30 Ogos 2022, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Keteri – Pengarah HerMission Sdn. Bhd., Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa memaklumkan sebanyak 68 peserta mewakili 34 buah pasukan dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam Pertandingan North Wall 1.0: Rock Climbing Competition 2022, termasuklah pendaki dari Perancis, Kanada, Poland, Romania dan Thailand.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pasukan teknikal pertandingan dari Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Pendaki Perlis) serta para penaja utama, iaitu The North Face, Crux Particle, GoPro, Persatuan Mendaki Negeri Kedah, Studio Potret, Rock UniMAP, Delta Rovers, Wonderwall dan Hyper Hold.

Petang semalam, bertempat di Bukit Keteri, Chuping, Chai Sze Wai dan Kok Jia Yu telah muncul sebagai johan dalam pertandingan anjuran HerMission House Extreme Sport Club dan HerMission House Sdn. Bhd.

Ahmad Kamil Mazlan dan Ammar Faiz Abdul Taib bagi Pasukan Lelaki dan Chai Sze Wei sendiri bagi wanita individu mengungguli juara dalam kategori masing-masing.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Najaa Abdul Wahab dan Andrian Mohd. Yusof (Pasukan Campuran), Amir Farhan Azmi dan Gan Shih Chau (Pasukan Lelaki) dan Tai Chew Yee (Individu Wanita).

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut menyampaikan hadiah di majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah tersebut ialah puteri kedua Tuanku Raja Muda, iaitu Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Asmaiza Ahmad.

Bukit Keteri merupakan destinasi daki tembok terkenal dan pernah didaki dan telah dipasang dengan bolts pada 50 laluan mendaki dari 5A hingga 8C oleh pendaki tersohor dunia, seperti mendiang David Lama, Reini Scherer, Anna Stohr dan Katharina Saurwein dari Austria, Cedric Lachat dan Christina Schmid dari Switzerland, serta Juliane Wurm dari Jerman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.