16 Jun 2022, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin.

Putrajaya — Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berpandangan bahawa beliau yakin para guru, ibu bapa dan para pelajar telah berikhtiar untuk berjaya dengan kaedah yang terbaik dan berharap agar para pelajar dapat melakukan yang terbaik pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian semasa sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1) untuk bertemu dengan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan para guru bagi mendapatkan input yang lebih mendalam tentang keputusan SPM 2021.

Bagi calon SPM 2021 di sekolah ini, saya mendoakan yang terbaik untuk semua. Calon SPM 2021 merupakan kohort yang paling terkesan dengan pandemik COVID-19. Calon kohort 2021 terkesan sewaktu mereka berada di tingkatan empat dan tingkatan lima. Kohort 2021 ini juga merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) baharu.

YB Menteri Kanan Pendidikan menjelaskan bahawa, segala keputusan yang dicapai oleh calon SPM 2021 pada hari ini perlulah diterima dengan hati yang terbuka. Perkara yang paling penting termasuklah merangka perjalanan kehidupan yang seterusnya. Oleh itu, ibu bapa perlu berbincang dengan anak-anak mereka tentang hala tuju yang sesuai untuk diambil demi masa hadapan mereka.

YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin melihat keputusan calon SPM 2021.

“Jangan takut untuk mengambil pendekatan yang sedikit berbeza daripada perancangan asal bagi memastikan anak-anak dapat melalui segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan yang mendatang dengan lebih baik,” jelas YB Menteri Kanan Pendidikan.

YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin sedang mendapatkan input tentang keputusan calon SPM 2021.
Pengetua SMK Putrajaya Presint 18 (1), YBrs. Puan Noor Akmar Jais@Mat Jaih.

Sementara itu, Pengetua SMK Putrajaya Presint 18 (1), YBrs. Puan Noor Akmar Jais@Mat Jaih menjelaskan bahawa sebanyak 169 orang calon dari sekolah ini telah menduduki peperiksaan SPM dan berjaya mencapai keputusan 97.60 peratus lulus. Hal ini bermakna, sebanyak 165 orang pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut layak untuk mendapat sijil.

Menurut beliau, gred purata sekolah (GPS) turut meningkat kepada 4.43 dan peningkatan ini merupakan GPS petunjuk kualiti bagi gred dalam peperiksaan. Nilai GPS yang lebih kecil menunjukkan kualiti yang lebih baik.

Dalam majlis tersebut juga, beliau mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada dua orang pelajar yang telah berjaya memperoleh keputusan lapan A dalam peperiksaan tersebut, iaitu Irzati Batrisyia Ibrahim dan Aiman Zafri Sani Zuhairi. Pada tahun ini, keputusan SPM telah menunjukkan peningkatan bilangan murid cemerlang dengan memperoleh sekurang-kurangnya empat A ke atas, iaitu sebanyak 51 orang.

Sesi penyerahan keputusan SPM kepada calon SPM 2021.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah banyak membantu pihak sekolah bagi menjayakan segala aktiviti dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang di sekolah itu. Beliau juga berharap agar segala kerjasama yang terjalin akan menjadi lebih akrab dan bersama-sama berganding bahu untuk memastikan kegemilangan sekolah tersebut.

Semua pihak perlu saling membantu dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Potensi dan bakat yang dimiliki oleh pelajar mestilah digilap. Kerjasama dan perpaduan merupakan kunci kejayaan,” akhiri YB Menteri Kanan Pendidikan semasa berucap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1).

Calon SPM 2021 semasa melihat keputusan SPM masing-masing.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.