10 Ogos 2022, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
COVID-19 masih melanda dunia dan tidak diketahui bilakah virus ini akan berakhir.

Pakar kesihatan berpandangan bahawa rakyat Malaysia dilihat sudah bersedia memasuki fasa peralihan endemik dengan pendedahan maklumat yang begitu meluas berhubung dengan COVID-19 sejak wabak itu melanda negara ini. Dikatakan jumlah vaksinasi lengkap dan dos penggalak serta vaksinasi kanak-kanak yang kini giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mampu mengawal wabak apabila memasuki fasa peralihan endemik. Secara tidak langsung, kerajaan juga telah  memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan tentang wabak COVID-19. Maka itu, rakyat seharusnya mempunyai kesedaran serta membuat keputusan yang terbaik dalam melindungi diri daripada mendapat jangkitan.

Meskipun negara kini berada dalam fasa endemik, namun hakikat yang harus kita terima ialah virus ini belum berpenghujung. Hingga makalah ini ditulis (9 Ogos 2022), negara mencatatkan 3083 kes baharu di seluruh negara dengan Selangor terus menjadi negeri penyumbang tertinggi kes. Sehubungan itu, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus giat mengingatkan agar rakyat di negara ini agar patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Secara dasarnya, peralihan fasa pandemik kepada endemik dikatakan sebahagian daripada proses yang linear, yang mana banyak jangkitan penyakit lain terdapat pada manusia dan perkembangannya adalah secara semula jadi dan berlaku di seluruh negara.

Tidak dinafikan bahawa, masih ada segelintir rakyat di negara ini masih  menganggap bahawa kehidupan manusia sudah kembali normal, walaupun hal tersebut masih tidak berlaku. Masih terdapat perbezaan individu yang lebih berusia dengan individu yang lebih muda dalam menangani kesan jangka sederhana dan panjang terhadap virus tersebut. Walaupun vaksin dilihat sebagai cara terbaik untuk individu melindungi diri, tetapi hal ini tidak boleh dianggap sebagai satu-satunya garis pertahanan, kerana virus COVID-19 ini senantiasa bermutasi.

Dalam menghadapi kesan jangka panjang COVID-19, kerajaan turut  melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang merupakan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mengharungi fasa endemik COVID-19. Agenda ini juga bertujuan untuk membudayakan hidup sihat dan membina kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan rakyat, di samping berusaha menjadikan Keluarga Malaysia sihat sejahtera sepanjang hayat.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengambil pendekatan seluruh negara dengan menjalin kerjasama yang erat dengan semua pihak untuk bergerak sebagai rakan strategik. Oleh hal yang demikian, kerajaan bertanggungjawab merangka hala tuju, strategi dan initiatif ANMS, manakala pihak swasta dan badan bukan kerajaan menjadi penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif yang diperkenalkan.

Penggunaan pelitup muka masih menjadi amalan rakyat Malaysia.

Selain itu, ANMS turut memberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) terutamanya dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Antara strategi yang digunakan dalam RMK12 berkaitan kesejahteraan kesihatan termasuklah meningkatkan literasi kesihatan serta kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan rakyat. Kini, kerajaan sedang membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan yang akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan yang akan dipergiat melalui pelbagai platform, pada semua peringkat dengan memanfaatkan fasiliti di bawah pelbagai agensi. Sepertimana yang dapat dilihat, menerusi usaha yang bakal dijalankan ini, Keluarga Malaysia bukan sahaja dapat membudayakan hidup sihat, mengurangkan risiko penyakit serta mengurangkan kos rawatan dan pemulihan, malah dapat menjalani hidup yang lebih berkualiti semasa di fasa endemik, mahupun selepas berakhirnya wabak ini.

Secara umumnya, cabaran yang bertali arus dari wabak COVID-19 ini menjadi asas kukuh kepada pembentukan kekuatan diri yang mantap, tahan diuji dan tabah menempuh arus perubahan. Tuntasnya, setiap individu perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa-apa yang berlaku sejak wabak ini mula melanda hingga kini. Yang paling penting semua pihak perlu berusaha menghayati serta memastikan setiap aspek, seperti emosi, pemikiran, tindakan dan spiritual serta cara hidup rakyat  berada dalam keadaan yang baik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Felo Penyelidik Komunikasi Kesihatan, di Pusat HEALTHCOMM C4D UKM x UNICEF.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!