Oleh Nurul Athirah
13 Jun 2022, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila konsep Sekolahku SEJAHTERA dilancarkan pada 21 Februari 2022, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), banyak pihak meletakkan harapan yang tinggi terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang amat komited dalam melahirkan generasi muda yang hebat serta mampu bersaing pada peringkat dunia.

Hal ini turut dilihat berdasarkan cabaran pada masa kini yang amat memerlukan suatu pendekatan holistik yang perlu ditekankan agar diberikan perhatian dalam sistem pendidikan negara. Pendekatan tersebut diharapkan dapat membentuk murid yang bijak mengharungi cabaran global yang tidak hanya menjurus kepada kemajuan sains dan teknologi yang banyak mengubah cara hidup dan budaya kita, tetapi cabaran ekonomi dan kesihatan yang memaksa kita untuk tidak lagi berada di belakang tetapi sentiasa bersedia dengan sebarang cabaran dan kemungkinan yang mendatang.

“Kita mahu melihat sistem pendidikan kita dapat bersaing pada peringkat dunia” – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berucap ketika mengumumkan konsep Sekolahku SEJAHTERA , pada Februari lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, ketika berucap merasmikan konsep Sekolahku SEJAHTERA berkata bahawa konsep yang diperkenalkan kementeriannya itu boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting yang diberikan penekanan dalam Sekolahku SEJAHTERA. Walau bagaimanapun, menurutnya, 14 elemen penting dalam konsep berkenaan tidak bermaksud mengetepikan elemen lain dalam kehidupan.

“Penekanan konsep ini untuk memastikan anak kita yang lahir daripada sistem pendidikan negara dapat bersaing dan mampu berdaya saing pada peringkat dunia,” ujarnya.

Empat belas elemen penting berkenaan adalah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi. Kesemua elemen ini adalah berteraskan nilai murni yang ada dalam kehidupan harian warga sekolah khususnya murid. Secara asasnya, kesemua elemen tersebut sudah lama diperkenalkan di sekolah, namun pengenalan konsep Sekolahku  SEJAHTERA ini bertujuan untuk mengangkat 14 elemen tersebut secara lebih terperinci, bersasar dan berterusan agar sentiasa diterapkan, dihayati serta diamalkan sehingga menjadi budaya bagi seluruh warga sekolah.

Untuk memahami tentang konsep ini, kita perlu melihat tiga elemen pertama dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA, iaitu Selamat, Seronok dan Sihat. Umum mengetahui bahawa sejak sekian lama, KPM sentiasa berusaha memastikan sekolah menjadi tempat yang paling selamat untuk murid sepanjang keberadaan mereka di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila murid berasa selamat mereka pastilah akan berasa seronok dan daripada keseronokan tersebutlah akan melahirkan murid yang sihat.

Apabila Pandemik COVID-19 melanda dunia, termasuk Malaysia, KPM memutuskan untuk menutup sekolah tanpa memberhentikan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Proses itu diteruskan dengan pelbagai kaedah secara dalam talian yang banyak membantu murid untuk tidak tercicir dalam pendidikan. Demi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin, KPM mencari jalan yang terbaik untuk membawa kembali murid ke sekolah, namun ternyata tindakan tersebut tidak diambil secara tergesa-gesa. KPM menerusi Menteri Kanan Pendidikan menjelajah ke negeri-negeri untuk berbincang dengan pelbagai pihak yang terlibat; mendapatkan nasihat dengan merentas kementerian, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Malaysia (MKN), sebelum memutuskan untuk membuka sekolah untuk PdP secara bersemuka. Usaha keras KPM ini tidak lain tidak adalah untuk memastikan sekolah tetap menjadi tempat yang selamat, seronok dan melahirkan murid yang sihat.

