mac 2022) berbanding dengan LKR659.9 (Mac 2019). Harga 450 gram roti ialah LKR80 (Mac 2022) berbanding dengan LKR62.4 (Mac 2019). Lentil pula berharga LKR325.72 sekilogram (Mac 2022) berbanding dengan LKR149.8 sekilogram (Mac 2019). Harga sekilogram kacang kuda ialah LKR377.55 (Mac 2022) berbanding dengan LKR239.6 (Mac 2019). Beras berharga LKR162.52 untuk sekilogram (Mac 2022) berbanding dengan LKR84.1 (Mac 2019). Harga sekilogram nenas ialah LKR262.5 (Mac 2022) berbanding dengan LKR172.7 (Mac 2019). Sekilogram gandum bernilai LKR155.24 (Mac 2022) berbanding dengan LKR94.33 (Mac 2019). Daun sirih bernilai LKR564.98 (Mac 2022) untuk 100 helai berbanding dengan LKR316.86 (Mac 2019).
Harga sekilogram kacang dal setakat 23 Mac 2022 ialah LKR420 berbanding dengan LKR180 pada 23 Mac 2021. Seliter minyak kelapa bernilai LKR852 (Mac 2022) berbanding dengan LKR486 (Mac 2021). Terung pula bernilai LKR240 (Mac 2022) sekilogram berbanding dengan LKR140 (Mac 2021). Sekilogram gula bernilai LKR188 berbanding dengan LKR112 (Mac 2021). Lobak merah bernilai LKR240 (Mac 2022) sekilogram berbanding dengan LKR160 (Mac 2021).
Kekurangan Bahan Api
Ceylon Petroleum Corporation (CPC) yang merupakan syarikat kendalian kerajaan mengumumkan pengehadan kuantiti bahan api yang boleh dibeli oleh orang ramai akibat kekurangan bahan api. Pengumuman pengehadan kuantiti bahan api merangkumi larangan mengisi minyak ke dalam bekas bagi tujuan simpanan, di samping motosikal hanya dibenarkan mengisi maksimum sebanyak empat liter petrol sahaja, manakala kenderaan tiga roda pula hanya lima liter. Pada Mac 2022, CPC menaikkan harga seliter petrol daripada LKR137 pada tahun 2021 kepada LKR254. Harga seliter diesel juga meningkat sehingga LKR176 pada Mac 2022 berbanding dengan LKR104 pada tahun 2021. Harga satu tong gas seberat 12.5kg berharga LKR2750 pada Mac 2022 berbanding dengan LKR1493 pada tahun 2022. Harga tong gas memasak yang terlalu mahal menyebabkan rakyat Sri Lanka mula menggunakan kayu api dan minyak tanah sebagai alternatif.
Kebankrapan Ancam Kedaulatan Negara
Kedaulatan dan integriti wilayah terancam apabila negara berdepan dengan kesukaran membayar hutang atau bankrap. Pada Disember 2017, Sri Lanka telah menyerahkan pelabuhan Hambantota kepada China dengan pajakan selama 99 tahun dalam satu perjanjian yang digelar pihak pembangkang dan kesatuan sekerja sebagai “pengkhianatan”. Sebelum penyerahan dilaksanakan, Colombo telah menandatangani perjanjian pajakan bernilai A.S$1.1 bilion pada Julai 2017 bagi menjual 70 peratus kepentingannya di Hambantota kepada China. Pelabuhan bernilai A.S$1.3 bilion dibina dengan pinjaman daripada bank milik kerajaan China dan mula dibuka pada tahun 2010. Walau bagaimanapun, Sri Lanka bergelut untuk membayar balik pinjaman tersebut.
Dua buah firma China dikenali sebagai Hambantota International Port Group (HIPG) dan Hambantota International Port Services (HIPS) yang diuruskan oleh China Merchants Port Holdings Company (CMPort) bersama pihak berkuasa Pelabuhan Sri Lanka memiliki pelabuhan Hambantota dan zon pelaburan di sekitarnya. Perjanjian pajakan yang ditandatangani pada Julai 2017 juga termasuk konsesi cukai untuk pelabuhan dan pelepasan cukai selama 32 tahun untuk firma-firma China. Pemberian konsesi cukai yang besar oleh kerajaan kepada firma-firma China telah dipersoalkan pembangkang atas alasan kewajaran konsesi tersebut diberikan.
Sri Lanka juga mahu mengumpul A.S$8 bilion untuk meningkatkan jumlah rizab asing yang semakin berkurangan melalui pajakan atau penjualan aset-aset awam. Antara aset awam yang dipajak bagi jangka panjang ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Katunayake dengan nilai pajakan sebanyak A.S$2 bilion, Lapangan Terbang Mattala (A.S300 juta), Lapangan Terbang Ratmalana (A.S$400 juta) dan Colombo Port City (A.S$4 billion). Colombo Port City yang dilancarkan pada September 2014 merupakan projek bersama antara China Communications Construction Company Ltd dengan pihak berkuasa Pelabuhan Sri Lanka. Seluas 125 hektar tanah Colombo Port City merupakan milik kerajaan Sri Lanka, manakala 88 hektar telah dipajak selama 99 tahun kepada China. China turut ditawarkan pegangan kekal seluas 20 hektar.
Penyerahan projek pembangunan Pelabuhan Utara Colombo turut diatur untuk pelaburan bernilai A.S$600 juta, manakala saham Sri Lanka Telecom akan dijual pada harga A.S$500 juta. Saham Sri Lanka Insurance Corporation pula untuk A.S$300 juta. Sri Lanka terpaksa memajak atau menjual aset-aset negara bagi menstabilkan semula keadaan ekonominya selain tidak berupaya untuk membayar hutang, sekali gus menjadi bukti kedaulatan negara boleh tercabar dengan isu hutang atau risiko kebankrapan.