18 Ogos 2022, 13:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin (tengah) dan YB Datuk Dr. Radzi Jidin (kiri) ketika melawat ke tapak pameran yang dikelolakan oleh PDRM, UTP, KPM dan AADK.

Putrajaya – Berikutan isu buli yang kian menular dalam institusi pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil inisiatif dengan melancarkan portal Aduan Buli sebagai satu daripada platform pelaporan berkaitan dengan kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang dalam kalangan pelajar sekolah.

Usaha kolaboratif antara KPM dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah untuk membolehkan ibu bapa dan pelajar yang menjadi mangsa buli khususnya untuk membuat laporan secara terus kepada kementerian, selain mengenal pasti permasalahan disiplin dan salah laku pelajar.

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri.

Menurut YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri, sejak kebelakangan ini isu buli dan dadah sering dibangkitkan di sekolah mahupun sewaktu keberadaan pelajar di luar sekolah.

“Statistik yang direkodkan oleh PDRM menjelaskan bahawa pelajar sekolah seolah-olah tidak mengendahkan bahawa kes buli di sekolah boleh merosakkan diri dan rakan-rakan di sekolah, malah menjadi satu masalah yang besar pada masa depan negara.”

“PDRM dan AADK melalui kerjasama KPM akan bertanggungjawab untuk memastikan dapat bekerjasama dengan seluruh sekolah di negara ini bagi menangani isu buli dan dadah,” ujar YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin ketika menyempurnakan majlis pelancaran Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat, dan portal Aduan Buli yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1), pagi tadi.

Tambah beliau, program Sekolahku SEJAHTERA, apabila dikatakan sepakat, bukan bermakna hanya mereka di sekolah, tetapi melibatkan masyarakat secara keseluruhannya untuk berpakat menjadikan sekolah tersebut sebagai satu daripada tempat yang selamat dan sejahtera kepada semua orang, khususnya generasi masa depan.

“Pada tahun 1984, kerajaan telah mengumumkan bahawa dadah merupakan musuh negara nombor satu. Hingga hari ini, musuh negara nombor satu masih lagi dadah. Oleh sebab itu, majlis sebegini diadakan dapat memaklumkan kepada seluruh rakyat bahawa isu ini mampu ditangani apabila semuanya rakyat dan pihak berkepentingan bersepakat antara satu sama lain.”

Sehubungan dengan itu, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin turut mengatakan bahawa KDN akan mengadakan program “Kita demi Negara” yang membabitkan semua masyarakat agar memahami keselamatan adalah tanggungjawab bersama.

YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.

Mengulas lebih lanjut hal yang berkaitan dengan kes buli, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana sekolah yang cuba berselindung mengenai kejadian buli dalam kalangan pelajar di sekolah.

“Dari peringkat awal, kita sudah menekankan dalam kalangan murid tentang nilai kehidupan supaya difahami dan dibawa selepas mereka keluar daripada sistem persekolahan.”

“Semua ini bermula daripada hati dan pemikiran yang rasional bahawa setiap keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan maklumat, analisis, data dan penelitian yang tepat,” kata YB Menteri Kanan Pendidikan dalam menerangkan konsep Sekolahku SEJAHTERA seperti yang dilancarkan Februari lalu.

YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sistem pendidikan ini memerlukan kejujuran dan keikhlasan untuk membantu KPM dalam usaha membasmi masalah seperti gangguan seksual, buli, disiplin dan penyalahgunaan dadah.

“Dalam menyelesaikan masalah ini, kepercayaan antara ibu bapa, pihak sekolah dengan kementerian mestilah terus ditingkatkan.

“Jika benar berlaku masalah buli ini, laporkan kepada kami. Ada pelaporan sistem secara e-mel, status pelaporan khusus aduan dan juga melalui telefon,” kata beliau yang khidmat pelanggan ini akan dikendalikan secara 24 jam, seterusnya disalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Turut hadir YBhg. Datuk Yusran Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato’ Haji Abdul Halim Haji Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM, YBrs. Dr. Norisah binti Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) KPM, YBhg. Datuk Aidi Ismail, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), YBrs. Sutekno Ahmad Belon, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, YBhg. Datuk Fadlun Mak Ujud, Presiden merangkap Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) dan YBrs. Aminuddin Awang, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Antara tetamu kehormat yang hadir ke majlis pelancaran ini sebagai tanda sokongan menangani isu buli dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.
Pelajar sekolah yang hadir daripada pelbagai sekolah sekitar Putrajaya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.