18 Ogos 2022, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat dan portal Aduan Buli telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri dan YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1).

Putrajaya – “Generasi baharu beranggapan bahawa buli itu merupakan perkara biasa dan sebab itu kita menginginkan kes buli ini dapat diminimumkan. Saya bersetuju dengan pihak polis untuk turun ke sekolah bagi memberikan lebih banyak penerangan kepada pelajar.”

“Program Sekolahku SEJAHTERA yang dilancarkan kementerian sejak Februari lalu banyak menekankan elemen dalam diri murid agar mereka dapat membuat keputusan tepat, selain mengelakkan diri daripada terlibat kes buli.”

Demikianlah antara inti pati YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam satu Majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat dan portal Aduan Buli pada hari ini yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1), Putrajaya.

YB Datuk Dr. Radzi Jidin bersama-sama YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin ketika melihat dan menggunakan portal Aduan Buli.

Menurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin, terdapat empat tindakan yang signifikan dalam usaha menangani isu kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Pertamanya ialah penyedaran. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama-sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) komited menerapkan elemen “sepakat dan selamat” dengan mengadakan pelbagai program kesedaran di sekolah. Dengan adanya program Sekolahku SEJAHTERA, pelajar akan lebih cakna terhadap salah laku atau kegiatan yang menyalahi undang-undang, malah membentuk pemikiran mereka yang lebih matang dan bersikap rasional.

Kedua ialah pelaporan. Menerusi platform digital Aduan Buli ini, ibu bapa, pelajar ataupun sesiapa sahaja pihak sekolah boleh menghantar aduan secara terus kepada kementerian tanpa rasa bimbang akan maklumat tersebut diketahui oleh pihak lain.

“Kita hendak supaya satu pelaporan yang lebih lengkap dan tersusun untuk membolehkan ibu bapa atau pelajar menyampaikan maklumat tersebut kepada KPM.”

“Apa yang penting adalah memberikan maklumat tepat untuk kami lakukan siasatan. Setiap aduan diterima akan direkodkan dan maklumat pengadu juga boleh dirahsiakan,” kata beliau yang menyeru agar orang ramai memanfaatkan portal aduan buli yang baru dilancarkan itu.

Ketiga ialah penghukuman. YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, “Sama ada pada peringkat sekolah atau kes-kes yang melibatkan siasatan PDRM, maka penghukuman ini akan diambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang sedia ada.”

Keempat ialah pemantauan. Selain yang dilakukan oleh pihak sekolah, KPM memohon bantuan daripada PDRM dan AADK dalam pemantauan agar dapat dipastikan pelaksanaannya di sekolah seluruh negara. Dalam konteks pemantauan, “Kita memberikan pengukuhan, yakni pada beberapa bulan yang lepas, kita mengambil sebanyak 4000 orang warden asrama,” tambah YB Datuk Dr. Radzi Jidin.

“Jika sebelum ini, asrama mempunyai bilangan murid yang ramai dan wardennya sedikit, iaitu seorang sahaja yang berkhidmat, maka kini dengan pertambahan warden, mereka boleh hadir secara bergilir bagi memastikan pemantauan dilakukan dengan lebih baik,” ujar beliau yang menjelaskan sebahagian daripada inisiatif KPM terhadap penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Tambah beliau lagi, KPM sentiasa komited dalam memastikan sekolah dijadikan sebagai tempat yang selamat. Oleh itu, pada yang sama, KPM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk melihat prosedur dan proses yang berkaitan dengan pengurusan gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan di bawah KPM. Kuasa khas ini dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.

Untuk merealisasikan usaha ini, kita memerlukan sokongan dan dorongan daripada semua pihak. Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak kita dididik dengan nilai-nilai murni. Pemimpin masyarakat, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlulah bergerak bersama-sama dengan KPM.

Melihat peri pentingnya pencegahan kes buli, KPM akan terus berbincang dengan Menteri KDN, khususnya PDRM dan AADK untuk meningkatkan kesedaran anak-anak tentang elemen nilai kehidupan daripada terlibat dalam buli atau kes lain seperti penyalahgunaan dadah dan gangguan seksual.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.