Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKajang – Bersempena program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan, orang ramai khususnya ibu bapa, komuniti dan pelajar dijemput untuk hadir memeriahkan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tahun 2022, bermula dari 26 Ogos hingga 28 Ogos 2022.
Program yang diadakan secara serentak melibatkan 142 buah PPD di seluruh negara, merupakan satu daripada usaha kolaboratif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjelaskan beberapa perkara yang telah, sedang dan akan diusahakan oleh pihak KPM dalam agenda memperkasa pendidikan negara melalui transformasi pendidikan.
“Saya telah menjelaskan satu persatu pertanyaan oleh ibu bapa, pentadbir sekolah, guru dan murid. Semoga penjelasan yang diberikan dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas berkenaan perkara yang dibangkitkan, termasuklah pentaksiran dan penyelenggaraan sekolah,” jelas Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sesi #tanyaDRJ pada petang tadi di Aula Perdana, PPD Daerah Hulu Langat.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, tujuan program ini adalah untuk merapatkan warga PPD dengan masyarakat, serta menyampaikan maklumat terkini dasar dan perkhidmatan pendidikan kepada pemegang taruh, pelanggan dan rakan strategik. Hari Terbuka PPD ini turut mengetengahkan bakat dan inovasi murid, serta guru melalui penerapan elemen Sekolahku SEJAHTERA.
Dalam sesi pertanyaan tersebut, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut menjelaskan berkaitan dengan ketetapan takwim persekolahan sesi 2023 yang bermula Mac adalah kekal seperti biasa. Hal ini dikatakan demikian selepas mengambil kira faktor dan melakukan perbincangan, serta penelitian yang mendalam.
Tambah beliau, antara sebab lain dikekalkan takwim adalah untuk memastikan tempoh calon SPM tamat peperiksaan SPM tidak terlalu jauh dengan tempoh mereka melanjutkan pengajian.
“Perkara ini penting supaya momentum untuk belajar masih ada,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Terbuka PPD Daerah Hulu Langat, yang bersaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kokurikulum) KPM, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Ghazali.
Mengulas lebih lanjut mengenai program Hari Terbuka PPD, beliau melihatnya sebagai platform baik untuk mengubah persepsi ibu bapa, guru dan semua pihak terhadap pengurusan PPD.
“Berilah kepercayaan kepada KPM untuk melaksanakan perubahan demi perubahan agar sistem pendidikan kita dapat bersaing seiring dengan negara-negara hebat yang lain,” kata YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam meyakinkan semua orang untuk memperoleh kejayaan demi pewaris negara.
Sambutan Hari Terbuka PPD yang pertama kali diadakan di negara ini turut dimeriahkan lagi dengan pameran dari sekolah, PPD, rakan strategik, selain daripada reruai khidmat pelanggan, persembahan nyanyian dan pelbagai aktiviti pertandingan.