10 September 2022, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya pada hari ini memaklumkan bahawa pemakaian pelitup muka semasa berada di dalam bangunan dan di luar bangunan atau kawasan terbuka di institusi pendidikan bawah kementeriannya adalah mengikut pilihan individu. Walau bagaimanapun, KPM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka diteruskan dalam kawasan institut pendidikan, khususnya di kawasan sesak.

Pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema ketika berada di dalam bangunan, manakala amat digalakkan ketika berada di luar bangunan. Bagi individu yang dikesan positif COVID-19 semasa berada di institut pendidikan atau asrama, mereka diwajibkan memakai pelitup muka semasa dirujuk ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam kenyataan yang sama juga, KPM memaklumkan bahawa murid diwajibkan memakai pelitup muka semasa menaiki bas sekolah atau pengangkutan awam seperti yang dinyatakan Menteri Kesihatan Malaysia dalam kenyataan media pada 7 September 2022.

Ketetapan tersebut turut terpakai untuk semua institusi pendidikan bawah KPM serta disarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.