6 Ogos 2022, 23:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Baru-baru ini, forum bersempena dengan majlis pelancaran buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru membawakan beberapa ahli panel membincangkan tentang permasalahan negara serta cabaran dan penyelesaian yang perlu dilakukan dalam sistem pentadbiran negara.

Malah, turut dibincangkan tentang peranan orang muda dalam menerajui sistem politik dan pentadbiran dalam negara.

Forum Masa untuk Generasi Baru yang melibatkan Mantan Setiausaha Sulit Speaker Dewan Rakyat, Fatihah Salabuddin; Pemuda UMNO, Nor Azleen Ambros; Yayasan Peace, Dr. Zokhri Idris (sebagai moderator); Ahli Dewan Undangan Negeri, Lim Yi Wei; Penyelidik, Teo Lee Keen dan Penyelidik, Abdul Muqit Muhammad (dari kiri).

Membahaskan lebih lanjut, Mantan Setiausaha Sulit Speaker Dewan Rakyat, Fatihah Salabuddin menyatakan perbalahan dalam kalangan generasi tua dalam politik menyebabkan golongan muda yang terlibat menjadi gusar.

Untuk mengubah landskap politik, kita perlu meningkatkan pelibatan golongan muda dalam semua parti di Malaysia dan bukan satu kelompok sahaja. Kita juga perlu membincangkan tentang peluang pekerjaan apabila had pencen dinaikkan, sekali gus memberikan kesan kepada golongan muda,” ujar Fatihah telah membicarakan tentang isu yang dihadapi negara kini.

Menurut Pemuda UMNO, Nor Azleen Ambros, ilmu seharusnya diletakkan pada keutamaan paling tinggi dalam menentukan sesuatu perkara untuk merancang tertentu dan menghadapi krisis pada hari ini. Banyak permasalahan yang dilalui dalam negara perlu dibuat berdasarkan fakta supaya lebih efektif dan berkesan, serta memberikan manfaat kepada rakyat.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Lim Yi Wei berpendapat bahawa peranan anak muda untuk membetulkan ketidakadilan atau kesenjangan yang ada.

Kita nampak semasa pandemik banyak masalah atau isu yang timbul. Pandemik merupakan masa yang sesuai untuk melihat adakah dasar sedia memberikan manfaat kepada semua atau kepada satu golongan sahaja?

Tambah beliau, buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru juga ada menyentuh tentang kepercayaan rakyat dapat dikembalikan dengan mencari satu keadilan susulan daripada kesenjangan ekonomi, sosial dan membela rakyat yang tertindas.

Penyelidik, Abdul Muqit Muhammad berkata, “kita perlu faham tentang permasalahan dalam negara untuk kita tentukan jenis inisiatif yang boleh diambil untuk selesaikan masalah. Satu daripada masalahnya adalah kerosakan sistem negara ini tampak stabil dari peringkat pucuk sehingga akarnya. Hakikatnya, hal ini tidak pernah diselesaikan dan boleh membarah kepada budaya, perfileman dan pentadbiran universiti.

Permasalahan tentang korupsi seolah-olah telah menjadi kebiasaan dan tidak boleh ditutup lagi. Sistem awam juga sudah lama tidak dibincangkan secara baik. Sebagai contohnya, masalah kesesakan lalu lintas, sistem banjir dan pengangkutan awam yang tidak dibincangkan kerana kita berdepan dengan sistem yang tidak dapat mengungkap idea baharu.

Selain itu, perubahan atau transisi dari generasi lama kepada generasi baharu. Sebagai contoh, negara Indonesia telah memberikan peluang kepada generasi baharu dalam politik, tetapi di Malaysia masih tiada perubahan dan tidak mengangkat suara anak muda. Peralihan perlu dilakukan dari sekarang.

Dalam perkembangan lain, perbincangan mengenai tindakan yang boleh dilakukan dalam jangka pendek untuk menghadapi krisis di Malaysia turut diadakan.

Penyelidik, Teo Lee Keen berkata,

Kita terlalu menafikan krisis yang timbul. Kita perlu menyusun kembali dan membentuk kelompok untuk mengambil peduli tentang masalah itu. Dasar harus diubah untuk memberikan peluang kepada orang muda supaya melibatkan diri.

Fatihah turut menyatakan bahawa apabila pandemik berlaku, rakyat boleh lihat isu yang rosak dalam sistem politik dan agensi kerajaan.

“Kita terlalu berada dalam keadaan selesa dan tiada tekanan sehingga kurang cakna tentang sistem demokrasi dalam Malaysia dan fungsi dalam pentadbiran. Apabila terlalu selesa, kita kurang peka akan kerosakan yang berlaku. Hal ini semua berbalik pada kesedaran masyarakat dan generasi muda dalam sistem politik.”

Menurut beliau, perkara yang paling penting adalah pelibatan anak muda dalam sistem politik dan membabitkan diri dalam keputusan yang dilakukan dalam sistem pentadbiran. Umumnya mengetahui, negara kita kurang dalam kesedaran demokrasi kerana tiada subjek spesifik dalam pendidikan demokrasi atau tatanegara. Sebagai contoh, pendidikan di luar negara telah mendedahkan sistem pemerintahan negara kepada kanak-kanak seawal usia enam tahun. Apabila kanak-kanak mempunyai pengalaman dan pengetahuan, maka mereka lebih mengetahui sistem demokrasi yang berlaku dalam negara.

“Walaupun negara Malaysia meletakkan syarat pengundi kepada umur 18 tahun, namun adakah generasi kini sudah bersedia untuk mengundi dan faham akan sistem politik dalam negara? Oleh itu, kita perlu mengatasi kelemahan itu supaya golongan muda lebih berilmu dalam memilih pemimpin negara,” ujarnya lagi dalam perbahasan forum tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.