Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Apabila berbicara tentang buku ilmu, pasti terbayang di minda pembaca bahawa buku-buku tersebut diterbitkan untuk kegunaan para pelajar di universiti, kolej, maktab dan sekolah. Akan tetapi, adakah buku-buku selain itu tidak diklasifikasikan sebagai buku ilmu? Persoalan inilah yang diutarakan oleh YBhg. Profesor Emeritus Abdullah Hassan, Penasihat PTS Media Group Sdn. Bhd. ketika sesi pembentangan Forum “Penerbitan Buku Ilmu untuk Pembaca Umum” pada pagi tadi.
Forum tersebut merupakan satu daripada program yang diadakan sempena Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 yang diadakan mulai 22 Ogos 2022 hingga 25 Ogos 2022 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Buku-buku yang dijual di kedai buku biasa juga merupakan buku ilmu, tetapi ada kelainannya daripada buku yang digunakan oleh para pelajar sama ada pada peringkat sekolah atau universiti. Buku-buku tersebut diterbitkan untuk pembaca umum. Buku tersebut yang juga dikenali dengan tread books ialah buku-buku ilmu tetapi telah disesuaikan, dicetak dan dijual, dan pembelinya bukan terdiri daripada para pelajar semata-mata, tetapi juga melibatkan masyarakat umum.
“Terdapat banyak buku ilmu yang terdapat di kedai buku, tetapi masyarakat umum tidak menyedari bahawa buku tersebut ialah buku ilmu. Buku-buku tersebut ditulis dalam pelbagai genre, sama ada fiksyen atau bukan fiksyen, meliputi resepi, sejarah, buku kanak-kanak dan buku agama yang dipersembahkan dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami. Maka, tidak hairanlah jika ada pelajar universiti yang akan membelinya sebagai buku rujukan kerana persembahannya yang lebih santai, jelas beliau.

Menurut beliau lagi, dalam pembangunan sesebuah negara terdapat perkaitan antara negara yang mempunyai banyak buku ilmu, makanya rakyatnya membaca dan menjadi pandai; berbanding dengan negara yang tidak banyak buku ilmu dan mereka tetap dalam keadaan tidak membangun. Sebagai contoh, di Jepun, Korea, Taiwan dan China, selepas ilmu diimport masuk ke negara tersebut dan menjadi bacaan rakyatnya, barulah negara itu membangun dengan lebih pesat.
Untuk meningkatkan jumlah penerbitan buku ilmu, beliau mencadangkan supaya bilangan penulis dapat ditingkatkan, selain melantik para penterjemah supaya mereka boleh mengimport ilmu ke dalam bahasa tempatan. Kempen membaca di sekolah juga harus digiatkan dan pelajar digalakkan membaca buku ilmu selain buku cerita. Setiap orang harus menjadikan amalan membaca sebagai tabiat yang kekal sepanjang hayat. Selain itu, penulis yag menulis dalam bahasa Melayu diberikan markah dalam penunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.
“Buku umum sangat perlu, malah pasarannya jauh lebih besar daripada buku ilmu yang digunakan oleh para pelajar di universiti,” tegas beliau.
Sementara itu, Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang merupakan ahli panel kedua forum bersetuju dengan definisi buku ilmu yang diberikan oleh YBhg. Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan bahawa buku ilmu merujuk apa-apa genre buku dalam pelbagai bidang ilmu yang memberikan manfaat kepada pembaca, termasuklah bahasa, sastera, agama serta sains dan teknologi. Dalam konteks DBP, selain daripada penerbitan berasaskan komersial, DBP juga menerbitkan buku yang menitikberatkan soal tanggungjawab sosial. Usaha ini dilakukan bagi mendukung Dasar Buku Negara, Dasar Industri Kreatif Negara dan Dasar Galakan Membaca yang diperkenalkan oleh kerajaan. Pada masa ini, usaha menanam sifat suka membaca terus dilaksanakan menerusi program Dekad Membaca Kebangsaan dan Dekad Bahasa Kebangsaan pada pelbagai peringkat agensi.
Menurut beliau, walaupun dalam fasa pandemik buku-buku digital menjadi pilihan rakyat Malaysia, namun semasa Pesta Buku Kuala Lumpur yang lalu, sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap buku fizikal amat menggalakkan. Hal ini bermakna bahawa buku fizikal masih diminati oleh rakyat Malaysia.
“Oleh itu, buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu perlu diperbanyak dalam usaha memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara seterusnya bahasa antarabangsa. Karya tersebut juga boleh dipelbagaikan untuk bacaan umum mengikut sasaran pembaca,” tambah beliau.

Dalam hal ini, DBP terus berusaha mempertingkatkan jumlah buku ilmu termasuklah buku ilmiah dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain selain menerbitkan buku dalam bidang sains dan teknologi. Kerjasama dengan universiti juga dilakukan bagi memastikan judul-judul terancang dapat diterbitkan, di samping usaha menerbitkan tesis dalam bentuk buku.
Bagi menarik minat pembaca buku-buku ilmu dengan lebih berkesan, DBP juga menerbitkan buku ilmu dalam bentuk interaktif, seperti penggunaan audio visual menerusi penggunaan kod respon pantas (QR) dan aplikasi digital interaktif untuk kanak-kanak yang dipasarkan menerusi Google Play.
Selain itu, DBP telah membangunkan pelantar penerbitan digital, iaitu JendelaDBP dalam usaha mengangkat karya yang diterbitkan ke peringkat antarabangsa. JendelaDBP sebagai pusat sehenti kandungan digital DBP turut memuat naik buku-buku bercetak dan digital yang diterbitkan sebagai usaha mempromosikan dan menjual buku-buku tersebut. Buku-buku yang diterbitkan dijual secara dalam talian dan dipromosikan menerusi kaedah penstriman.
“Usaha penerbitan buku perlu dipergiat untuk menyokong agenda dan dasar negara. Usaha memandaikan bangsa merupakan tanggungjawab kita bersama. DBP membuka seluas-luasnya ruang dan peluang untuk penulis berkarya dengan DBP. Seterusnya, usaha pendigitalan karya harus dilaksanakan agar karya yang diterbitkan dapat diakses pada peringkat global kerana penerbitan buku fikizal dan digital merupakan kesinambungan peradaban bangsa,” jelas beliau lagi.
Beliau juga mencadangkan pemberian baucar buku diadakan kembali sebagai satu galakan kepada masyarakat untuk terus membudayakan amalan membaca.