17 Ogos 2022, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Teras utama MoU adalah untuk menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi antara Malaysia dengan Pakistan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perniagaan dan sains sosial.

Shah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia dan Centre for Sustainability Research and Consultancy (CSRC) Pakistan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa kerjasama penyelidikan dan inovasi dalam satu majlis yang bertempat di MASMED, UiTM Shah Alam pada hari ini.

Majlis penandatanganan perjanjian MoU ini telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi, mewakili YBhg. Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Majid mewakili CSRC Pakistan.

Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Majid mewakili CSRC Pakistan.

Dalam perjanjian tersebut, teras utama MoU adalah untuk menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi antara Malaysia dengan Pakistan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perniagaan dan sains sosial.

Hasil kerjasama itu, UiTM Cawangan Perlis dan MASMED, UiTM serta CSRC Pakistan menjadi tuan rumah bagi perlaksanaan 6th International Research Conference on Economics, Business and Social Sciences (6th IRC 2022-MY Chapter) yang diadakan bermula 17 hingga 18 Ogos 2022.

Konferensi IRC kali keenam ini membawa tema “Digitalization for sustainable business and society in emerging economies” dengan lebih daripada 40 kertas kerja telah dibentangkan.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi.

Dalam ucapan perasmian, YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim mengatakan bahawa Konferensi IRC 2022 ini bukan hanya bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara dua institusi dari dua negara, tetapi merupakan bukti perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam menghadapi cabaran ekonomi sedang pesat membangun ke tahap yang lebih tinggi.

Tambah beliau, sebagai pendidik dan penyelidik, hal ini adalah penting untuk membantu negara dalam mempertingkat pertumbuhan ekonomi ke arah yang lebih stabil dan dinamik serta berdaya saing tinggi.

Konferensi IRC 2022 kali ini turut mendapat kerjasama University of the Punjab Lahore Pakistan; Institut Bisnis dan Information Jakarta, Indonesia; United Nations Principles of Responsible Management Education (UN PRME-ASEAN chapter); serta Emerald Publishing United Kingdom, South Punjab Center for Research and Development Pakistan yang turut sama menghantar wakil.

Sementara itu, konferensi pada kali ini menampil Profesor Dr. S. Viswanathan dari Nanyang Technological University, Singapura sebagai pengucap utama dan beberapa wakil besar untuk sesi diskusi. Antaranya termasuklah Profesor Dr. Rosna Awang Hashim dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Haswan Yunaz, Rektor Institut Bisnis dan Information Jakarta Indonesia, Encik Mohamad Zulkurnain Abdul Rahman, Pengarah Urusan ZEM Holdings Sdn. Bhd., Dr. Mohamad Shahir Mohamad Suhaimi, Pengarah Urusan Callabio Manufacturing Sdn. Bhd. dan dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Sulaman Hafeez Siddiqui dari Islamia University of Bahawalpur, Pakistan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.