2 Ogos 2022, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan UUM Press pada 2 Ogos 2022 untuk bertukar-tukar pandangan tentang pengalaman masing-masing dalam bidang penerbitan. Perkongsian ini dilakukan dengan matlamat untuk meningkatkan jumlah, kualiti penerbitan dan peluang latihan bersama.

Dalam pertemuan ini, pihak UUM Press diwakili oleh Prof. Madya Dr. Hamidi Ismail (Pengarah UUM Press), Puan Rosma Ishak (Timbalan Pengarah UUM Press), Puan Nor Arpizah Atan (Ketua Seksyen Jurnal), Encik Mohammad Amzari Bakri (Ketua Seksyen Media, Jualan dan Pemasaran) dan Encik Zuraizee Zulkifli (Ketua Seksyen Grafik). Pihak DBP pula diwakili oleh Tuan Haji Razali Che Mat (Pengarah Penerbitan DBP), Dr. Rosmani Omar (Ketua Editor Bahagian Majalah), Encik Azhari Edin (Ketua Editor Bahagian Buku Umum), Puan Nurul Julia Alani Henry (Ketua Editor Bahagian Buku Sastera), Puan Mariati Josepha Mustafa (Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja), Encik Adenan (wakil Ketua Akademi DBP), Encik Ruslan Abdul Raffar (Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan), Encik Shah Rizal Azwan Ghazali (Ketua Bahagian Harta Intelek), Encik Mohd Syukri Anwar (Editor Jurnal) dan Puan Zaiton Darois (Editor Jurnal).

Sesi perbincangan ini memfokuskan beberapa perkara penting dalam bidang penerbitan, termasuklah kaedah untuk memastikan tempoh penerbitan yang ditetapkan dipatuhi. Dalam hal ini, DBP menetapkan supaya manuskrip telah melalui proses yang ditetapkan dan penulis tidak dibenarkan untuk menyunting lagi manuskrip ketika manuskrip berada dalam fasa penerbitan.

Ketika sesi perkongsian sedang berlangsung

Selain itu, isu jualan yang tidak memberangsangkan turut dikongsi dalam pertemuan ini. Kedua-dua penerbit ini bersetuju bahawa penulis yang mempunyai ramai pengikut dapat meningkatkan jumlah jualan. Pihak DBP juga mencadangkan supaya produk terbitan yang akan diterbitkan perlu mendapat kerjasama daripada agensi dan pihak tertentu yang dapat membeli produk penerbitan tersebut. Hal ini perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum satu-satu produk penerbitan diterbitkan.

Pada akhir sesi perkongsian ini, kedua-dua penerbit membayangkan penerbitan bersama yang boleh dilaksanakan untuk mendapatkan penulis yang berprofil tinggi, seterusnya meningkatkan jualan setelah produk penerbitan tersebut terbit.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.