13 Julai 2022, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Program Ibadah Korban dan Program Tanggungjawab Sosial (SR) berjaya dilakukan di Kampung Bandukan Baru Keningau, Sabah.

Keningau – Bersempena Hari Raya Aidiladha, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Cawangan Keningau mengadakan Program Ibadah Korban dan Program Tanggungjawab Sosial (SR) di perkarangan Surau An-Nur Kampung Bandukan Baru Keningau pada pukul 7.00 pagi, semalam.

Dalam program kerjasama antara Pejabat Pengarah Negeri Sabah (PPNS) dengan Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPNWPKL), sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan, selain penyerahan bakul makanan dan wang tunai kepada golongan asnaf dan warga penduduk Kampung Bandukan Baru.

Dengan pelibatan sebanyak 60 orang warga kerja HASiL yang diketuai oleh Tuan Haji Mohamad Zain Mohamad Said, Pengarah PPNWPKL dan Encik Mazlan Mandin, Pengarah HASiL Cawangan Keningau, aktiviti korban ini turut dibantu oleh Jawatankuasa Surau An-Nur Kampung Bandukan Baru Keningau

Menurut Tuan Haji Mohamad Zain Mohamad Said, objektif utama program yang dianjurkan bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara HASiL dengan pihak penduduk di sekitar daerah Keningau, malah menjadi amalan HASiL ke arah melahirkan warga kerja dan organisasi yang prihatin kepada masyarakat.

Tuan Haji Mohamad Zain Mohamad Said menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan kepada 20 orang asnaf penduduk Kampung Bandukan Baru.

HASiL berharap agar sumbangan tersebut dapat membantu pihak surau An-Nur Kampung Bandukan Baru dalam menambah baik keperluan sedia ada, selain membantu mengimarahkan surau berkenaan.

Turut menjayakan program ini ialah Encik Bacho Abdul Karim, Pengarah HASiL Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Encik Alexander Iskandar Tanggang Mahmud, Timbalan Pengarah HASiL Cawangan Keningau dan Encik Herman Haji Salim, Pengerusi Surau An-Nur Kampung Bandukan Baru Keningau.

“Semoga dengan pelaksanaan program seperti ini dapat memberikan peluang kepada HASiLian untuk berbakti kepada masyarakat setempat, di samping menzahirkan HASiL sebagai sebuah badan perkongsian (sharing organisation) yang juga menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Semoga sumbangan dan usaha murni ini mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT,” menurut HASiL dalam kenyataan media semalam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.