Oleh Aisyah A.
21 Julai 2022, 22:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – TV Pertiwi dalam segmen Dimensi telah mengupas isu semasa yang berkaitan dengan kedudukan kedaulatan Melayu yang semakin dipandang remeh sejak kebelakangan ini. Isu penghinaan terhadap Islam dan ancaman terhadap kedudukan Melayu yang semakin menjadi-jadi kini berada di tahap yang merisaukan.

Dimensi telah menjemput Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, seorang juri yang mempelopori Jurisprudens Watan (Local Jurisprudence) untuk membincangkan isu ini dengan lebih lanjut. TV Pertiwi adalah satu daripada platform berita dalam talian yang dikendalikan sepenuhnya oleh Kerengga Merah Sdn. Bhd. (KMSB) dan berdaftar secara rasmi sebagai media atas talian dengan Jabatan Penerangan Malaysia.

Menurut Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi mengenai sikap segelintir pihak yang mencabar kedaulatan Melayu di negara ini, beliau berpandangan bahawa situasi ini adalah berangkai dan berpunca daripada tindakan dan pemikiran yang berlaku sebelum isu ini timbul lagi.

Ujar beliau,

Perkataan kedaulatan sering kali bertindak sebagai hiasan dalam ungkapan, ucapan dan tulisan tanpa menghayati maksud perkataan tersebut dan tidak membawa takrifan mengikut undang-undang.

Mengulas definisi sebenar kedaulatan Melayu dan Raja-Raja Melayu dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, hal ini merupakan prinsip teras pada suatu undang-undang tempatan seperti yang termaktub dalam Perkara 181(1) yang menyentuh prinsip kedaulatan Malaysia dan disyaratkan oleh Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Kedaulatan Watan Tanah Melayu menurut Adat Melayu yang berteraskan fahaman Kontinum adalah kepimpinan manusia, termasuklah Raja Melayu adalah sebagai khalifah atau pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT.

Konsep kedaulatan ini menggariskan sistem politik, undang-undang dan prinsip perundangan yang menjadi panduan mandatori kepada manusia dan sesuai dilaksanakan sepanjang zaman.

Beliau mengaitkan perkara tersebut dengan zaman campur tangan British di negeri Melayu selepas Perjanjian Pangkor 1874, yakni pihak Inggeris tidak boleh campur tangan dalam urusan agama Islam dan adat Melayu sepertimana yang termaktub dalam perjanjian. Mandat dalam pentadbiran yang diberikan kepada British sehinggalah campur tangan itu ditamatkan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 adalah atas wibawa kedaulatan Raja Melayu.

Secara ringkasnya, kedaulatan Melayu merujuk Kedaulatan Raja-Raja kerana Raja ialah Raja-Raja Melayu dan tanah ini ialah Tanah Melayu. Kedaulatan Melayu mesti berpaksikan kepada patuh syariah. Oleh itu, setiap perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam adalah melanggar kedaulatan Melayu.

Dalam konteks realiti pada hari ini, prinsip kedaulatan dibicarakan dari aspek pemikiran dikotomi, iaitu kedaulatan yang diletakkan kepada manusia sama ada bersifat individu atau menunjuk rakyat atau dewan perwakilan. Dari segi pemikiran dan hiburan yang banyak mengorbankan prinsip agama, beliau berkata, penghibur seolah-olah tidak mempunyai modal lain dan berasa lebih berfikiran terbuka apabila menerima perkara yang bercanggah dengan agama. Perkara ini perlu diambil serius apatah lagi negara ini mempunyai penguatkuasaan, undang-undang, pemerintahan berasaskan agama Islam dan pemimpin yang beragama Islam.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi menekankan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai Islam sebagai agama Persekutuan dan agama Negeri dan meletakkan Raja-Raja sebagai pemegang amanah Allah. Malangnya tanpa rujukan sistem perlembagaan negara kita dengan teliti, ada pihak meletakkan demokrasi sebagai prinsip kedaulatan negara dan menggunakan istilah kontrak sosial yang merupakan satu sisi falsafah undang-undang yang meletakkan manusia lebih berkuasa daripada Tuhan.

Kontrak sosial bukanlah rundingan biasa dan bukan juga rundingan antara kaum, tetapi merupakan satu pemikiran atau falsafah yang meletakkan mandat rakyat sebagai kuasa tertinggi untuk menggubal undang-undang walaupun hal tersebut bercanggah dengan hukum syarak. Hal inilah yang dimaksudkan dengan kontrak sosial yang menjadi asas kepada demokrasi, yakni tidak wujud dalam kerangka perlembagaan negara.

Beliau yang juga merupakan Pensyarah di Universiti Malaysia Pahang (UMP) berpendapat bahawa rakyat perlu bertindak secara proaktif dalam membendung penghinaan dan ancaman Kedaulatan Melayu ini, termasuklah dalam usaha menyampaikan nasihat dan pandangan kepada pihak berkuasa yang kadangkala tidak mempunyai maklumat dan sumber yang cukup.

Mengulas lebih lanjut, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi menegaskan bahawa peraturan perundangan yang perlu difahami oleh rakyat Malaysia. Mereka perlu bersepakat bahawa setiap perkara yang melanggar undang-undang Islam yang dibuat secara terang-terangan lagi terbuka adalah salah dan perlu diambil tindakan tanpa menuding jari kepada sesiapapun. Hal ini perlu dibincangkan dan diperhalusi agar kedaulatan Melayu ini tidak ternoda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.