Oleh Aisyah A.
30 Ogos 2022, 20:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Program Bicara Malaysiana: Degup Denyut Anak Malaysia diadakan sempena bulan kemerdekaan.

Putrajaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Program Bicara Malaysiana: Degup Denyut Anak Malaysia yang berlangsung di Menara PNM dan secara dalam talian melalui Youtube PNM.

Tokoh sejarawan negara yang dijemput untuk membuat perkongsian dalam sesi ini ialah YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, Felow Persatuan Sejarah Malaysia dan YBrs. Profesor Madya Dr. Zulkarnain Abdul Rahman, Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) sebagai moderator.

Program tersebut diadakan bersempena bulan kemerdekaan bagi menghargai segala jerih perih nenek moyang dalam membangunkan watan ini. YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria telah menghasilkan karya beberapa karya, seperti Institusi Raja Melayu dalam Lipatan Sejarah Malaysia; Penerusan dan Perubahan, Pemberontakan Bersenjata 1948-1960 dan Republik Rakyat Malaya, Merungkai Cita dan Hasrat Sebenar Parti Komunis Malaya.

YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria, Felow Persatuan Sejarah Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa tarikh 31 Ogos 1957 merupakan hari apabila raja tidak lagi menuntut kedaulatan terhadap Tanah Melayu, dan merupakan satu tarikh tanah air dibebaskan daripada penjajah. Tarikh keramat itu juga dicatat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal dalam bahasa Inggeris sebagai Merdeka Day dan setelah terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963, termaktub pula dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Malaysia Day.

Setiap rakyat digesa untuk mengingati dan mengenang perjuangan nenek moyang dahulu dalam menegakkan maruah, jati diri dan kedaulatan negara.

Dalam pemilihan tarikh kemerdekaan, beliau memaklumkan bahawa tarikh tersebut adalah dipilih oleh seorang ulama, Abdullah Ahim. Pada tahun 1980-an, rakyat pernah mempersoalkan tentang sebab dikekalkan saki-baki penjajah di tanah air dan beliau berpendapat hal tersebut merupakan satu bukti bahawa orang Melayu pernah menentang Portugis.

Kemudiannya, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria turut berkongsi bahawa rombongan kemerdekaan dari Lapangan Terbang Sungai Besi ke Singapura dan ke Pelabuhan Tanjung Pagar ke Karachi, kemudian ke Kaherah dan seterusnya ke London telah mengambil masa selama dua minggu. Tuanku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, T.H. Tan, H.S. Lee, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Datuk Ahmad Aziz dan Abdul Kader menaiki kapal M.V. Asia dari Singapura, manakala Dato’ Mohd. Seth dan Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz bertolak ke London menaiki kapal terbang.

Dalam catatan Tuanku Abdul Rahman, beliau memilih jalan yang mengambil tempoh yang lama dan panjang kerana beliau memerlukan masa untuk berunding dan berbincang supaya keputusan yang dibuat setibanya di Kota London tidak bercanggah. Walaupun perbincangan dan rundingan tersebut dibuat dengan disertai oleh Raja-Raja Melayu sebelum perjalanan ke London bermula, proses tersebut amat penting bagi delegasi dari Tanah Melayu kekal sehati sejiwa dalam berhujah. Hal ini membuktikan bahawa Raja-Raja Melayu terlibat aktif ke arah mencapai kemerdekaan negara walaupun tidak berada di lapangan.

Rombongan kemerdekaan itu tiba di London pada 13 Februari 1956 dan mula berunding pada 18 Februari dan terhasilnya pernyataan yang ditandatangani oleh mereka yang terlibat dalam mesyuarat tersebut serta penubuhan Suruhanjaya Perlembagaan Tanah Melayu. Walaupun berhadapan dengan cabaran kewangan, rakyat Tanah Melayu sentiasa mempunyai semangat yang kuat untuk membebaskan tanah air mereka sehingga seorang tokoh wanita pernah berkongsi bahawa, “kami menanggalkan subang di telinga, kami membuka rantai di leher, kami meloloskan cincin di jari manis, kami membuka gelang di tangan demi satu kebebasan.” Dengan semangat dan jati diri “Tanah Airku Tanah Melayu”, rombongan tersebut berjaya mengumpul dana dan bertolak ke London bagi meneruskan rundingan kemerdekaan.

YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria membahas tentang perjuangan kemerdekaan, beliau menceritakan pengorbanan dan perjuangan melalui perubahan dari tenaga fizikal oleh pejuang tanah air seperti Rentap, Mat Kilau, Tok Gajah dan lain-lain menitis darah dan air mata ke tenaga otak, iaitu melalui rundingan.

Hal ini membuktikan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu bukanlah diperoleh melalui rundingan semata-mata, malah turut melalui perjuangan pahlawan tanah air yang terus berjuang menentang penjajah ke arah mendapatkan kemerdekaan yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.