Oleh Aisyah A.
2 Ogos 2022, 20:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Program Pemikir Negara merupakan slot temu bual baharu yang dilaksanakan oleh BERNAMA sempena sambutan hari kebangsaan.

Kuala Lumpur – Radio BERNAMA telah memperkenalkan satu slot temu bual baharu menerusi Program Pemikir Negara yang bersiaran pada setiap hari Selasa, pukul 10.30 pagi bermula bulan Ogos ini, sempena bulan kemerdekaan Malaysia. Topik yang dibincangkan pada temu bual pertama bagi slot ini adalah merupakan tema sambutan hari kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama.”

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Annuar Musa, tema tersebut adalah selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021 dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri negara yang kesembilan.

Radio BERNAMA telah menjemput Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw yang merupakan Felow Kluster Wanita dan Masyarakat, Majlis Profesor Negara untuk mendapatkan pandangan beliau berkenaan dengan tema Keluarga Malaysia, yakni merujuk masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Konsep Keluarga Malaysia ini dapat dicapai sekiranya nilai peradaban dipupuk dalam kalangan masyarakat, seiring dengan rukun negara – Dr. Jessica Ong Hai.

Menurut beliau, keterangkuman atau inclusivity adalah sebuah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama yang menjunjung semangat cinta akan negara. Hal ini juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang bangsa sentiasa bekerjasama walau apa-apapun jua keadaan. Konsep Keluarga Malaysia ini dapat dicapai sekiranya nilai peradaban dipupuk dalam kalangan masyarakat, seiring dengan rukun negara.

Selain itu, kebersamaan atau common ground pula merujuk gerak kerja dari semua agensi, kementerian dan insiatif rakyat bagi mencapai titik temu ke arah kepentingan bersama. Setiap rakyat hendaklah hidup dalam aman damai dan bersatu padu, serta mempunyai semangat patriotisme demi mempertahankan negara yang makmur dan sejahtera.

Mengulas makna kesyukuran, beliau berpendapat toleransi merupakan payungan penting dalam mempertahankan kemerdekaan selama lebih enam dekad ini. Sebagai negara yang bebas daripada jajahan, rakyat seharusnya mempertingkatkan kerjasama dan indeks kebahagiaan.

Dalam mencari titik keseimbangan antara kebebasan bersuara dan menjaga hati setiap warga, beliau menekankan kepentingan untuk menghormati demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dan Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua negara, perlembagaan persekutuan dan rukun negara perlu dihormati dan dijunjung demi menjaga kepentingan ekonomi dan sosial rakyat tanpa menjaga kepentingan mana-mana pihak. Beliau menasihatkan agar rakyat Malaysia tidak cepat melatah dan tidak melihat setiap perkara dari sisi negatif.

Tambah Dr. Jessica, rakyat Malaysia seharusnya menjadikan bahasa Melayu sebagai teras perpaduan kerana hal ini merupakan kunci perpaduan kepada bangsa dan negara.

Mengulas lanjut mengenai isu bahasa Melayu, beliau mengatakan bahawa bahasa Melayu perlu diutamakan dan usaha ini dapat dilihat melalui program seperti jelajah puisi di universiti, sekolah rendah dan menegah yang telah banyak dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha membawa bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Misalnya, Wan Muhammad Faris Wan Mohd Noor, seorang ikon yang telah mengembara ke 20 buah negara Eropah menerusi Misi Jelajah Berbasikal Solo Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selama 85 hari yang menyatakan bahawa, bahasa Melayu sangat diterima baik oleh setiap negara mengikut pendekatan yang digunakan kepada rakyat negara tersebut. Penggunaan pantun ketika berucap di hadapan warga asing boleh memberi pengenalan berkenaan puisi tradisional dalam bahasa Melayu di negara kita.

Sementara itu, Dr. Jessica turut berkongsi bahawa Wan Muhammad Faris telah membawa diplomasi budaya, yakni memakai baju bercorak peta Malaysia. Malah, ikon tersebut turut berpeluang memperkenalkan makanan, budaya dan etnik negara, terutamanya bagi negeri Sabah dan Sarawak. Beliau berkongsi usaha untuk menterjemahkan lagu puisi bahasa Melayu ke dalam bahasa Mandarin dan Tamil dengan muzik dan melodi yang sama juga dapat memberikan wajah dan suasana baharu yang akan menarik minat anak-anak muda zaman kini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.