Oleh Yohan Kurniawan
2 September 2022, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fenomena aktiviti perbomohan telah lama wujud di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Istilah lain yang banyak digunakan untuk bomoh ialah dukun. Di Indonesia, istilah dukun merujuk pada aktiviti rawatan penyakit fizikal mahupun bukan fizikal atau permasalahan yang disebabkan oleh gangguan makhluk ghaib.

Marcel Radhival atau dikenali sebagai Pesulap Merah merupakan seorang “Youtuber” dan ahli silap mata dari Indonesia yang baru-baru ini popular kerana berjaya membuka rahsia rawatan yang dilakukan oleh beberapa orang bomoh di Indonesia. Menurut beliau, banyak bomoh yang merawat gangguan makhluk ghaib di Indonesia menggunakan tipu helah ilmu silap mata pada masa kini. Seorang daripada pengamal rawatan tradisional yang dibuka tipu helahnya ialah Gus Samsudin, pemilik padepokan Nur Dzat Sejati di Blitar, JawaTimur, Indonesia. Konflik antara Pesulap Merah dengan Gus Samsudin telah menarik Persatuan Dukun Nusantara (Perdunu) dalam permasalahan ini. Perdunu didirikan pada 3 Februari 2021 di Banyuwangi, JawaTimur, Indonesia dengan tujuan memperkenalkan profesion bomoh atau paranormal dan ilmu-ilmu ghaib kepada masyarakat, serta melawan pandangan negatif yang berkaitan dengan profesion dukun oleh masyarakat. Pihak Perdunu telah membuat laporan polis berkaitan dengan Pesulap Merah kerana usaha untuk membuka tipu helah rawatan bomoh tersebut menyebabkan penurunan pendapatan mereka. Laporan polis tersebut dibuat berdasarkan tuduhan bahawa Pesulap Merah telah memburukkan profesion bomoh apabila hal tersebut melanggar pasal 45 ayat 3 Undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE) No. 19 Tahun 2016 berkaitan dengan fitnah terhadap individu atau kumpulan.

Perkara ini menjadi sangat menarik kerana sebelumnya para bomoh tersebut berjaya meyakinkan para pengguna khidmat mereka bahawa mereka mampu membantu memajukan perniagaan. Ironinya, ketika para bomoh ini menghadapi masalah penurunan pendapatan, mereka tidak mampu menyelesaikannya bahkan membuat laporan polis kepada individu yang diduga menjadi punca penurunan pendapatan mereka.

Berkaitan dengan rawatan bomoh, kerajaan Indonesia memiliki undang-undang yang berkaitan dengan penipuan dalam rawatan bomoh yang terkandung dalam Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP) perkara 545, 546, dan 547. Perkara 545 menyatakan bahawa adalah salah untuk mengambil kesempatan atas kepercayaan orang ramai terhadap perkara-perkara ghaib sehingga perbuatan itu dianggap merendahkan Tuhan, dan memperdayakan mangsa dengan rawatan tipu daya seperti perbuatan meramal nasib. Perkara 546 menjelaskan tentang kesalahan berjual beli azimat serta mengajar ilmu untuk mengelakkan bahaya semasa melakukan perbuatan jenayah. Perkara 547 juga menyatakan adalah salah menggunakan azimat semasa memberikan keterangan di mahkamah.

Rawatan bomoh pada masa ini disokong juga oleh kehadiran media sosial terutamanya YouTube. Melalui media YouTube, masyarakat dapat mengetahui pelbagai rahsia tipu helah yang berlaku dalam rawatan bomoh. Satu daripada bukti bahawa rawatan bomoh banyak menggunakan tipu helah dibuktikan oleh seorang ahli silap mata ternama daripada Amerika, iaitu James Randi. Beliau telah memberikan cabaran dan hadiah wang sebanyak A.S.1 000 000 kepada semua bomoh dari seluruh dunia yang dapat menunjukkan bukti kekuatan supernatural yang dimiliki kepadanya. Bomoh dari seluruh dunia yang ditemuinya terbukti kesemuanya menggunakan tipu helah.

