30 Jun 2022, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semporna – Pembelajaran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mabul diperkasakan menerusi Program HASiL Kasih Prihatin 2022 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL). Program yang digerakkan oleh Pejabat Pengarah Negeri Sabah (PPNS) dengan kerjasama Kor Penyelaras Pasukan Beruniform (KPPU) dan Kelab Penyelam HASiL (HASiL Divers) ini dilaksanakan sebagai menjunjung prinsip kemakmuran negara yang sewajarnya dinikmati bersama. Dalam program tersebut, sumbangan berupa dua unit komputer riba, seunit mesin cetak, seunit projektor, seunit papan tanda baharu nama sekolah, dua unit kipas industri dan 10 kotak kertas A4 telah diserahkan sebagai usaha untuk membantu menaik taraf kemudahan pembelajaran di sekolah berkenaan. Turut disumbangkan oleh HASiL ialah 250 unit beg sekolah baharu dan 300 pek makanan untuk dimanfaatkan oleh semua murid dan guru di sekolah tersebut.

YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL menyampaikan sumbangan kepada murid SK Mabul.
Sumbangan HASiL kepada pihak sekolah.

Perasmian program dan penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL. Dalam ucapan perasmiannya, beliau memaklumkan bahawa program CSR HASiL pada kali ini menumpukan kepada tiga aktiviti utama, iaitu:

(a) CSR Marin yang memberikan fokus kepada kelestarian hidupan laut;

(b) CSR Komuniti yang menyasarkan kesejahteraan komuniti setempat; dan

(c) CSR SK Mabul yang berorientasikan pembangunan pembelajaran murid.

YBhg. Datuk Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Program ini juga membuktikan bahawa peranan dan tanggungjawab Keluarga HASiL tidak hanya terhad kepada mentadbir cukai langsung semata-mata, sebaliknya HASiL turut berperanan membantu masyarakat menerusi program kesedaran dan pendidikan sekali gus mampu memberikan kesan kepada peningkatan pematuhan cukai secara sukarela di negara ini.

Tambah beliau lagi, pelaksanaan serta penganjuran berterusan program seperti ini merupakan tanda sokongan padu HASiL kepada pembangunan modal insan termasuklah masyarakat luar bandar. Selain itu, program tersebut juga merupakan salah satu pendekatan strategik HASiL dalam mendekatkan diri kepada masyarakat.

Hadir bersama-sama menjayakan program ini ialah barisan pengurusan tertinggi HASiL, iaitu YBrs. Encik Abu Tariq bin Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), YBhg. Datuk Hajam bin Lajah Alam, Pengarah Negeri Sabah, Tuan Haji Mohd Yusof bin Jalal, Ketua Kampung Pulau Mabul dan Encik Lawaddin bin Jammaal, Guru Besar SK Pulau Mabul.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.