Oleh Aisyah A.
29 Ogos 2022, 20:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – HerMission House Extreme Sport Club dan HerMission House Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers) telah menganjurkan pertandingan mendaki “North Wall 1.0: Rock Climbing Competition” pada 27 dan 28 Ogos 2022 di Bukit Keteri, Chuping, Perlis.

Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan perasmian penutupan pertandingan North Wall 1.0: Rock Climbing Competition.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah disertai oleh puteri kedua Tuanku Raja Muda, iaitu Sharifah Farah Adriana Jamalullail berserta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Asmaiza Ahmad.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah HerMission Sdn. Bhd., Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa.

Sebanyak 68 peserta mewakili 34 buah pasukan dari seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan ini. Selain peserta tempatan, pendaki antarabangsa dari Perancis, Kanada, Poland, Romania dan juga negara jiran Thailand juga turut menyertai pertandingan ini dan peserta yang paling muda direkodkan adalah pasukan wanita yang berusia sekitar 10 tahun dan 11 tahun, menurut Pengarah HerMission Sdn. Bhd.

Selain itu, beliau juga turut berkongsi bahawa Bukit Keteri merupakan lokasi mendaki yang dijumpai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis ketika Mammut/Camp5 mengadakan ekspedisi bolting yang disertai oleh David Lama, Reini Scherer, Cedric Lachat dan lain-lain lagi pada tahun 2007. Baginda berserta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil adalah orang pertama yang mendaki bukit itu dan laluan tersebut kini dikenali sebagai laluan Tuanku.

Sejajar dengan wawasan Raja Muda Perlis untuk meletakkan Perlis di persada sukan panjat batu dunia, MyUS Venture Partners Sdn. Bhd. membangunkan Perlis Rock Climbing Base Camp @ Gua Kelam bagi menarik lebih ramai pelancong untuk menyertai aktiviti memanjat batu dan pengembaraan di negeri Perlis. Lokasi tersebut dipilih kerana terkenal dalam kalangan penggiat aktiviti memanjat batu. Kem yang akan dibangunkan dapat menempatkan 40 buah bilik yang boleh memuatkan empat orang sebilik dan 10 khemah premium dijangka akan memulakan operasi pada Disember 2022.

Tahun lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan terdapat lonjakan aktiviti luar di seluruh negara memandangkan kesedaran tentang kesihatan dan kesejahteraan kian meningkat dalam kalangan pengunjung tempatan dan asing. Hal ini terbukti apabila terdapat peningkatan dalam aktiviti pelancongan yang berkaitan dengan alam sekitar seperti perkhemahan mewah (glamping), merentas hutan (jungle trekking), sukan air, berbasikal serta aktiviti mendaki. Untuk rekod, sukan memanjat atau lebih dikenali sebagai sukan climbing merupakan sejenis sukan ekstrim yang telah bertapak di Malaysia sekitar tahun 1998. Terdapat dua kategori sukan memanjat secara amnya, iaitu daki tembok (rock climbing) dan panjat tembok (wall climbing).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.