Tipu helah dalam rawatan bomoh bukan sahaja wujud di Indonesia, tetapi hampir di seluruh dunia. Walaupun di Malaysia belum terdapat kes tipu daya bomoh seperti di Indonesia, seperti berdasarkan pengalaman James Randi ini, namun dapat dijangkakan terdapat beberapa rawatan bomoh di Malaysia juga menggunakan tipu helah silap mata. Oleh sebab itu, pendidikan kesedaran mengenai tipu helah dalam rawatan bomoh perlu diberikan kepada masyarakat di negara ini.

Antara tipu helah dalam rawatan bomoh yang wujud pada masa ini adalah:

  • Memindahkan penyakit ghaib seperti santau ke objek tertentu, contohnya telur dan buah kelapa.
  • Menangkap dan memasukkan jin ke dalam botol.
  • Tangan bomoh dapat mengeluarkan asap ketika mengesan kewujudan jin.
  • Tanah mengeluarkan api ketika proses mengesan dan pembersihan menggunakan air.
  • Tangan bomoh perawat dapat mengeluarkan api ketika proses menghalau jin.
  • Kebal senjata tajam seperti pisau, pedang dan golok.
  • Keris yang dimiliki bomoh dapat berdiri sendiri atau terbang.
  • Bomoh memuntahkan darah ketika proses rawatan gangguan ghaib.
  • Bomoh mengeluarkan paku, jarum dan wayar akibat penyakit ghaib daripada badan pesakit menggunakan mulut.
  • Mengesan kewujudan makhluk ghaib di dalam dan sekitar rumah pesakit menggunakan keris yang dapat memancarkan elektrik.
  • Melakukan bedah ghaib untuk merawat dan mengeluarkan penyakit pesakit.
  • Tisu atau kertas yang digunakan untuk proses pembersihan badan pesakit daripada gangguan jin dapat terbakar dengan sendirinya.

Tipu helah yang digunakan dalam proses rawatan bomoh kebiasaannya menggunakan teknik silap mata yang kerap digunakan dalam persembahan ahli silap mata. Teknik silap mata seperti menangkap jin dalam botol, tanah mengeluarkan api, tisu atau kertas terbakar, tangan mengeluarkan asap, memuntahkan darah, dan kaedah bedah batin ialah dengan menggunakan bahan kimia. Teknik memindahkan penyakit ke objek seperti telur, buah kelapa, api keluar daripada tangan bomoh, kebal senjata tajam, benda-benda pelik keluar daripada mulut bomoh, keris dapat berdiri atau terbang pula ialah dengan menggunakan teknik dan peralatan yang biasa digunakan dalam persembahan silap mata. Masyarakat awam yang tidak terbiasa dengan teknik, peralatan dan bahan-bahan kimia yang digunakan dalam persembahan silap mata ini mudah menjadi mangsa penipuan para bomoh yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Tambah malang, terdapat beberapa orang bomoh turut menggunakan aspek agama bagi menarik minat dan meyakinkan mangsanya.

Kita tidak mengatakan bahawa sesuatu yang ghaib itu tidak ada. Perkara ghaib itu tetap wujud tetapi tidak mudah untuk membuktikannya. Sememangnya terdapat bomoh yang memiliki kemampuan ghaib, tetapi kebiasaannya kemahiran tersebut tidak dipertontonkan untuk tujuan menarik minat dan mendapatkan keuntungan daripada orang lain. Bomoh yang memiliki kemampuan ghaib sebenar kebiasaannya tidak menetapkan jumlah bayaran tertentu untuk pesakitnya, bahkan sering kali khidmat yang diberikan adalah percuma. Oleh sebab itu, pendedahan tipu helah oleh bomoh ini dapat memberikan pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat di Malaysia supaya lebih berhati-hati dan bijak ketika berjumpa untuk mendapatkan bantuan daripada bomoh. Masyarakat diharapkan tidak mudah percaya kepada bomoh yang menunjukkan kemampuan ghaibnya kepada awam, terutamanya bomoh yang mempromosikan perkhidmatannya melalui media sosial seperti YouTube, TikTok, Instagram, dan sebagainya.

Pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) digesa untuk mengambil berat permasalahan ini bagi melindungi rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa tipu helah golongan bomoh yang tidak bertanggungjawab ini. Kerugian yang diakibatkan oleh jenayah ini bukanlah kecil, kerana bukan sahaja boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit, malah sehingga ke angka ratusan ribu ringgit.


Prof. Madya Dr. Yohan Kurniawan, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.