8 Ogos 2022, 10:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masih panas dan tular kontroversi tentang seorang wanita yang hadir ke sebuah kelab komedi terbuka di Kuala Lumpur baru-baru ini kononnya untuk mempersembahkan komedi solo. Pada awal pengenalan, dia mendakwa dirinya Islam, menghafaz sebahagian al-Quran dan mendapat pendidikan agama sejak kecil dalam persekitaran keluarga Melayu sebelum bertindak menanggalkan tudung lalu mendedahkan sebahagian daripada auratnya dengan berpakaian mencolok mata. Semua itu kononnya atas nama komedi dan mahu membuat jenaka.

Bagi yang melihat dan mendengar aksi tersebut (bukan sahaja pada babak permulaan tetapi keseluruhannya aksi beliau), hampir tidak ada yang kelakar. “Punchlines” atau bahagian yang melucukan tidak menjadi. Komedinya tidak berisi dan banyak orang yang mencebik dan berkerut. Pada mereka, aksinya itu mengarut.

Yang ada hanyalah penekanan yang bersungguh-sungguh bahawa beliau ialah seorang penganut agama Islam, bertudung sejak kecil, menghafal sebahagian daripada al-Quran dan mendapat pendidikan agama dalam persekitaran hidup keluarga Melayu.

Pasti kita tertanya-tanya, apakah motif dan niatnya bertindak sebegitu? Yang kita tercari-cari, di manakah komedi dan jenakanya?

Dalam insiden seorang wanita yang cuba mencuri perhatian dengan cubaan menjadi pelawak “jadian” ini, terdapat banyak yang boleh kita perhatikan dan belajar.

 

Pemahaman tentang Fungsi Agama dalam kehidupan

Agama seharusnya menjadi had dan batas yang menentukan perkara yang boleh menjadi gurauan dan bukannya agama yang dijadikan gurauan. Sekalipun kesucian agama tidak sedikit pun ternoda dan terkurang dengan olokan dan momokan manusia, tidak wajar untuk  mana-mana pihak menjadikan agama sebagai bahan jenaka.

Adakah ini isu baharu dan terpencil? Sebenarnya tidak.

Segelintir di luar sana yang dengan sengaja dan sedar memilih untuk menghina, memperolok, merendah-rendah dan mempermainkan agama, bangsa dan budaya atas nama komedi, seni dan kebebasan bersuara. Pada mereka, perkara sebegitu “biasa” dan mungkin kelihatan “hebat”?

 

Pemahaman yang Lemah dan Terpesong tentang Komedi, Jenaka dan Seni

Komedi merupakan peluang untuk membuat orang terhibur dan ketawa, namun tetap bukan ruang untuk menelanjangkan diri agar ditertawakan. Benar komedi dan seni itu lazimnya ada sisi yang sedikit nakal, tetapi bukan antiakal.

Komedi, seni atau apa-apa ekspresi kreatif sekali pun bersifat gurauan dan “ringan”, perlu mempunyai nilai dan mesej. Pelawak yang terkenal seperti Trevor Noah selalunya akan mengutamakan mesej dan nilai yang baik, bukannya gigih dan terdesak seperti George Carlin yang akan memasukkan segala elemen yang boleh memberikan imej buruk terhadap sesuatu agama, bangsa dan budaya.

Sekiranya dalam sesuatu karya seni, komedi dan ekspresi kreatif, nilai dan mesej yang baik dikesampingkan, maka, aspek murahan merupakan adjektif yang paling ringan untuk menggambarkan mutu karya tersebut.

Mengubah Mentaliti Sempit

Pertama, antara mentaliti sempit yang boleh dijadikan contoh ialah mentaliti yang suka menyalahkan agama. Kemunculan wanita tersebut yang mahu menjadi pelawak jadian ini bukanlah insiden pertama. Sesetengah wanita bertudung yang mendakwa kononnya tertekan, terpaksa dan menderita hidup beragama, lalu menjadikan agama sebagai alasan untuk mereka berubah menjadi liar dan hedonis. Mentaliti seperti ini sangat keanak-anakan.

Kedua, sikap menyalahkan ibu bapa dan asuhan keluarga atas segala kesulitan dan kehidupan yang tidak bahagia. Penulis karya kreatif berstatus bilionair, JK Rowling semasa berucap pada Harvard Commencement 2008 mengungkapkan:

There is an expiry date on blaming your parents for steering you in the wrong direction”.

Dalam maksud mudah dan ringkasnya, berhentilah menyalahkan semua perkara kepada ibu bapa. Sekalipun mereka sememangnya salah dan bukanlah ibu bapa yang baik, sampai bilakah kita mahu berandaian begitu? Kita sendiri yang perlu mencari jalan membetulkan kesilapan lalu, kekurangan diri dan tekanan hidup, bukannya terus menerus menyalahkan ibu bapa dan keluarga sekalipun selepas sudah 20 tahun menjadi orang dewasa.

Ketiga, ketaasuban menyembah populariti dan mengejar penerimaan orang sehingga hilang nilai diri, kesantunan, mesej besar dan kecerdikan akal. Dunia media sosial pada hari ini hanya memburukkan mentaliti toksik yang semakin menjadi dalam budaya masyarakat sekarang. Oleh sebab itu, ada yang mencipta lagu yang dungu, menghasilkan klip video yang memalukan diri serta membuat kandungan seperti menarik tudung orang awam yang semuanya bertujuan mengundang kemarahan serta kecaman.

Keempat, masyarakat perlu bertegas bahawa jenaka, komedi, seni dan karya kreatif bukan lesen menjadi dungu, biadap, rasis dan tidak sensitif. Di Barat, segala-galanya dibolehkan dan Jesus yang dianggap tuhan menjadi bahan jenaka dalam semua perkara, hatta dalam produk pornografi dan rangkaian ejekan dalam segenap ruang litup hidup. Pastinya ini bukan makna dan aspirasi kebebasan bersuara dan nilai sebenar seni kreatif. Masyarakat perlu menolak kebebasan mutlak seperti ini.

Oleh hal yang demikian, maka jadikanlah setiap perkara yang kita lakukan sebagai peluang mengajak masyarakat untuk berfikir dan menjadi lebih baik dan bukannya mahu bersaing dengan menonjolkan diri sendiri yang mahu tampil dengan persembahan yang paling jelik.

Dalam berjenaka dan berkarya, biarlah berakal. Menjatuhkan maruah dan kebijaksanaan diri tidak pernah kelakar. Menjadikan orang lain bahan ketawa, tidak pernah pintar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.