Kemudian, sekolah menjadi tempat yang akan membentuk etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi. Semua nilai ini tidak akan mampu digarap tanpa peranan penting warga sekolah, khususnya guru. Bagaimanakah untuk membentuk etika? Prinsip moral tersebut, iaitu nilai akhlak yang menjadi pegangan murid dibentuk dalam proses pembelajaran yang berterusan. Misalnya, guru memberikan tugasan kepada murid dan tugasan tersebut perlu disiapkan dalam tempoh tertentu. Maka itu, murid perlu mematuhi dan berusaha untuk menyiapkan tugasan tersebut kerana murid akur bahawa setiap tugasan yang diberikan oleh guru wajib disiapkan. Hal ini berbeza daripada jika ibu bapa yang memberikan latihan kepada anak mereka. Mungkin mereka akan menyiapkannya tetapi mungkin tanpa mematuhi masa yang ditetapkan, berlengah atau tidak menyiapkannya kerana sudah tertanam pada minda mereka bahawa ibu bukanlah guru seperti guru mereka di sekolah. Hal yang demikian juga akan – menerusi Sekolahku SEJAHTERA akan membentuk jati diri, adab sopan, dan sebagainya. Bagaimana seseorang murid dapat membentuk jati diri, sayang akan keluarga, rakan-rakan, bangsa dan negara jika tidak ada tunjuk ajar daripada guru dan melalui persekitaran yang membolehkan mereka memahami pertautan tindakan mereka dengan pembentukan jati diri dalam kehidupan mereka? Bagaimana pula sikap adab dan sopan dalam kalangan rakan pelbagai kaum dapat diperkukuh? Semuanya bermula di sekolah apabila guru menerapkan PdP yang bersangkutan dengan elemen ini.

Pada hakikatnya, wujud perbezaan tingkah laku antara kanak-kanak yang bersekolah dengan mereka yang tidak bersekolah.  Pernahkah kita bertemu dengan kanak-kanak jalanan yang tidak bersekolah? Bagaimanakah tingkah laku mereka? Pada kebiasaannya, mereka mendekati kita tanpa bersuara dan hanya menadah tangan untuk meminta sesuatu daripada kita. Bukanlah sesuatu yang pelik jika kita tidak memberikan apa-apa yang mereka mahukan, mereka akan menunjukkan reaksi kurang sopan, malah ada yang berani mengeluarkan kata-kata kesat. Pernahkah kita terfikir mengapakah hal ini berlaku? Sudah pasti kerana mereka tidak mendapat pendidikan formal di sekolah dan segala elemen yang dibincangkan di atas tidak tertanam dalam diri mereka.

Lebih penting lagi, kanak-kanak yang tidak dihantar ke sekolah sudah pasti tidak pernah mendengar atau mengetahui akan lima prinsip Rukun Negara yang sering dilafazkan ketika berada di sekolah. Prinsip ini merupakan janji kita kepada negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; Kesopanan dan Kesusilaan. Setiap prinsip yang kita lafazkan ini merupakan panduan terpenting kita sebagai warganegara Malaysia.

Maka itu, apabila Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan akan memperkasakan konsep Sekolahku SEJAHTERA, banyak pihak yang menyahutnya dengan sokongan dan dukungan. Meskipun konsep ini bukanlah satu mata pelajaran baharu atau sisipan mata pelajaran yang sedia ada, malah konsep ini tidak akan menambah beban tugas guru termasuk pelaporan tentang pelaksanaannya, namun konsep ini dijangka akan memandu guru untuk melahirkan insan cemerlang untuk bangsa dan negara.

Apa-apa yang penting kelak adalah untuk guru serta masyarakat bersama-sama menerapkan konsep ini dalam diri generasi pewaris negara supaya nilai murni tersebut sentiasa tersemat di hati mereka meskipun murid akan meninggalkan sekolah pada suatu hari nanti.

Sebagai kesimpulannya, elemen SEJAHTERA perlu sentiasa diterap, dihayati serta diamalkan sehingga menjadi budaya bagi seluruh warga sekolah. Dengan ini, kita akan dapat melahirkan generasi masa depan yang berkeperibadian unggul dan mampu bersaing di peringkat dunia, serta yang tidak pernah lupa akan akar dan jati diri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.