Oleh Mubarak Ismail
16 Julai 2022, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Tahun 2022 merupakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan Jepun serta ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur. Hubungan antara kedua-dua negara mula terjalin pada tahun 1957 dan pada tahun 2015 pula, keakraban hubungan ini dinaik taraf daripada Enhanced Partnership kepada Strategic Partnership. Selain itu, kedua-dua negara dijangka bakal menaik taraf hubungan kerjasama sedia ada ke peringkat yang lebih komprehensif, iaitu Comprehensive Strategic Partnership (CSP) berdasarkan status hubungan Malaysia dan Jepun yang terus berkembang maju,

Di samping itu, Malaysia melalui Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIID), Agensi Farmaseutikal dan Peralatan Perubatan (PMDA) serta Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA) telah menjalin hubungan kerjasama dengan Jepun dalam bidang teknologi vaksin COVID-19. Bahkan Malaysia turut berminat mengadakan latihan teknikal bersama-sama Jepun dengan fokus kepada ujian identiti, potensi dan integriti untuk pembangunan vaksin COVID-19”, sembah Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun, Nor’Azam Mohd Idrus kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyambut keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, Jepun.

Ketibaan baginda disertai Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri dan putera baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Tuanku Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan YAM Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. Turut hadir menyambut ketibaan baginda ialah Setiausaha Ketiga (Konsular dan Protokol), Mohd Farriq Osman.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyerahkan sumbangan berjumlah RM5000 kepada Tabung Ibnu Sabil.

Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM5000 kepada Tabung Ibnu Sabil untuk membantu rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan di Jepun.

Menurut Nor’Azam Mohd Idrus, Malaysia amat berminat untuk meningkatkan tahap kerjasama dengan Jepun yang diiktiraf sebagai peneraju utama dunia dalam inovasi digital dan hab keusahawanan. Bahkan Jepun juga sangat agresif dalam meneroka peluang pelaburan berasaskan teknologi hijau untuk mencapai pengurangan pelepasan karbon di udara.

“Melalui pelbagai kajian dan pemerhatian, Malaysia merupakan rakan strategik Jepun yang mempunyai potensi besar berdasarkan kelebihan dan kekuatan negara. Hal ini disokong dengan beberapa perjanjian yang dimeterai antara pelabur Jepun dengan pelbagai syarikat serta organisasi dari Malaysia. Berdasarkan rekod statistik pelaburan yang diluluskan dan dilaksanakan, pelaburan asing dari Jepun amat penting untuk Malaysia terutamanya sektor elektronik dan elektrik, bahan dan produk kimia, produk galian bukan logam, peralatan pengangkutan dan produk petroleum merangkumi petrokimia”, ujar Nor’Azam Mohd Idrus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.