10 September 2022, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan pesat teknologi telah berlaku secara global dan telah banyak memanfaatkan manusia serta memudahkan urusan dalam kehidupan seharian apabila masyarakat digalakkan menggunakan gajet untuk melakukan urusan seharian mereka. Perkembangan pesat teknologi pada hari ini sangat signifikan dengan hasrat negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju kerana kita telah mencapai tahap pembangunan yang tinggi, contohnya dalam bidang Sains dan Teknologi.

Di Malaysia misalnya, kerajaan telah menjalankan pelbagai inisiatif ke arah mendigitalkan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian, iaitu dengan melancarkan Koridor Raya Multimedia pada tahun 1996. Menerusi idea ini, kerajaan juga telah merekodkan beberapa kejayaan seperi menarik pelabur dari luar negara yang berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Selain itu, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) telah mencipta pelbagai perubahan dalam bidang teknologi di Malaysia. Tambahan pula, sejak tahun 2020, wabak pandemik COVID-19 telah mempercepat perubahan untuk mengadaptasikan pendigitalan dalam urusan seharian kerajaan, kerana rakyat perlu menggunakan pelbagai perkhidmatan secara dalam talian berikutan sekatan perjalanan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan untuk mencegah wabak ini daripada berleluasa. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan juga telah memberikan impak yang besar terhadap kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, sama ada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan mahupun agensi-agensi kerajaan.

Namun begitu, masyarakat tidak perlu bimbang dalam berurusan dengan pihak kerajaan dalam tempoh pandemik kerana perkhidmatan secara dalam talian membolehkan urusan rakyat seperti pembaharuan cukai jalan kenderaan, permohonan bantuan, penghantaran borang cukai pendapatan dan banyak lagi, dapat dilakukan dengan mudah dan selamat menggunakan platform digital seperti laman web rasmi kerajaan. Bukan hanya golongan muda, golongan berusia juga sudah mula menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam laman web mereka dengan mempelajari cara menggunakan sistem tersebut sejak negara dilanda COVID-19.

Kepentingan Sistem Kerajaan Elektronik (e-Kerajaan)

Perkembangan teknologi dapat mendatangkan kesan yang positif jika digunakan dan disalurkan ke arah yang baik. Teknologi memainkan peranan yang signifikan dengan hasrat negara kita untuk beralih ke status negara maju kerana teknologi dapat mencipta pelbagai peluang tanpa had. Berbekalkan teknologi, komunikasi menjadi mudah walaupun dipisahkan oleh jarak geografi, memudahkan pekerjaan manusia dengan menjadikan sesuatu perkara itu lebih cekap dan berkesan dan memudahkan manusia untuk mendapatkan informasi dalam masa yang lebih cepat dan pantas. Dengan kata ringkasnya, semuanya di hujung jari.

Kerajaan Digital atau Kerajaan Elektronik (e-kerajaan) merupakan satu daripada inisiatif pihak kerajaan memanfaatkan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk kepentingan masyarakat dan negara. Antara kepentingan Kerajaan Elektronik adalah seperti berikut:

  1. Menunjukkan kerajaan lebih telus dan terbuka kepada pengguna laman web.
  • Sistem ini membolehkan orang ramai mengakses maklumat dengan mudah pada bila-bila masa.
  • Kerajaan menyediakan perkhidmatan secara dalam talian dan menyampaikan pengumuman terkini menerusi laman web rasmi kerajaan.

 

  1. Memudahkan penyediaan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menyediakan perkhidmatan seperti capaian borang bagi perkhidmatan tertentu di mana rakyat boleh mengisi dan menghantar permohonan seperti permohonan lesen secara dalam talian tanpa perlu membuang masa pergi ke pejabat kerajaan.
  • Pelbagai perkhidmatan ditawarkan melalui penggunaan Internet sebagai medium, contohnya e-dagang, e-perubatan, e-filing dan sebagainya.

 

  1. Meningkatkan mutu dan kecekapan sektor awam.
  • Pelanggan menggunakan kemudahan untuk berurusan dengan lebih cekap dan pantas melalui laman web www.gov.my
  • Pengguna tidak perlu ke kaunter pejabat perkhidmatan awam kerana perkhidmatan tersebut boleh diakses di hujung jari.
  • Pembayaran bil kemudahan asas, semakan saman trafik, penghantaran tender kerajaan dan pendaftaran perniagaan dapat dilakukan secara terus dalam talian.
  • Mengurangkan kesilapan dalam pengiraan data.

Bagi memastikan kerajaan digital dapat direalisasikan dengan baik, bukan sahaja infrastruktur ICT perlu diberi perhatian, malah infostruktur juga perlu ditekankan bagi memastikan semua pihak mendapat capaian maklumat dengan lebih tepat dan cepat. Selain itu juga, kerajaan perlu memastikan semua rakyat mempunyai perkakasan yang bersesuaian bagi membolehkan mereka mengakses maklumat yang diperlukan dan menikmati perkhidmatan yang dibekalkan oleh kerajaan. Beberapa buah negeri seperti Selangor telah memperkenalkan kemudahan Wi-fi secara percuma di beberapa tempat di negeri ini bagi memudahkan rakyat mengakses maklumat atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan tanpa sebarang diskriminasi. Infrastruktur dan kemudahan ICT juga sedang giat diperkembangkan dari semasa ke semasa untuk memudahkan rakyat mengakses kemudahan Internet pada bila-bila masa tanpa sebarang masalah. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, Selangor merupakan antara negeri yang mempunyai ramai penduduk yang menggunakan kemudahan Internet. Oleh itu, kerajaan negeri boleh mengambil peluang ini untuk menambah baik dan memperluas perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna.

Walaupun kita sedia maklum bahawa banyak pembaharuan yang telah dibuat untuk beralih kepada kerajaan digital, sekiranya dilihat pada situasi semasa, terdapat banyak lagi ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan ke arah itu. Tindakan berkaitan perlu dilakukan dalam usaha menambah baik dan meningkatkan mutu perkhidmatan agar urusan rakyat dapat dipermudahkan. Bagi mencapai pembangunan negara yang mampan, semua pihak perlulah memainkan peranan dalam meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kualiti dan capaian maklumat dan perkhidmatan yang baik yang mana akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial, selain melindungi alam sekitar.


Nazreena Mohammed Yasin, Pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.