Oleh Normasiska Noor
7 Julai 2022, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Subsidi menjadi isu yang paling menarik perhatian sejak belakangan ini. Hal ini bermula daripada isu subsidi yang berkaitan dengan kenaikan harga ayam dan subsidi minyak masak yang merupakan keperluan utama rakyat di negara ini. Kekurangan bekalan barangan tersebut di pasaran juga menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat.

Walau bagaimanapun, keresahan rakyat itu pada akhirnya diredakan oleh kerajaan apabila Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 21 Jun lalu menjelaskan dalam sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan menarik balik subsidi minyak masak peket seperti yang didakwa oleh pihak tertentu. Penjelasan Perdana Menteri itu bermaksud bahawa subsidi minyak masak peket masih dikekalkan bagi meringankan beban yang dialami oleh rakyat terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) susulan peningkatan harga barangan pada ketika ini.

Saya ingin menjelaskan kekeliruan berhubung dengan subsidi minyak masak yang dikatakan ditarik balik. Suka saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion pada tahun 2022 ini, iaitu setakat ini. Jumlah subsidi yang diberikan ini adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 berbanding dengan RM2.2 bilion pada tahun 2021. Minyak masak yang diberikan subsidi oleh kerajaan adalah berjumlah 60 ribu tan metrik sebulan, iaitu jumlah yang melebihi keperluan sebenar pengguna, iaitu sebanyak 55 ribu tan metrik sebulan. Walaupun keperluan pasaran adalah sebanyak 55 ribu tan metrik, kerajaan telah memberikan subsidi sebanyak 60 ribu tan. Hal ini bermakna terdapat lebihan 5000 tan metrik.

Dalam hal itu, Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa pada ketika ini juga rakyat masih dapat menikmati manfaat subsidi yang diberikan oleh kerajaan dengan harga RM2.50 sepeket (minyak masak paket) sekilogram berbanding dengan harga pasaran, iaitu RM9.00. Walau bagaimanapun, tambahnya lagi, minyak masak tersebut adalah untuk kegunaan rumah seperti yang tertera pada paket plastik, khususnya untuk golongan B40.

Ternyata penjelasan Perdana Menteri itu melegakan rakyat yang sememangnya berasa bimbang akan berlaku kenaikan harga barangan makanan yang pastinya akan menjejaskan rantaian kehidupan rakyat. Maka itu, rakyat mengharapkan agar kerajaan dengan segera dapat mengawal kenaikan harga barangan yang sedang berlaku dan mencari jalan penyelesaian yang memberikan manfaat kepada semua pihak.

Pada ketika isu subsidi masih meresahkan rakyat. Pada 26 Jun lalu, menerusi Laporan Kewangan Rakyat ke-100, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan bahawa jumlah keseluruhan subsidi negara dijangka menghampiri RM80 bilion bagi tahun 2022. Jumlah itu menurutnya adalah jumlah subsidi terbesar dalam negara.

Tambahnya lagi, bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap rakyat, kerajaan memberikan pelbagai subsidi kepenggunaan meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik.

“Secara keseluruhan, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi tahun 2022 merupakan jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan. Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti bantuan kebajikan masyarakat, bantuan pertanian, nelayan dan sebagainya, jumlah keseluruhan subsidi dijangka menghampiri RM80 bilion bagi tahun 2022 yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah,” katanya.

Walau bagaimanapun, menurut Tengku Zafrul, kerajaan tetap akan melaksanakan dasar yang secara amnya bertujuan untuk membendung inflasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang terlalu mendadak dan pada masa yang sama membantu golongan yang perlu dari segi bantuan secara langsung. Hal ini dikatakan demikian kerana dasar itu dilihat telah menghasilkan satu situasi yang dikira terkawal, terutamanya apabila dibandingkan dengan negara-negara lain.

Ternyata pemberian subsidi tidak hanya berlaku di Malaysia. Hampir kebanyakan negara di dunia masih memperuntukkan subsidi kepada rakyat di negara masing-masing. Pada tahun 2019, sebanyak 10 buah negara dicatatkan menanggung jumlah subsidi tertinggi di dunia. Negara tersebut ialah Indonesia, Korea, Iran, Colombia, Uzbekistan, Iraq, Rusia, Chile, India, dan Paraguay.

Sebagai persoalannya, dengan pelbagai situasi kewangan yang menghimpit rakyat pada hari ini, adakah kita benar-benar memahami apa-apa yang dimaksudkan dengan subsidi?

Subsidi ialah faedah yang diberikan oleh kerajaan kepada individu dan perniagaan atau sesebuah institusi. Subsidi boleh diberikan secara langsung (seperti pembayaran tunai) sebagai contohnya, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Selain itu, BKM juga bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan subsidi tidak langsung seperti pelepasan cukai.  Sebagai contohnya, pengecualian cukai jualan kereta yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2022 adalah bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif.

Apakah tujuan pemberian subsidi? Subsidi pada kebiasaannya diberikan untuk menghapuskan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Dalam teori ekonomi, subsidi boleh digunakan untuk mengimbangi kegagalan pasaran untuk mencapai kecekapan ekonomi yang lebih besar. Subsidi juga secara amnya dilihat sebagai jenis bantuan kewangan yang istimewa kerana subsidi dapat mengurangkan beban berkaitan yang sebelum ini dikenakan terhadap penerima atau bertujuan untuk mempromosikan tindakan tertentu dengan menyediakan sokongan kewangan.

Maka itu, dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit (bukan sahaja di Malaysia, tetapi yang melanda di seluruh dunia) ternyata subsidi amat diperlukan oleh rakyat. Perjalanan endemik COVID-19 negara sememangnya mencabar dan perit, banyak pihak sedang berusaha keras untuk memulakan “kehidupan” baharu selepas terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda.

Oleh itu, penarikan subsidi terhadap barangan keperluan atau perkhidmatan pastinya akan meninggalkan impak yang besar terhadap sosioekonomi rakyat. Menyedari akan hal ini, pada 3 Jun lalu, Perdana Menteri ketika berucap dalam program Kenduri Rakyat Bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Siri Kelima, memberikan bayangan bahawa kerajaan akan meningkatkan pemberian BKM pada fasa seterusnya sekiranya isu kenaikan harga barangan dalam negara masih berlarutan.

Pastinya isu subsidi akan terus menjadi perhatian utama kerajaan. Dalam mengimbangi keperluan rakyat, kerajaan diyakini mempunyai formula yang terbaik untuk memastikan isu kenaikan harga barangan dapat diatasi atau setidak-tidaknya dapat diminimumkan bagi membolehkan rakyat menyesuaikan kehidupan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.